Jumaat, 13 Februari 2009

Sultan Selangor murka dengan sikap biadap, Kerabat Kedah tuntut Karpal diharamkan masuk Perak


Bekas MB Perak, Dato Seri Muhammad Nizar telah memfailkan saman terhadap MB baru Perak, Dato Dr Zambery Kadir pagi tadi hari ini di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Walaupun saman ini mungkin sekali dibuang kerana defenden yang dinamakan itu tidak terlibat dalam membuat apa-apa keputusan dan defendan yang sepatutnya adalah Sultan Perak, saman ini adalah satu tindakan ingkar terhadap keputusan Sultan Perak dan tiada menunjukkan hormat kepada Institusi Raja.

Mungkin ada 'prosedur' yang digunakan oleh Sultan Perak boleh dihujahkan dari segi undang-undang, tetapi intipati dan realiti yang boleh dipendikkan cerita adalah kerajaan Pakatan Rakyat telah hilang majoriti dan DYMM Tuanku telah mengesahkan dengan kesemua 31 ADUN.

Sultan telah bertindak mengikut peruntukkan Uudang-undang Tubuh Negeri Perak, Perlembagaan persekutuan, dan Akta Interpretasi yang memberikan kuasa kepada Sultan Perak untuk hire and fire. Kehilangan majoriti oleh Pakatan rakyat adalah sesuatu yang jelas dan tidak dapat dipertikaikan lagi.

Kemelut ini tidak akan terjadi jika Nizar tidak menurut percaturan Ngeh dan Nga untuk enggan meletakkan jawatan sebagaimana yang dititahkan oleh DYMM Tuanku dan mahu bermain politik untuk melengah-lengahkan penurunan jawatan dengan prosedur yang lebih panjang dan rumit.

Disamping itu, ianya tidak akan berlaku jika Nizar tidak cuba mempertahankan tindakan penipuan Speaker DUN PR yang cuba menipu SPR untuk memecat dua ADUN yang dipilih menggunakan surat haram yang ditandatangan kosong dan telah dinafikan oleh penandatangan-penandatangan surat.

Titik tolaknya ini tidak akan terjadi jika Nizar mengambilkira keprihatinan Tuanku Sultan kepada hak dan kepentingan orang Melayu. Nizar adalah pilihan DYMM Tuanku Sultan Perak tetapi prestasi kerjanya mengecewakan. Sepanjang pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak, Nizar telah macam dicucuk hidung akur dan menurut kepada kerakusan dan kegelojohan exco-Exco dari DAP yang diketuai oleh Ngeh dan Nga.

Pengerusi DAP bakal memfailkan saman terhadap DYMM Sultan Perak secara berasingan. Tanpa memperdulikan suara-suara yang memprotes dan marah dari rakyat jelata terhadap sikap 'kurang ajar' untuk menyaman simbol kedaulatan negara, Karpal Singh masih berpendirian degil dan angkuh. Ini hanya menyerlahkan kebencian dan dendam kesumatnya yang lama terhadap kesemua Raja-Raja Melayu.

Melihat perkembangan tidak sihat ini, DYMM Sultan Selangor telah mengeluarkan satu kenyataan menyuarakan kekecewaan beliau terhadap sikap yang ditunjukkan terhadap kekanda Baginda, Tuanku Sultan Perak yang dianggap sebagai Sultan yang sangat berilmu tinggi. Baginda menyuarakan kekecewaan yang nampaknya dihalakan terhadap ahli-ahli politik Pakatan Rakyat.

Kenyataan penuh Tuanku Sultan Selangor berikut:


KENYATAAN AKHBAR KHAS PENEGASAN TERHADAP PERGOLAKAN POLITIK YANG BERLAKU DI NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Perkembangan politik, peristiwa demonstrasi jalanan serta pertelingkahan antara pelbagai pihak, bersabit dengan pelantikan kerajaan baru negeri Perak baru-baru ini, yang sehingga membawa pada beberapa gelagat biadab terhadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, amat mendukacitakan dan mengecewakan Beta.

