Khamis, 30 April 2009

Bersatu pertahan hak bumiputera

SHAFIE Apdal (tengah) bersalaman dengan ahli-ahli Perkasa pada Majlis Makan Malam Penghargaan dan Penyampaian Sijil Perhimpunan & Sidang Kemuncak Pribumi Negara di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/HALIM KHALID

KUALA LUMPUR 26 April - Masyarakat bumiputera diminta bersatu mempertahankan hak dan keistimewaan mereka sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, mereka perlu berani menyuarakan hak dan keistimewaan tersebut supaya kaum lain turut memahami hak tersebut sepenuhnya.

"Kita tidak harus takut dan tidak perlu bimbang mengenai perkara ini kerana kita tidak mengenepikan kepentingan bangsa lain,'' katanya.

Beliau berucap pada majlis Makan Malam Penghargaan dan Penyampaian Sijil Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi Negara anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini malam ini.

Turut hadir Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan timbalannya, Datuk Fuad Hassan.

Shafie turut meminta masyarakat bumiputera supaya memperhebatkan lagi penguasaan mereka dalam bidang ekonomi dan pendidikan sebagaimana kaum lain.

"Amat penting bagi kaum bumiputera memperkuatkan azam untuk memperkuatkan lagi kedudukan mereka bukan sahaja dalam politik bahkan ekonomi dan pendidikan,'' ujarnya.

Sementara itu, Ibrahim dalam ucapannya meminta kerajaan supaya menjelaskan konsep Satu Malaysia kepada rakyat jelata dengan lebih meluas.

"Perkara ini perlu dilakukan segera kerana ramai yang terkeliru dengan konsep ini dan parti pembangkang pula mengambil kesempatan mengeksploitasinya demi kepentingan politik mereka,'' katanya.

Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi Negara telah diadakan di sini pada 22 Mac yang lalu bertemakan 'Pribumi Bertindak Demi Negara' dengan bermatlamatkan memperkasakan maruah agama, bangsa dan negara.

Sumber: Utusan Malaysia, April 27hb, 2009

Sabtu, 25 April 2009

PERKASA kesal polisi pemansuhan ekuiti tempatan


1. PERKASA menghormati tindakan kerajaan meliberalisasikan 27 subsektor dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan dengannya berkuat kuasa serta-merta tanpa mengenakan sebarang syarat ekuiti seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Rabu 22 April 2009.

2. PERKASA juga menginsafi bahawa tujuan tindakan tersebut adalah untuk membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. Ini bermakna langkah ini dilaksanakan demi kepentingan negara dan rakyat jelatanya.

3. PERKASA juga menghormati kenyataan kerajaan bahawa inisiatif liberalisasi ini tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan kerana ianya dilaksanakan dibawah kawalseliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan di bawah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

4. Bagaimanapun PERKASA kesal kerana kerajaan memansuhkan syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan. Ini bermakna usahawan Bumiputera tertutup peluang menyertai sektor ini walaupun ianya merupakan komponen penting dalam ekonomi negara yang menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan 47.6 peratus merupakan sumbangan perkhidmatan bukan kerajaan.

5. Memang mutakhir ini wujud segolongan usahawan Bumiputera yang berkemampuan untuk bersaing menerusi sistem yang terbuka. Tetapi, jumlah usahawan yang mampu berjaya menerusi sistem meritokrasi ini pastinya masih kecil dan belum menyeluruh.

6. Oleh itu, PERKASA bimbang bahawa keputusan kerajaan ini, walaupun demi untuk negara dan rakyat jelatanya, kemungkinan ianya menjejaskan majoriti usahawan Bumiputera di sektor perkhidmatan yang diliberalisasikan ini tidak dapat dinafikan. PERKASA juga bimbang bahawa tindakan kerajaan ini menjadi permulaan kepada pemansuhan ekuiti 30 peratus sepenuhnya bagi sektor-sektor lain di masa akan datang.

