Sabtu, 7 Mei 2011

Ayuh! Gerakkan segera 1Melayu, 1Bumi


Oleh Zaini Hassan

ORANG Cina telah bersatu. Keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak telah membuktikannya. Malah, sebenarnya orang Cina telah pun bersatu sejak dulu lagi.

Perkembangan politik muaasir (kontemporari), selepas era-Mahathirisme dan semasa era-Abdullahisme telah membuktikan ikatan orang Cina lebih utuh dan berpadu. Hubungan kekitaan, kekeluargaan serta brotherhood dan ukhwah orang Cina lebih erat, tanpa boleh ditandingi oleh mana-mana kaum di atas muka bumi Malaysia ini.

Walaupun antara mereka berlainan haluan politik, tapi apabila sampai masa menentukan arah untung nasib kaum Cina – mereka akan bersatu atas pangkahan undi yang sama. (kenyataan ini amat benar sekali jika kita merenung balik kenyataan yang pernah dibuat oleh Presiden MCA Chua Soi Sek bahawa MAC tetap akan bersama DAP jika apa yang diperjuangkan oleh DAP itu membabitkan kepentingan kaum Cina)

Dalam ekonomi, mereka membantu antara satu sama lain. Dari sekecil-kecil ekonomis kepadalah yang sebesar-besarnya, mereka akan tolong-menolong antara satu sama lain.

Budaya telah berjaya menyatupadukan orang Cina. Dalam masyarakat Cina tiada istilah bidaah yang boleh memesongkan mereka daripada soal budaya dan adat resam bangsa. Bahasa Cina diangkat tinggi, malah ada yang kata orang Cina yang tidak boleh membaca Cina pun akan turut membantu membeli akhbar Cina. Maka itu, akhbar Sin Chew Jit Poh – suara keramat orang Cina, menjadi antara akhbar yang paling tinggi edaran dan keuntungannya di Malaysia.

Sekolah Cina terus dijadikan sebagai cagaran politik utama – yang tidak boleh dikompromi sama sekali.

Pendek kata, orang Cina sebenarnya amat beruntung sekali berada di bumi Malaysia ini. Mereka telah menguasai segala-galanya. Sepuluh teratas orang mereka adalah bilionaire Malaysia. Sebahagian besar kedai yang ada di atas muka bumi Malaysia ini milik mereka. Hampir semua pelajar yang belajar di universiti swasta dan IPTS ternama dan mahal-mahal di negara ini rata-ratanya orang mereka.

Saya telah nyatakan perkara itu dalam Cuit bertajuk Apa lagi orang Cina mahu? tahun lepas. Tulisan itu dipetik sepenuhnya oleh akhbar Straits Times Singapura dan surat pembaca yang saya terima dari republik itu menyokong penuh tulisan itu.

Apa yang saya katakan ini adalah hakikat atau fakta.

Hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuh oleh orang Cina, yang lain semua sudah. Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia.

Slogan itu sebenarnya bukan ditujukan kepada orang lain, tapi khususnya kepada orang Cina. Terpapar megah di dada baju penyokong dan calon DAP dalam pilihan raya Sarawak supaya diubah kepimpinan Melayu Malaysia ini.

Terus terang saya katakan, saya amat menyanjungi orang Cina. Mereka mempunyai matlamat dan masa depan yang cukup jelas. Walaupun tindakan itu berbau politik atau bukan, soalnya mereka cukup bersatu. Politik digunakan sebaik-baik mungkin untuk menyatupadukan kaum itu.

Kita jangan salahkan DAP. Apa yang DAP lakukan itu amat betul untuk masa depan kaumnya. Jika Pas dipergunakan oleh DAP untuk memecahkan bangsanya sendiri, itulah operatif licik DAP.

DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina. MCA gagal dan SUPP pun gagal. Itu hakikat atas kertas. Malah seorang sahabat saya berbangsa Cina, pengarang sebuah akhbar ternama bersetuju bahawa orang Cina kini ke arah menyokong pembangkang. Pilihan Raya Umum Ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka.

Sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru.

Apa yang harus UMNO lakukan? UMNO harus berfikiran seperti DAPkah?
Pandangan saya, apa yang UMNO harus lakukan sekarang, di masa yang amat terdesak sekarang, ialah melancarkan gelombang perpaduan bangsa – 1Melayu, 1Bumi.

Lancarkan segera 1Melayu, 1Bumi dalam lingkungan UMNO dan parti-parti Melayu yang lain.

