Isnin, 16 Februari 2009

Memorandum Pertubuhan-Pertubuhan Melayu Kepada DYMM Sultan Selangor


MENGADAP KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH AL-HAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH AL-HAJ, PAYUNG MAHKOTA NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN.

Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun Sembah Patik Sekalian Mohon Di Ampun,

Patik rakyat Negeri Selangor Darul Ehsan sekalian, merafak sembah takzim ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan menyanjung tinggi limpah berkenan Tuanku di atas titah Tuanku yang bernas dan sungguh bijaksana berhubung pergolakkan politik yang melanda di Negeri Perak Darul Ridzuan.

Justeru itulah, sebagai rakyat ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, patik sekalian Rakyat Negeri Selangor Darul Ehsan berikrar untuk terus taat setia ke atas Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Sesungguhnya pantang anak Melayu menderhaka kepada Raja dan Institusi DiRaja. Institusi DiRaja terlalu mulia untuk dipersendakan dan diperlekehkan. Atas nama politik dan kepentingan kuasa, kebijaksanaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan Perak yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara yang sangat terkenal arif lagi bijaksana, diremeh, diperlekeh malah diugut oleh golongan yang kononnya pakar dan faham tentang undang-undang di negara ini.

Tampak jelas, golongan ini sesungguhnya mengenepikan institusi DiRaja sebagai institusi unggul, berdaulat tinggi kemuliaannya sejak zaman berzaman. Golongan biadap ini tidak sedar pengertian konsep kerajaan itu sendiri, bererti 'wujudnya Kerajaan BerRaja’.

Akan sebab itulah patik sekalian Rakyat Negeri Selangor Darul Ehsan merafak sembah takzim menyanjung tinggi kenyataan akhbar khas Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sepertimana yang tersiar di dalam akhbar arus perdana Utusan Malaysia pada hari Sabtu, 14 Februari 2009.

Penegasan, dan titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menandakan institusi Raja yang mempunyai kekebalan undang-undang, wajar dihormati sebagai payung mahkota rakyat. Raja diangkat darjatnya oleh Allah S.W.T. sebagai khalifah di mukabumi ini dengan segala kemuliaan dan keistimewaan untuk disanjungi, memelihara agama Allah, sebagai khalifah Allah di mukabumi, selain menjadi pelindung kepada seluruh rakyat yang bernaung di bawah kekuasaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Golongan yang bebal, degil, biadap seperti ini pada pandangan patik sekalian Rakyat Negeri Selangor Darul Ehsan, harus dihukum, dan diberi kursus khas untuk mengingati prinsip kedua Rukunegara yakni “KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA”.

Malangnya, disebabkan mereka ini terpengaruh dengan fahaman liberalisasi, globalisasi, modernisasi, prinsip adat diketepikan, prinsip kemuliaan Raja-Raja Melayu dipandang remeh, sebaliknya segala usaha dan tindak-tanduk mereka yang menyembah derhaka itu, membayangkan elemen dan riak-riak untuk golongan opportunis ini membawa negara ini menjadi sebuah Republik. Republik yang diperintah oleh golongan perusuh, yang beroleh kuasa hasil keganasan yang diajar oleh pimpinan mereka.

Bagi golongan ini kuasa adalah segala-galanya sehingga sanggup menderhaka dan memalukan Raja-Raja Melayu di hadapan mata bukan Melayu. Prinsip ‘biar mati anak jangan mati adat’ tidak lagi mereka junjung. Pada mereka, segala upaya mereka hingga ketitisan darah terakhir hanyalah untuk mempertahankan sedikit kuasa yang mereka ada. Mereka ini pada pandangan patik sekalian, tidak pernah mahu menerima ketentuan Qada dan Qadar Allah S.W.T. Bukankah Allah berkuasa memberi dan menarik balik kuasa dan kerajaan yang diberikan sesiapa jua yang Allah kehendaki?.