7. Oleh itu, PERKASA berpendapat bahawa keputusan memansuhkan ekuiti 30 peratus dalam sektor perkhidmatan yang dilebralisasikan dua hari lalu wajar dikaji semula dengan seberapa segera. Sekurang-kurangnya kerajaan wajar menetapkan ekuiti yang yang lebih kecil daripada kadar 30 peratus sebelum ini. Pada waktu yang sama, kerajaan perlu menyatakan secara tegas bahawa tahap ekuiti 30 peratus yang dikenakan sebelum ini akan dikuatkuasakan semula sebaik sahaja ekonomi negara pulih seperti sedia kala.

8. PERKASA menyatakan pendapat serta mengemukakan saranan di atas kerana dalam apa jua keadaan adalah kurang wajar jika status Bumiputera di negara ini seolah-olah diremehkan. Tindakan seperti ini memberikan persepsi dan impak negatif kepada kesungguhan kerajaan mempertahankan program dan dasar affirmatifnya bagi masyarakat Bumiputera seluruhnya.

9. Sekian. Terima kasih dan salam takzim.

Ibrahim Ali
25 April 2009

Isnin, 20 April 2009

Peranan raja tidak terbatas kepada yang tersurat - Sultan Azlan

Laporan Bernama berikut:

Raja Berada Atas Politik, Tidak Mampu Tangkis Tohmahan Secara Terbuka

KUALA KANGSAR, 19 April (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini bertitah bahawa seseorang raja sebenarnya berada di atas politik dan tidak boleh turun untuk berdebat dengan terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik tertentu.

Baginda bertitah
tindakan kumpulan politik berkenaan yang sampai ke peringkat menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain turut mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja merupakan satu perbuatan 'menyalakan api dalam sekam' yang amat berbahaya dan boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

"Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara.

"Betapa kumpulan politk tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang-undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa," titah baginda pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda di Istana Iskandariah di sini, Ahad.

Sultan Azlan bertitah pada hemat baginda, negara kini telah terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

"Dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa ini tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi mangsa terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian," titah baginda.

Baginda bertitah oleh itu para pemimpin yang mewakili kumpulan politik yang berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama di antara mereka demi kepentingan negara dan warga.

Sultan Azlan bertitah sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara, diakui bahawa berlakunya kepincangan dan salah laku serta insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir negara.

"Beta sendiri dari masa ke masa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahupun secara tertutup akan perkara-perkara yang tergelincir dari dasar dan garis perundangan.

"Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa indivIdu atau yang berpunca dari kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.

"Barang dijauhkan Allah dari bangsa menghadapi nasib malang 'menang sorak kampung tergadai', akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah anggapan salah bahawa raja berperlembagaan adalah sekadar lambang tanpa sebarang kuasa merupakan tafsiran yang perlu diperbetulkan.

Titah baginda, raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala perkara yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.

"Perlu ditegaskan bahawa raja berpelembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran."

Sultan Azlan bertitah raja berpelembagaan bertindak tertakluk kepada kuasa yang termaktub di dalam perlembagaan tetapi adalah satu kesilapan untuk memikirkan bahawa peranan seorang raja pemerintah itu sama seperti seorang presiden yang terbatas semata-mata kepada apa yang tersurat.

"Peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan perlembagaan. Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam memastikan bahawa semangat perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara perlu sentiasa dilindungi," titah baginda.

Baginda bertitah berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, raja-raja mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain.

"Perkara-perkara ini adalah asas persefahaman yang telah tercapai dan merupakan resipi kejayaan terbentuknya sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat, membolehkan warganya hidup rukun lagi bersatu," titah Sultan Perak.

Ahad, 19 April 2009

Raja Nazrin Tekad Pertahan Institusi Beraja Daripada Dipersenda

KUALA KANGSAR, 19 April (Bernama) -- Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini bertitah akan mengambil tanggungjawab utama untuk melaksanakan segala usaha bagi memastikan tradisi institusi beraja yang menjadi teras kepada sistem berkerajaan dan bernegara di negara ini akan terus dipertahankan.

"Bahawa kemuliaan dan kedaulatan seorang Raja Pemerintah itu tidak akan anakanda redha untuk dipersendakan. Untuk itu warga perlu diinsafkan supaya jangan terlalu cepat membuang pelita, kerana riang melihatkan fajar akan menyingsing; kerana hari siang juga akan berakhir.

