Jumaat, 13 Februari 2009

Penerangan Perundangan Mengenai Kemelut Perlantikan MB Perak

Datuk Dr Rais Yatim, Menteri Luar Negara, pengamal undang-undang berkelulusan Phd dan ahli politik yang sangat ahli dalam isu melibatkan Raja-Raja menulis di Utusan Malaysia pada Februari 10hb, 2009 baru-baru ini untuk memberikan penerangan mengenai masaalah kemelut politik di Perak.

Tulisan beliau berikut:

KEMELUT PELANTIKAN MB PERAK

Oleh Datuk Seri Dr Rais Yatim

PERKEMBANGAN di Perak yang antara lain cuba mengheret Sultan Perak ke Mahkamah susulan pelantikan Menteri Besar (MB) baru, mengandungi ramuan yang boleh membawa kepada keadaan kelam-kabut.

Jika tindakan tegas tidak diambil ia juga mungkin menimbulkan huru-hara politik, sesuatu yang jauh daripada diperlukan pada saat-saat negara menghadapi kesan kemelesetan ekonomi dunia.

Kemelut di Perak memerlukan pemahaman dan penerimaan semua pihak yang terbabit. Apa yang diteraskan oleh perundangan negeri itu kini telah dipolitikkan oleh pelbagai pihak secara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Sultan Perak telah menggunakan kuasa dirajanya melantik Menteri Besar baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir pada 6 Februari 2009.

Menteri Besar (MB) terdahulu, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa seperti yang diberitakan media bahawa beliau telah tidak ditamatkan perkhidmatannya selaras dengan undang-undang, justeru pihaknya mengambil tindakan untuk 'meneruskan' perkhidmatannya dan Exconya sementara menunggu keputusan mahkamah.

Malangnya pada masa yang sama pelbagai blog termasuk media cetak Pas, Harakah, bertindak menyebarkan hasutan membenci satu-satunya raja Melayu yang berwibawa dan bijaksana.

Sekarang semacam ada dua Menteri Besar dan dua Exco bagi negeri Perak, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelumnya di dunia.

Dalam situasi begini keadaan politik dan pentadbiran di Perak tampak berkecamuk lantaran begitu keterlaluan sesetengah pihak bertindak. Dalam hal ini jelas bahawa penyokong-penyokong PKR, DAP dan Pas merasakan lunas perundangan dan keadilan telah dikompromi sementara pihak Barisan Nasional pula puas hati bahawa semua tuntutan undang-undang negeri telah pun disempurnakan.

Perihal pada masa ini kuasa raja dan tuntutan politik telah bertembung tidak dapat dinafikan. Perkembangan ini membawa kita ke tahun-tahun 1993 dan 1994 apabila Perlembagaan negara dipinda melalui suara majoriti di Parlimen.

Tindakan legislatif itu telah mengurangkan beberapa hak diraja sehingga semenjak tahun 1994 tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka jika melakukan jenayah atau terlibat dengan mungkir perjanjian formal. Perkembangan di Perak jelas melibatkan kekasaran pembangkang di luar lunas adab dan tamadun sesebuah negeri Melayu yang berpemerintahan diraja. Malah ada pihak-pihak yang rela berbaring di jalan raya dan menghalang lalu lintas awam.

Mempelawa membenci raja secara terbuka adalah secara terang dan nyata mencabul Rukun Negara dan merupakan jenayah hasutan yang wajar didakwa.

Ada tiga isu besar yang harus diselesaikan dalam kes di Perak ini. Pertama adakah pemberhentian bekas MB Perak sah di sisi undang-undang? Kedua, adakah pelantikan Zambry terbit daripada kuasa diraja yang sah?

Ketiga, perlukah diadakan sidang khas Dewan Undang Negeri (DUN) Perak bagi menentukan sokongan atau sebaliknya terhadap Barisan Nasional (BN) selaku parti yang dianggap sah telah mengatasi gabungan pembangkang PKR, DAP dan Pas?