Jika Pas degil dan tidak mahu ikut serta, gabungkan dengan puluhan NGO-NGO Melayu yang kini tumbuh bagaikan cendawan di atas bumi Malaysia ini. Perlu diingat NGO-NGO itu wujud kerana mereka dahagakan wadah perjuangan untung nasib bangsa semakin ditinggalkan. UMNO harus tarik pertubuhan sukarela ini ke hadapan dan menjadi juara semula dalam soal ini.

Persetankan Pas yang ternyata telah menggadaikan perjuangan bangsa Melayu untuk kepentingan politik totok mereka. Hairan sungguh, para penyokong Pas akan menjadi lebih kuah daripada sudu semasa berkempen, dan mereka tidak pernah sedar bahawa secara senyap-senyap DAP cukup strategik mempermainkan mereka.

Saya kira, sekiranya lima kerusi Pas di Sarawak itu ditandingkan di kawasan Cina sudah pasti mereka akan menang dan ada wakil dalam dewan undangan negeri. Tapi DAP telah mempermainkan mereka. Pas diletakkan di kawasan kaum bumiputera, bagi membolehkan kaum bumiputera terus berpecah. Pas seperti biasa, tidak sedar semua itu.

Dalam usaha meniupkan gelombang 1Melayu, 1Bumi, tidak salah 1Malaysia diteruskan kerana ia adalah dasar jangka panjang negara. Parti komponen Cina dalam BN pun tidak akan marah jika UMNO melancarkan gagasan 1Melayu, 1Bumi kerana bagi mereka orang Cina telah pun bersatu.

Tidak salah bagi orang Melayu melancarkan seruan 1Melayu, 1Bumi kerana orang Melayu sendiri belum bersatu.

Dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini, saya ada mengatakan orang Melayu berpecah kepada enam golongan. Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu Liberal dan Melayu Atas Pagar.

Orang Melayu cukup berpecah. Orang Cina tidak akan marah sekiranya orang Melayu bersatu kembali. Mungkin DAPlah yang tidak selesa kerana matlamat mereka untuk memecah-belahkan lagi orang Melayu akan gagal.

Bagi DAP, selagi konsep Malaysia Malaysian mereka tidak berlaku, selagi itu mereka akan berusaha keras untuk menjayakannya.

UMNO harus meniupkan gagasan 1Melayu, 1Bumi ini segera. Orang Melayu harus disatukan segera bagi memastikan mereka menguasai semula politik yang semakin terhakis daripada tangan mereka.

Walaupun Melayu berpecah, namun ada lagi suara-suara segelintir yang amat sayangkan bangsa. Seorang sahabat umpamanya, menghantar SMS semasa tulisan ini ditulis berbunyi: “Tolong tulis...BN jangan lagi bagi kawasan majoriti Melayu kepada wakil MCA, Gerakan dalam PRU akan datang... cukup sudah pengorbanan UMNO yang dibalas dengan tuba. MCA dan Gerakan WAJIB akur kerana kalau mereka kalah dengan DAP, wakil mereka tak perlu dilantik dalam kerajaan...”

Itu ialah suara marah. Orang Melayu marah. Tapi kita harus rasional. Susun semula barisan dan gelombang satukan orang Melayu.

Saya bercakap bagi pihak bangsa saya. Gagasan inilah yang turut dimainkan oleh sahabat saya, saudara Ridhuan Tee Abdullah, seorang mualaf Cina yang cukup kental jiwa ultra-Melayunya. Orang Cina amat tidak menggemari beliau di atas semangat assabiyah Melayu beliau itu.

Namun bagi Ridhuan, dan orang Melayu yang lain, mereka amat khuatir dengan perkembangan mutakhir yang berlaku di negara ini sekarang.

Namun, penghargaan harus diberi kepada kaum bumiputera Sarawak yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan begitu betul sekali.

Saya angkat topi kepada kaum bumiputera Sarawak yang dilihat lebih matang daripada orang Melayu di Semenanjung. Sekiranya mereka tidak bersatu dalam pilihan raya 16 April lalu, maka Sarawak sudah tentu akan jatuh ke tangan orang lain.

Orang bumiputera Sarawak telah memberi satu petunjuk yang amat berharga supaya diikuti oleh kaum Melayu di Semenanjung.

Namun, orang Melayu Semenanjung berpecah enam. Mereka masih lagi berpecah enam.

Oleh itu menjadi kewajipan UMNO; atas nama pejuang-pejuangnya yang terdahulu; dan sebagai parti induk orang Melayu; lancarkan segera slogan 1Melayu, 1Bumi bagi menggerakkan semula gelombang kebangsaan bangsa itu.