Demi menjunjung taat setia tidak berbelah bagi patik sekalian kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, patik berikrar bersama seluruh rakyat Selangor Darul Ehsan yang faham akan sejarah, yang mengerti prinsip pantang Melayu menderhaka, yang mengerti bahawa institusi DiRaja adalah legasi dan lambang ketuanan Melayu, patik sekalian Rakyat Negeri Selangor dengan rasa rendah diri menyokong sepenuhnya titah dan pandangan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berhubung pergolakan politik di Perak.

Patik sekalian juga berikrar bersama seluruh rakyat negeri Selangor Darul Ehsan, selagi hayat dikandung badan, patik sekalian akan memuliakan dan mempertahankan kemuliaan institusi DiRaja yang dinaungi oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku di Negeri Selangor Darul Ehsan, biar membujur lalu melintang patah, namun langkah mayat patik sekalian, Rakyat Negeri Selangor terlebih dahulu, jika ada sesiapa sahaja yang berani menyanggah titah dan cuba mencemarkan kemuliaan dan ketinggian Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai payung mahkota, simbol dan lambang penyatuan rakyat serta pelindung bangsa dan agama Islam yang Maha Suci.

Patik sekalian Rakyat Negeri Selangor pada hari ini juga bertegas atas mempertahankan kemuliaan institusi DiRaja Yang DiPayungi oleh Raja-Raja Melayu:

a) Menyokong sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan sejak zaman-berzaman sehingga membawa kemakmuran dan keamanan negara.
b) Menyatakan ikrar sumpah taat setia kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni AlMarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor Darul Ehsan.
c) Mendukung dan mempertahankan falsafah prinsip kedua Rukunegara ”Kesetiaan Kepada Raja dan Negara”.
d) Memohon agar mana-mana pihak agar tidak menyalahgunakan proses Mahkamah untuk mempersendakan dan memperlekehkan kuasa Raja dan institusi DiRaja.
e) Memohon agar kuasa budibicara KBDYMM Sultan dipertahankan serta immuniti Raja dikembalikan.
f) Memohon agar KBDYMM Sultan menarik balik gelaran-gelaran yang diberikan kepada penderhaka serta mengambil tindakan kepada pemimpin pakatan pembangkang yang menghasut dan menghina Raja dan institusi DiRaja.
g) Mengutuk sebarang usaha dan tindakan yang boleh dianggap menjejaskan keharmonian dan perpaduan antara kaum di negara ini.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun sembah patik harap diampun.

Sekian, wassalam.

Patik sekalian pacal yang hina;

Majlis Belia Selangor
Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor
Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia Negeri Selangor
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM)
PEKIDA Selangor
PESAKA Selangor
Gerakan Belia 4B Selangor
Gabungan Badan Bukan Kerajaan Shah Alam

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam...
Sebenarnya usaha untuk memartabatkan semula institusi Raja-raja adalah bagus dalam keadaan politik kucar kacir yang berpunca dari pembangkang yang telah dengan secaranyata menderhakai Sultan. Khir Toyo dilihat antara pemimpin yang telah menonjolkan diri dalam usaha ini. Tapi adakah Khir Toyo ikhlas berjuang atau sekadar menonjolkan diri untuk tinggikan ranking beliau sebagai calon Ketua Pemuda UMNO?

Hang-Jebat berkata...

Betul ke puak ni nak memartabatkan institusi raja-raja. Sebelum ni di aman puak-puak ni semua. Tidor ke? Atau sibuk menyamun harta rakyat sampai lupa Kuasa Raja-Raja. Kalau sebelum ini, anak Raja pun puak-puak ini bawa lari ke Siam. Ikhlas sangat ke hendak hantar memo. Masa Tanah Rezab Melayu mereka jual ke Kapitan ada mereka ingat Raja-Raja? Kalau sudah namanya orang politik,... fikir-fikirkanlah,..