Untuk menjawab persoalan-persoalan itu, punca kuasa ialah Perlembagaan Negeri Perak sendiri, khususnya Artikel 16 dan pecahannya. Perundangan inilah yang menentukan betul atau sebaliknya sesuatu tindakan yang telah, sedang dan bakal diambil berkaitan kemelut yang sedang berlaku di Perak.

Cuma yang menjadi muslihat ialah interpretasi pemakaiannya yang betul dan tepat dari segi perundangan. Sultan berpendapat tindakannya di bawah Artikel 16 betul sedangkan pembangkang mengatakan sebaliknya, justeru mahu mengheret sultan ke mahkamah.

Seperti juga kuasa Raja Berperlembagaan di lain-lain negeri yang diperintah raja atau sultan, Sultan Perak mempunyai beberapa kuasa khusus yang tidak boleh dicabar atau dipersoalkan.

Pertama baginda boleh bersetuju atau tidak bersetuju membubarkan Dewan Undang Negeri susulan mana-mana permintaan atau nasihat.

Kedua, kuasa melantik seseorang daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pada hematnya mempunyai sokongan majoriti daripada kalangan ADUN berkenaan.

Ketiga, hak mengemukakan permintaan untuk mengadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai kemudahan, kedudukan, penghormatan dan kebesaran diraja serta hak dan kuasa penentu sebagai ketua agama Islam dan payung adat istiadat Melayu di negeri Perak.

Baginda berhak menentukan tidak menerima nasihat untuk membubarkan DUN tanpa memberi apa-apa sebab. Kuasa dan peranan diraja ini tidak boleh dicabar di mahkamah sama ada menerusi konsep fraudem legis (muslihat negatif legislatif atau dewan perundangan) atau peruntukan statutori lain.

Kedua, Sultan Perak di bawah Perkara 16(2)(a) berhak melantik (sebelum melantik ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan) seorang Menteri Besar yang pada hemat baginda berkemungkinan beroleh sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri berkenaan.

Dalam Perlembagaan Negeri-negeri dan juga Persekutuan, peruntukan ini sedia ada, cuma cara dan kaedah bagaimana sultan atau raja menyempurnakan fungsi ini tidak dinyatakan huraiannya di dalam Perlembagaan.

Di bawah Perlembagaan Negeri Perak tiada peruntukan yang menghalang sultan daripada menamatkan perkhidmatan seseorang MB jika baginda mendapati bahawa MB itu sudah tidak lagi beroleh sokongan majoriti anggota DUN. Artikel 16(6) jelas memperuntukkan perihal ini.

Harus diperhatikan lantaran di bawah provisi Artikel 16(4), raja mempunyai budi bicara yang luas untuk menentukan siapa harus dilantik sebagai Menteri Besar. Bahasa perlembagaannya menentukan bahawa ADUN yang dilantik sultan sebagai MB hendaklah terdiri daripada seorang yang pada hemat baginda berkemungkinan beroleh sokongan majoriti anggota Dewan berkenaan atau dalam bahasa Inggerisnya "who in his judgment is likely to command the confidence of the majority of the members of the Assembly".

Atas keadaan inilah sebilangan orang berpendapat bagi menentukan anggota mana yang harus mendapat sokongan majoriti di DUN berkenaan perlu tertakluk kepada pungutan suara DUN sendiri justeru harus diadakan persidangan khas.

Memang banyak pihak menyokong pandangan ini tetapi harus disedari bahawa mengadakan undian atau pungutan suara di lantai DUN berkenaan hanya salah satu kaedah yang lazim tetapi ia bukan bersifat wajib jika sultan telah puas hati bahawa sesungguhnya seseorang MB itu sudah kehilangan sokongan majoritinya.

Dengan peruntukan Artikel 16(2) bersekali dengan klausa (4) Perlembagaan Negeri Perak jelaslah bahawa apabila Sultan telah melantik Zambry melalui proses pengetepian peruntukan-peruntukan selainnya di bawah Perlembagaan negeri itu - sesuatu yang dibenarkan oleh undang-undang tubuh negeri itu. Ini bermakna baginda telah menjalankan tugas dan fungsi perundangan.