Melayu harus dan wajib disatukan kembali sebagaimana kita mahu satukan orang Malaysia di bawah semangat 1Malaysia. Tiada makna adanya 1Malaysia, jika orang Melayu sendiri pun berpecah.
Kini terletak dalam tangan UMNO untuk menentukan hidup atau mati bangsa ini.

Orang Cina sudah ada 1Cina dalam erti kata tersendiri. Orang Melayu pun perlu ada 1Melayu, 1Bumi. Ayuh gerakkan!

Rabu, 4 Mei 2011

Realiti politik perkauman DAP


Oleh : PROFESOR DR. AHMAD ATORY HUSSAIN

Sejarah perjuangan parti ini bermula apabila Singapura menyertai Malaysia pada 1963 dengan Lee Kuan Yew memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) di negara itu yang berideologi sosialis.

Semasa Malaya mencapai kemerdekaan tidak ada parti perkauman seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang ada parti sosialis yang ditolak sebahagian besar rakyat. Apabila Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, DAP menggantikan PAP di negara ini dan sejak itu DAP bertanding dalam setiap pilihan raya umum (PRU) dengan fahaman yang menolak sistem politik berasaskan pelbagai kaum.

DAP dilihat sebagai parti yang hanya memperjuangkan kaum Cina, walaupun dianggap sebagai partai sosialis. Prestasi DAP mula meningkat pada PRU 1969, dengan memperoleh 13 kerusi Parlimen. Prestasi paling tinggi adalah dalam PRU 1986 (24 kerusi Parlimen) dan kemuncaknya dalam PRU 2008 (28 kerusi).

Dalam PRU selainnya, adalah sekitar 10 atau 11 kerusi sahaja yang diperoleh parti itu dan DAP menjadikan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) MCA dan Gerakan sebagai menguji kekuatan pengaruhnya.

DAP yang merupakan parti pembangkang kaum Cina terbesar bergerak mara hingga membentuk kerjasama longgar dengan Pas pada 1999 dan kemuncaknya pada PRU 2008 dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut serta mewujudkan pakatan pembangkang tunggal yang mencabar Barisan Nasional (BN).

Walaupun DAP di dalam pakatan pembangkang, ideologi mereka masih tidak sama dengan ideologi Pas. Sementara itu, MCA atau Gerakan dilihat bersifat sederhana.

Secara umumnya, MCA mengakui semua bentuk institusi politik negara yang berasaskan Perlembagaan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan agama Islam agama rasmi serta mengakui hak istimewa orang Melayu, walaupun di dalam hati mereka tidak bersetuju, tetapi mereka tidak menunjukkan dalam tindakan dan prinsip parti mereka.

Berbeza dengan DAP, ia terang-terangan menolak yang boleh dikatakan semua yang berasaskan kemelayuan dan keislaman di negara ini. Tentunya slogan Malaysian Malaysia itu masih menjadi ideologi DAP yang didorongi oleh sistem politik Singapura yang berbentuk republik.


Keinginan DAP mewujudkan semacam ‘ala republik’ di Malaysia tentunya menolak sama sekali akan realiti masyarakat dan sejarah negara ini yang berpaksikan kemajmukan!

Pendek kata MCA dan Gerakan lebih praktikal dan tahu akan sejarah pembentukan negara ini dan menyedari bahawa tanpa kerjasama dengan UMNO yang ketika merdeka dahulu mewakili sebahagian besar orang Melayu, keadaan nasib kaum Cina dan India tidak terjamin.

Disemarakkan lagi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin PKR dan pakatan pembangkang, maka DAP berserta dengan Pas berjaya mempengaruhi sebahagian daripada pengundi Cina untuk menyokong perjuangan PKR yang dikatakan mirip ideologi DAP.

Sementara Pas dilihat dengan sebelah mata atas dasar ingin mengambil kesempatan daripada pengaruh parti itu dan mengaut keuntungan politik, tetapi Pas kurang sedar akan taktik DAP itu!

Kemenangan cemerlang pakatan pembangkang dalam PRU-12 menyemarakkan lagi semangat DAP untuk menjadi jaguh kaum Cina dan semakin berlagak menjadi jaguh pakatan pembangkang. Apalagi dengan Anwar berdepan dengan masalah peribadinya manakala MCA atau Gerakan semakin ketinggalan kereta api.

Pakatan pembangkang yang meniupkan anti UMNO dan BN serta bercita-cita hendak menukar sistem politik Malaysia kepada republik dan menentang sebahagian daripada Perlembagaan negara jelas berjaya mempengaruhi sebahagian pengundi Cina dan Melayu yang tidak begitu faham sejarah dan selok-belok politik negara ini. (Besar kemungkinan faktor sejarah kenegaraan kurang dititikberatkan di kalangan generasi muda!)