Perkara ini lebih-lebih lagi dirasai oleh Beta kerana DYMM Paduka Seri Sultan Perak adalah Ayahanda Saudara Beta. Malah, keluarga Diraja kedua-dua buah negeri ini mempunyai sejarah pertalian yang erat sehingga hari ini.

DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah yang Beta kenali adalah seorang tokoh yang tinggi ilmu serta pengalaman perkhidmatan perundangan dan kehakiman Baginda, sesuai dengan kedudukan Baginda sebelum ini sebagai mantan Ketua Hakim Negara.

Baginda dan keluarga Baginda juga mempunyai latar belakang serta kelayakan keilmuan yang cemerlang dan sangat peka pada kepentingan rakyat jelata, sehinggakan kebanyakan tindakan Baginda akan bersandarkan pada budaya ilmu, pertimbangan syumul serta amalan bermusyawarah bersama pakar-pakar dalam mana-mana satu isu yang bersabit.

Apa yang kita dapat saksikan yang telah dan sedang berlaku semenjak minggu lalu di negeri Perak amat membimbangkan sesiapapun yang mengaku mencintai agama, bangsa, negara Malaysia, kestabilan, kesejahteraan, kemajuan, keselamatan dan masa depan kita bersama.

Kejahilan terhadap peruntukan undang-undang negeri dan persekutuan, ketaksuban terhadap pihak-pihak tertentu, kehilangan pertimbangan ketika emosi terganggu, keangkuhan yang membutakan diri terhadap hak dan kuasa DYMM Paduka Seri Sultan Perak, kebiadaban sebagai anak watan negeri Perak dan warga negara Malaysia serta mudahnya golongan-golongan tertentu terpedaya dengan budaya "mob" amat memalukan.

Bak kata pepatah, ketika peristiwa sebegini berlaku, "barulah kita kenal siapa kaca siapa permata". Malah dapat juga kita menyelami jati diri pihak-pihak tertentu yang "marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar".

Beta ingin menasihati dengan penuh keikhlasan dengan mengambil kira kepentingan masa depan agama, bangsa dan negara tercinta kita. Janganlah kita mudah terpedaya dengan gelagat serta tindakan yang hanya akan mencemarkan martabat kita, mengundang risiko yang tinggi terhadap kemajuan kita, serta menghakis asas-asas kedaulatan negara ini dengan sifat-sifat keji seperti biadab, derhaka, angkuh, jahil ilmu dan kemaruk kuasa.

Kegawatan ekonomi yang semakin meruncingkan di peringkat global dan serantau menuntut kita supaya memantapkan perpaduan sesama kita walaupun ada perbezaan pendirian. Jangan sehingga nasi menjadi bubur, di mana terlajak kata boleh dimaafkan, tetapi terlajak perbuatan mungkin akan mengundang bencana.

Kepada mereka yang telah berkali-kali mencabar hak, peranan serta kedudukan yang telah dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan, termasuk peranan institusi Raja-Raja, maka Beta ingin menasihatkan supaya rakyat menggunakan pertimbangan dari akal fikiran yang waras sebelum mengambil sebarang tindakan.

Beta terus mendoakan agar Allah SWT akan terus memelihara kita bersama dan menganugerahkan kita dengan hati yang terang, jiwa yang tenang, fikiran yang tajam, perjalanan yang mudah, tindakan yang betul, perhubungan yang harmonis serta waja diri yang unggul untuk mengemudikan negara kita secara bersama dalam mengharungi proses kemajuan seterusnya.

DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ
SULTAN SELANGOR
13 Februari 2009
Sementara itu, Persatuan Kerabat Diraja Kedah telah menyuarakan kemurkaan mereka terhadap sikap bidap Karpal Singh dan menuntut beliau tidak dibenarkan masuk ke negeri Perak yang memang di bawah kuasa DYMM sultan. Laporan tersebut adalah seperti berikut:


Persatuan mahu Karpal diharamkan menjejak kaki di Perak

Utusan Malaysia, Februari 13hb, 2009

ALOR SETAR 12 Feb. - Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK) mahu Sultan Azlan Shah mengharamkan Karpal Singh daripada menjejakkan kaki di bumi Perak.