Ada pakar-pakar perlembagaan yang berpandangan bahawa memadai jika pihak diraja membuat keputusan subjektifnya tanpa mengadakan pengundian di sesuatu persidangan DUN bagi menentukan sokongan terhadap seseorang MB.

Dalam konteks Perak, sultan telah membuat kesimpulannya dengan mendengar huraian sendiri mengenai pendirian ketiga-tiga ADUN yang berkenaan (Jamaluddin Mohd. Radzi - PKR Behrang; Mohd. Osman Mohd. Jailu - PKR Changkat Jering dan Hee Yit Foong - DAP Jelapang).

Ketiga-tiga mereka memilih untuk menjadi wakil rakyat Bebas tetapi bersedia menyokong BN.

Baginda juga maklum tentang kembalinya semula Datuk Nasaruddin (DUN Bota) ke pangkuan UMNO/BN. Dalam konteks ini baginda sedia arif bahawa BN telah pun beroleh sokongan majoriti mudah (simple majority) dengan pengakuan wakil-wakil rakyat itu di hadapan baginda.

Mengadakan undian di DUN bukan merupakan satu-satunya cara untuk menentukan sokongan atau sebaliknya terhadap seseorang MB. Sultan Perak khususnya boleh membuat kaedahnya sendiri sejajar dengan Artikel 16(4) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Kes-kes terdahulu yang boleh dijadikan perbandingan, termasuklah kes Stephen Kalong Ningkan (1966) dan kes pertikaian Ketua Menteri di Sabah khususnya pada tahun 1994 dan perihal seorang pembesar di Nigeria melalui kes Adigbenro Akintola.

Memang ramai yang menganggap bahawa kaedah melucutkan jawatan seseorang ketua kerajaan ialah melalui konvensyen undian di lantai dewan legislatif.

Tetapi harus ditegaskan kes-kes tersebut adalah nas-nas perundangan case law yang tidak terbit daripada peruntukan perlembagaan yang jelas atau khusus seperti di Perak.

Ia tidak sama dengan kuasa yang ada pada Sultan Perak di bawah Perkara 16(4) Perlembagaan negeri itu yang bermaksud:

Dalam perkara melantik seseorang Menteri Besar, Duli Yang Maha Mulia Sultan bolehlah mengikut budi bicara baginda mengecualikan atau tidak memakai mana-mana peruntukan Perlembagaan ini (Perlembagaan Negeri Perak) berkaitan mana-mana had kuasa (restrictions) berhubung dengan pelantikan Menteri Besar, jika pada pendapat baginda tindakan sedemikian perlu untuk menyempurnakan kehendak peruntukan-peruntukan Perkara (16) ini.

Dengan perisai peruntukan ini jelaslah bahawa baginda sultan tidak terikat untuk mengikuti mana-mana kelaziman atau konvensyen seperti untuk mengadakan undian sokongan (vote of confidence) di Dewan Undangan Negeri bagi menentukan seseorang anggota DUN itu layak dilantik sebagai MB.

Peruntukan ini jugalah yang tampaknya digunakan baginda untuk menguatkuasakan tamatnya perkhidmatan Nizar sebagai MB Perak.

Cuma jika pengundian itu diadakan juga di DUN Perak dan berakhir dengan sokongan kepada Zambry, maka hasil dan kesannya memang boleh diibaratkan sebagai "sudah terang lagi bersuluh". Langkah itu akan menambah kuatkan lagi tindakan diraja itu.

Bagaimanapun tanpa undian itu tindakan beliau melantik Zambry tetap utuh dan boleh dipertahankan di mahkamah.

Dalam suasana begini elemen kewarasan dan adab amat penting. Tetapi seperti biasa, manusia kurang tertarik kepada mengutamakan ketenangan berfikir.

Sebilangan memilih terus untuk mengeruhkan keadaan.

Dalam pada itu susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan 1994 harus tidak dilupai. Seseorang raja hanya boleh diseret ke mahkamah jika beroleh endorsmen Peguam Negara yang tentunya akan membuat penilaian dan pertimbangan yang amat teliti sama ada beliau puas hati untuk mengeluarkan endorsmen tersebut.