"Jangan nanti bila malam mendakap senja, warga dan bangsa akan hidup teraba-raba - hilang haluan, kerana diselimuti kegelapan malam tanpa pelita," titah baginda pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini, Ahad.

Baginda bertitah Raja-Raja Melayu bukan sekadar simbol kepada negara bangsanya, malah Kesultanan Melayu merupakan institusi penting berperanan sebagai pusat pengukuhan kepada warga dan bangsanya.

Raja Nazrin bertitah sistem pemerintahan berteraskan Kesultanan Melayu yang telah wujud selama lebih 600 tahun, telah berjaya membangunkan satu budaya dan satu tamadun yang agung.

Titah baginda kebijaksanaan pemerintahan beraja membantu berlakunya proses pengembangan intelek dan dari sumber istana itulah lahirnya karya-karya agung dalam dunia penulisan bangsa.

"Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan - simbol kekuatan warga - payung mahkota negara. Raja Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa.

"Rakyat yang memahami budaya rakyat beraja - negeri bersultan, memahami akan falsafah pemerintahan beraja, akan peranan Raja secara tersirat di sebalik yang tersurat, terutama peranan dan tanggungjawab mengekalkan identiti negara bangsa,"
titah baginda.

Baginda bertitah kelangsungan sesuatu bangsa dan wajah sesebuah negara bergantung pada faktor-faktor yang telah memberikannya identiti daripada segi institusi, agama, budaya dan bahasa.

"Tindakan-tindakan menghina institusi, mempersendakan institusi, menanam kebencian terhadap institusi adalah langkah awal dalam gerakan ke arah menghapuskan institusi - lalu menghapus identiti asal negara bangsa. Di era peperangan dingin, langkah-langkah sedemikian lahir dari kumpulan yang berpegang kepada doktrin politik berfahaman kiri dan dikategorikan berunsur subversif.

"Atas nama Revolusi Budaya, di China dan indoktrinasi komunisme di Kampuchea (Kemboja) dan Vietnam, anak-anak dihasut hingga sampai ke peringkat ekstrem, membenci dan memusuhi ibu bapa kandung sendiri; pemimpin-pemimpin agama dicerca dan rumah-rumah ibadat dimusnahkan, ada rumah ibadat yang dijadikan tempat ternakan haiwan; lalu berlakulah keadaan anarki yang terpaksa dibayar dengan nyawa dan darah di samping modal sosial negara bangsa habis termusnah," titah baginda.

Baginda bertitah hari ini dunia sedang menghadapi gelombang globalisasi yang menghempas setiap sempadan dan mahu memecahkan benteng budaya dan berkemungkinan menghanyutkan lembaran sejarah negara bangsa.

Raja Nazrin bertitah warga muda yang sedang dilambung ombak globalisasi, perlu bijaksana mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan terhadap pemodenan supaya air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit.

Titah baginda ada yang menganggap bahawa untuk maju, penekanan hendaklah ditumpukan kepada budaya yang progresif lalu menyifatkan tradisi dan sejarah akan meletakkan bangsa tertinggal dalam budaya yang statik.

"Globalisasi sebenarnya turut membawa gelombang kolonialisme baru untuk menghanyutkan tradisi sesebuah negara bangsa - lalu menghapuskan identiti asal negara bangsa.

"Warga perlu disedarkan, bahawa tidak semua yang berbentuk tradisi itu menghalang kemajuan kerana tradisi yang berjaya ditafsir secara bijak dan ditakrifkan secara arif dapat berfungsi sebagai pemudah cara memajukan negara bangsa. Bahawa elemen-elemen budaya bangsa yang merupakan faktor penyatuan bangsa selama hari ini, adalah modal sosial yang amat berharga yang wajib dipertahankan,"
titah baginda.

Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan tiga orang lagi mendahului senarai 800 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun ke-81 keputeraan Sultan Azlan, pada majlis penganugerahan hari ini.

Zambry bersama-sama Menteri Kewangan II, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Kong Cho Ha dan Orang Kaya-kaya Panglima Kinta, Seri Amar Diraja Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan dianugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.