Yang Dipertuanya, Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya berkata, tindakan Pengerusi DAP itu mahu menyaman Sultan Perak jelas memperlekehkan bangsa Melayu dan rakyat yang bernaung di bawah payung pemerintahan raja-raja Melayu.

Katanya, perbuatan itu juga menunjukkan Karpal tidak layak digelar rakyat Malaysia jauh sekali menjadi wakil kepada rakyat negara ini.

"Kepada Paduka Seri Sultan Perak, kami menyeru dan menyokong sepenuhnya untuk diharamkan Karpal daripada menjejakkan kakinya di bumi Perak.

"Saya rasa Karpal jadikanlah ini satu teladan yang terakhir buatnya sebelum banyak lagi perkara yang tidak diingini akan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) di Istana Kuning di sini hari ini.

Turut hadir Presiden BBPM, Osman Abu Bakar.

Menurut Tengku Zainol Rashid, rentetan peristiwa itu kekebalan dan kuasa raja-raja Melayu mesti dikembalikan semula sebagaimana sebelum pindaan 1983 dan 1993.

Katanya, ia bertujuan memastikan institusi itu tidak sewenang-wenangnya diperlekehkan.

Langkah itu juga tegas beliau, sekali gus akan mengembalikan semula kedudukan raja-raja Melayu selaras dengan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

Sambil melahirkan rasa tidak puas hati dan turut berasa terhina dengan tindakan Karpal, beliau menegaskan, adalah tidak wajar sama sekali rakyat mempersendakan kredibiliti raja-raja.

"Kami percaya raja-raja Melayu mampu memainkan peranan supaya kedaulatan dan kekuasaan orang Melayu sentiasa terjamin dan lain-lain bangsa terpelihara.

"Amat perlu kuasa raja-raja dan kegemilangan institusi raja-raja Melayu ini dikembalikan semula,"

Dalam pada itu, Osman mencadangkan satu sidang khas raja-raja Melayu diadakan bagi membincangkan mengenai tindakan sewajarnya terhadap Karpal yang terang-terangan mencabar institusi raja-raja.

Katanya, adalah jelas Karpal telah melanggar hak ketuanan raja-raja Melayu selain membuat kenyataan angkuh yang tidak pernah terjadi dalam sejarah negara sehingga mewajarkan tindakan dikenakan terhadapnya.

2 ulasan:

kontraktorwibawa.blogspot.com berkata...

Saya rasa sedih, geram dan kecewa dengan nukilan yang terdapat di Buku pelawat DYMM SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN. Semacam saya berada di zaman puak Gasar, puak kanibal yang tidak tahu adab sopan, tidak tahu tata susila serta tidak langsung menghormati Sultan / Raja sendiri.

Komen-komen yang tidak beradab ini akan pula dibaca serta diterjemahkan oleh bangsa-bangsa lain diseluruh pelusuk dunia. Adakah kita akan rasa bangga menjadi bangsa yang berjaya memalukan dan mencaci maki rajanya sendiri?

Jika kita berani berkelakuan serta mengeluarkan kata-kata kesat begitu kepada raja sendiri, jangan fikir bangsa lain akan menghormati raja kita malah mereka akan buat yang lebih hina dari itu kepada kita dan raja kita.

Bangsa kita ni kecil sahaja, tiada apa-apa keistimewaan pun di mata bangsa-bangsa lain di dunia ini. Mereka cuma kenali kita dengan perkataan 'AMUK'. Mungkin hanya itu sahaja kelebihan yang bangsa kita ada.

Perkara ini jika dibiarkan akan mewujudkan satu masyarakat yang tidak lagi menghormati institiusi beraja. Keadaan ini sangat berbahaya untuk negara majmuk yang mana bangsa asalnya masih belum sedia berdikari dan masih ramai dibelenggu kemiskinan serta mengharap raja sebagai payung mereka.

-Kontraktorwibawa.blogspot.com

Tanpa Nama berkata...

Bukan saja haramkan Karpal di Kedah malah di seluruh Malaysia. Baru padan dengan muka penderhaka Sultan tu...