Amat wajar juga bagi Peguam Negara meneliti segala maki hamun dan hasutan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak setakat ini terhadap baginda Sultan Perak, khususnya penulis-penulis blog serta media cetak yang tampaknya beranggapan semacam negara ini sudah tidak ada undang-undang lagi.

Baca juga ucapan beliau di satu Majlis Ilmu anjuran Perkasa di sini.

7 ulasan:

Samat berkata...

Ulasan yang bagus.

Kepada mereka2 yang masih nak menegakkan benang yang basah, elok sekali faham serta menghayati dua perkara pokok i.e hak / kesahihan dibawah undang2 dan juga perilaku / adab sopan. Dalam menentukan kesahihan undang2 tidak bermakna kita boleh bersikap kurang ajar. Kedua-duanya harus se iring.

Tok Uban berkata...

Tuan,

Pada pandangan saya, tuan tersilap tafsir tentang Artikel 16 tu...Artikel 16 tu digunakan selepas sesuatu pilihan raya diadakan, dimana Sultan berhak menentukan sesiapa yang boleh dilantik sebagai Menteri Besar berdasarkan keputusan pilihan raya.

Tetapi dalam isu diPerak ini, Dewan Undangan Negeri yang lebih berkuasa menentukan untuk memecat Menteri Besar bukannya Sultan.

Jadi tuan, tolong jangan cuba memutarbelitkan sesuatu fakta yang jelas.

Pada saya yang lebih afdal, bubarkan saja DUN Negeri Perak..

dhomirhahs berkata...

selagi ada manusia yang membutakan mata dan menggelapkan hati, bagi penerangan panjang lebar pun tarak guna..

Pesanan Keramat berkata...

Tok Uban

Antara Sultan Perak sebagai bekas Hakim Negara dan Rais yanga da Phd dalam perundangan, penerangan mereka mempunyai kredibiliti dan locus standi.

Yang saya fahami, interepretasi tuan perlu ambilkira Akta Interpretasi sekali. Disitu letaknya rasional interpretasi Dato Dr Rais Yatim.

Dalam hal kuasa raja-raja, Rais adalah satu otoriti dan pernah terlibat menentang Dr Mahathir berkenaan pembubaran immuniti raja.

Nasionalis berkata...

Tok Uban

Undang2 bukan sahaja apa yang tercatit tetapi apa yang tidak tercatit.

Nampak sah penyokong PAS tidak tahu undang-0undang. Padanlah asyik buat perhimpunan haram.

Kembara Politik berkata...

Assalamualaikum Tok Uban,

Nampak gayanya saudaralah yang mengintrepretasikan undang2 mengikut selera saudara.

Segala penerangan yang memihak kepada Sultan nampaknya ditolak oleh saudara. Mungkin saudara melihat penerangan tersebut condong kepada BN.

Ada baiknya saudara membaca kembali artikel yang pernah ditulis oleh Harakah Daily di bawah. Mungkin saudara hanya mahu mengambil rujukan dari akhbar kepercayaan saudara, dari pandangan ahli akademik yang condong ke arah saudara.

Pembubaran Parlimen terletak di tangan Agong
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=12222&Itemid=90

Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak - Aziz Bari
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17063&Itemid=50

Agong tidak boleh bubar Parlimen sesuka hati
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=12232&Itemid=50

Pilihan raya semula bertentangan dengan Perlembagaan - Aziz Bari
http://www.harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=14797&Itemid=50

Artikel yang ditulis oleh Harakah adalah kerana menyokong kempen 16 September Brader Anwar Bin Ibrahim.

Sebaiknya, budi bicara Sultan tidak perlulah dipersoalkan lagi.

Samad berkata...

Salam,
Saya suka dengan komen saudara Kembara Politik. Nampaknya memang kena pada batang hidung mereka sendiri. Mereka telah menggunakan fakta untuk mempertahankan 16 September Anwar, kemudian fakta tersebutlah yang memakan diri mereka balik...

Sekarang ni dok sibuk pertikai keputusan Sultan. Habis dikorek sumber bagi menegakkan pendirian 'basah' mereka. Sama seperti menegakkan benang yang basah...