Khamis, 6 November 2008

Perarakkan Melayu Perak ke Istana Kuala Kangsar

"Dasar tunjang tidak harus disentuh dan dicabar sama sekali"

Sultan Azlan Shah
November 6hb, 2008

Perarakkan Melayu Perak menghadap DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan telah dianjurkan oleh Gabungan Melayu Perak dan Kelab Darul Ridzuan Melayu Selangor dan Wilayak Persekutuan.

Hadhirin mula berkumpul dari pukul 9 pagi di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar. Mereka mula berarak pada pukul 9:45 pagi. Mengikut anggaran, seramai 1,000 orang Melayu turut sama dalam perarakkan ini. Anggaran Utusan Malaysia meletakkan jumlah kepada 2,000 orang.



Perarakkan diketuai oleh Presiden Gagasan Melayu Perak, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail. Turut serta bersama dalam perarakkan ia-lah Tun Hanif Omar, bekas Ketua Polis Negara, Dato Aziz Shamsuddin, bekas Menteri Luar Bandar, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, Dato Ibrahim Ali, Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) dan Pertubuhan Pribumi PERKASA, Dato Mohd Zin, Persatuan Melayu Perlis, Tan Sri Jin Shamsuddin, dan lain-lain dif-dif dari kalangan rakyat Perak.







Sampai ke istana, perarakkan tersebut telah dihalakan terus ke Dewan Majlis Santapan Di Raja, Istana Iskandariah.



DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah berkenan menghadhirkan diri. Tuanku diiringi oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin, dan Raja DiHilir Perak. Sama-sama menyambut kehadhiran Tuanku dan menyaksikan Majlis adalah ahli-ahli Majlis Raja dan Dewan Undangan Negeri.



Dato Helmi telah melafazkan ikrar taat setia dan menyokong kenyataan Majlis Raja-Raja pada 16 Oktober baru-baru ini serta menyerahkan watikah ikrar taat setia kepada Tuanku Sultan Perak. Ikrar tersebut berbunyi:

IKRAR TAAT SETIA

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Bahawasanya,

Patik dan sekelian rakyat jelata yang terdiri dari orang melayu di Negeri Perak Darul Ridzuan dengan ini menyunjung ikrar taat setia yang tidak berbelah bagi kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan serta berdiri teguh mempertahankan kedaulatan Institusi Kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, adat resam Melayu dan hak-hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Patik sekelian akan mempertahankannya sehingga ke akhir hayat.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Amin.



Baginda turut menyampaikan titah dan berikut adalah titah baginda yang diperolehi dengan lengkap dari blog Yeop Perak.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahi Rahmanir Rahim, BETA merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas ikrar taat setia yang dilafazkan oleh rakyat Beta yang dikasihi sebentar tadi.

Kemerdekaan negara ini dicapai melalui perundingan dan persefahaman antara tiga pihak, Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dan Kerajaan Inggeris. Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957 membentuk sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja.

Semasa menerima Ijazah Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada 30 Jun 1979, Beta telah memperingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu ingat, dan jika tidak ingat, maka kita seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang kaum itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita. Dalam konteks ini, Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka... Perkataan 'Negeri-Negeri Melayu Bersekutu' dan 'Negeri Melayu Tidak Bersekutu' dan 'Persekutuan Tanah Melayu' masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.

Secara tersirat, pengekalan institusi Raja di negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa. Perlembagaan Merdeka digubal berlatar belakangkan senario kebangkitan semangat nasionalisme Melayu. Dalam luapan semangat menuntut kemerdekaan, orang Melayu bimbang akan kedudukan mereka dalam negara merdeka yang komposisi warga negaranya terdiri dari pelbagai kaum. Orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan secara perbandingan dengan kaum-kaum lain. Bahawa orang Melayu memerlukan jaminan - memerlukan pembelaan demi memastikan kedudukan mereka sebagai peribumi tidak terancam.

Kebimbangan orang-orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkan di dalam Perlembagaan Merdeka, klausa-klausa tertentu menyentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu.

Sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh Raja-Raja serta bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang- orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-Raja. Institusi Raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping melakukan keadilan kepada warga keseluruhannya. Institusi Raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian.

Raja-Raja memahami bahawa Perlembagaan Merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya. Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan. Negara aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah.

Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kegelinciran di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan. Dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka ini tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali. Perbuatan demikian jika tidak dihentikan, dibimbangkan akan mengguris hati dan emosi orang- orang Melayu.

Oleh itu, warga dan rakyat yang Beta kasihi, hendaklah berfikiran secara rasional, tindakan-tindakan politik secara berlebihan dan keterlaluan hendaklah dihentikan segera. Kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan hendaklah diutamakan. Keamanan negara, kerukunan warga tidak harus dikorbankan kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

Semoga negara dan warga terus diberikan perlindungan dari Allah Subhanahu Wataala dan barang dijauhkan negara dan bumi ini dari ditimpa sebarang musibah.

Wabillahi taufik, walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



Berita di pautan berikut dari Bernama, sini, Utusan Malaysia dan Nut Graph. Lain-lain tulisan blog di Lenggong Valley, dan Hanzou Sinrei

2 ulasan:

SESTER berkata...

T kasih saudara kerana buat link ke blog saya....tq

balan berkata...

As a Malaysian Indian, I would agree that Social Contract may still be relevant but only if relevant parties adhere to principles and practise what they preach.

At the moment that is not the case. With rights comes responsibility.

Everyone should strive to uphold the priciple agreed upon wihout being suspicious with each other. Honesty and not greed should be the key here.

And relationship between races should start from the young which means they should all go to one school so that they can understand each other better, get comfortable, know each other's beliefs and culture.

This would also mean only one school for all malaysia, national school (not malay school). I for one when to a national school and benefitted tremendously. What I gained can be never experienced by those who went to a vernacular school.

This would mean closing down all Chinese and Tamil school, Will education groups, parents and politicans agree to this??

Regards
http://balankumarpremakumaran.blogspot.com/2008/11/close-down-all-tamil-schools.html

http://balankumarpremakumaran.blogspot.com/