Dipendekkan cerita, DAP berjaya mewujudkan suatu persepsi politik bahawa kebangkitan kaum Bumiputera/Melayu dalam pembangunan ekonomi melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) boleh mengancam survival orang Cina, yang mana pada realitinya tidak begitu.

Sebagai pribumi, mereka pun ingin maju seperti bukan Melayu dan ingin duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dalam pembahagian ekonomi negara dengan kaum Cina. Salahkah? Ini tidak dimengertikan oleh DAP. Parti itu menganggap rendah kebolehan orang Melayu, kerana dimomokkan oleh pemimpin seperti Lee Kuan Yew.

Sedangkan orang Melayu dan rakyat seluruhnya sudah pun terbuka minda mereka dan menginginkan kemajuan, dan tidak selamanya orang Melayu itu bodoh, malas dan tidak kebolehan.

Mereka dikaburkan dengan persepsi bahawa orang Cina didiskriminasi dalam semua bidang, pada hal hakikatnya yang lebih banyak menikmati ekonomi negara adalah bukan Melayu tetapi ini tidak pernah disebut, yang dibangkitkan ialah orang Melayu yang menguasai politik dan pentadbiran akan menindas kaum lain!


DAP juga menerima nasihat-nasihat daripada ahli akademik mereka yang kebanyakannya anti establishment. Semua yang Melayu (terutama pemerintah) buat, ada sahaja yang tidak kena kepada golongan ini!

Politik perkauman anti establishment ini jelas dihamburkan dengan membangkitkan sentimen anti Perlembagaan Malaysia, menganggap Perlembagaan ini akan memusnahkan masa depan mereka.

Pada hal dengan Perlembagaan, selama ini rakyat dapat menikmati erti kehidupan yang lebih baik dari negara tempat asal mereka. Ini semua dianggap sebagai hujah lapuk dan ketinggalan.

Sehingga seorang ahli akademik dari luar negara yang membuat kajian mengenai: Problems Among Minority Groups in Malaysia” mendapati di Malaysia golongan minoriti tidak ada masalah! Sedangkan di negara-negara lain di dunia, semua minoriti ada masalah!

Hebatnya Malaysia dipandang dari luar, tetapi dipandang oleh segolongan rakyatnya sendiri sebagai “hampas”. Ideologi DAP tidak mengakui hakikat masyarakat berbilang kaum dan tidak mengakui politik berasaskan kerjasama antara kaum.

DAP masih mengharapkan kerjasama daripada Pas dan PKR tetapi kedua-dua parti itu juga tidak dapat dibuktikan boleh memberi jaminan kepada semua kaum di negara ini. Peningkatan pengaruh DAP tentunya disebabkan kelemahan MCA dan Gerakan sendiri. Kedua-dua parti itu gagal meyakinkan orang Cina bahawa mereka akan terus terjamin dalam BN.

Sementara itu, UMNO pula mengalami krisis demi krisis, jadi nampak seperti mereka sudah lemah semangat dan akan keluar dari BN jika kalah dalam PRU akan datang.

Soalnya sampai bila majoriti pengundi Cina hendak berteduh di bawah DAP? Jika MCA kecundang dalam PRU-13, tidak mustahil wakil Cina tidak ada di dalam kerajaan.


Sejarah 13 Mei 1969 membuktikan jika pola seperti sekarang ini berlaku, konflik kaum akan berlaku. Ini tidak sihat bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia. Untuk itu saya berpendapat, mahu tidak mahu, masyarakat Cina akan kembali kepada status quo di mana akan berlaku semula keseimbangan politik.

Pada hemat saya, ini merupakan satu ujian besar bagi parti-parti politik di negara ini yang mana parti yang terlalu kuat sifat perkauman tidak akan ke mana. Ini berdasarkan kepada teori politik di Malaysia, bahawa politik pelbagai kaum adalah paling sesuai, dan yang berasaskan perkauman sempit tidak dapat diterima untuk jangka panjang.

Selain itu kerjasama antara parti politik pembangkang terlalu bersifat politik dan penuh muslihat juga dilihat tidak kekal lama. Pas semakin hipokrit. PKR, dianggap retorik dan huru-hara kini. Sebab itu kerjasama antara parti politik dalam BN kelihatan lebih ikhlas walaupun dipandang oleh pembangkang sebagai parti yang usang.

Tetapi itulah realiti politik Malaysia, yang majmuk sifatnya, yang perlu bertoleransi, tidak semudah itu bermain politik perkauman! Politik geram dan sentimen kaum tak ke mana. Percayalah.