Sabtu, 25 Oktober 2008

Blog Ini Menukar Nama Kepada .. Dari Kacamata Melayu


Nama Blog ini semasa mula dibangunkan pada Januari 22hb, 2007 bernama Pesanan.

Tujuan asal adalah untuk menegurkan pentadbiran Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi yang telah melencung dari perjuangan membela orang Melayu. Tulisan pertama berjodol, SUDAH 3 Tahun, APA CERITA?.

Beberapa tulisan awal menegur Abdullah dan mempunyai misi tertentu untuk penggunaan kumpulan tertentu. Tujuan misi tersebut tidak tercapai dan hingga hari ini, penulis masih tertanya-tanya samada bahan-bahan yang ditulis itu benar digunakan, Wallahu Alam.

Pada lebih kurang Februari atau Mac 2007, timbul pula buku May 13 yang dikarang oleh Dr Kua Kia Soong, penggiat Dong Jiao Zhong dan bekas penghuni Kem Tahanan ISA di Kemunting. Buku ini satu usaha memanipulasi sejarah Mei 13 1969 dan ini sangat bahaya kepada keselamatan negara.

Buku ini hangat sekali dibincangkan di dalam Forum KMU. Hasil perbincangan antara dua Forumer yang berlainan ideologi parti dipersetujui perlu ditubuh satu Blog untuk menerang, mengumpul maklumat dan membidas pembohongan ini.

Dengan sukarela blog yang sudah tidak berfungsi ditawarkan untuk peranan tersebut. Nama Blog yang dipersetujui adalah 13 Mei: Dari Kacamata Melayu. Peristiwa transformasi blog ini tertulis dalam tulisan Adakah Dr Kua Ikhlas Kearah Memperbaiki Hubungan Kaum?

Blog ini menjadi Teamblog yang mempunyai 5 orang penulis, termasuk seorang blogger PAS, bergelar Man Joki atau Rudin X. Malah, Man Joki atau Rudin X yang mencadangkan nama blog ini. Setelah beberapa lama, Blog ini boleh dikira sebagai satu blog ulung sebagai bahan rujukan mengumpul pandangan orang-orang Melayu mengenai peristiwa berdarah tersebut.

Tetapi apabila isu ini reda, penulis-penulis lain pun turut reda. Tinggal penulis seorang yang masih menulis dan mengembangkan isi kandung kepada perkara-perkara lain yang melibatkan isu-isu Melayu. Oleh kerana mereka sudah berhenti menyumbang, maka terpaksa mereka dikeluarkan dari menjadi penulis-penulis Blog ini. [Terima kasih rakan-rakan pejuang ku!]

Penulis pun turut leka dalam kesibukan harian. Kertaskerja Prof Dato Malik Munip yang ingin disiarkan pun tergancat pada tulisan bertarikh Nov 4hb, 2007.

Anwar Ibrahim sentiasa dianggap penulis sebagai ancaman kepada kesinambungan kedaulatan bangsa di negara ini. Pilihanraya kecil Permatang Pauh memanggil kembali penulis untuk menulis pada Ogos 25hb, 2008. Tulisan tersebut berjodol Adakah Permatang Pauh Mahu Bertanggungjawab Menghancurkan Bangsanya?

Alhamdulillah penulis masih lagi dapat terus mengemaskinikan Blog ini. Insya Allah, saya berharap dapat terus lakukan memandangkan serangan, dan tekanan serta tomahan dan fitnah terhadap Melayu, sejarahnya, hak dan kepentingan tidak henti-henti datang dari luar negara, dalam negara dan di dalam parti-parti Melayu.

Orang Melayu pula berpecah kepada 3 parti politik dan satu kelompok yang tidak ambil peduli. Mereka begitu lemah jatidiri, semangat juang dan kebolehan mengartikulasi jawapan. Pandangan orang Melayu ditengelamkan dan jawapan pada serangan-serangan peperangan ide ini susah mahu dicari satu pusat rujukan.

Atas perkembangan ini, maka saya menukar nama Blog ini menjadi Dari Kacamata Melayu. Insya Allah nama akan dikekalkan sedemikian selama yang boleh. Sebagaimana tertulis dalam diskripsi blog ini di masthead, inilah perjuangan blog ini adalah seperti berikut ...
TIDAK BERUNDUR TAKUT MENEGAKKAN DAN MENYOKONG KEBENARAN SEJARAH, HAK DAN KEPENTINGAN, DAN KEMAJUAN MELAYU DAN KAUM ASAL NUSANTARA -- MEMPERJUANGKAN KESINAMBUNGAN KEDAULATAN MELAYU -- KEARAH MENMGINDUKKAN BANGSA. JANGAN MELAYU HILANG DUNIANYA. TIDAK MELAYU HILANG DI DUNIA. HIDUP MELAYU!
Ku hadiahkan buat roh pejuang-pejuang bangsa sepanjang zaman.

Al Fatihah

Ya Allah!

Berikan kesedaran kepada Bangsa Ku dan diri ku.

Berikan kekuatan, semangat dan kecerdasan kepada Bangsa Ku dan diri ku untuk mempertahankan kesucian Agama Mu, maruah Bangsa Ku dan kedaulatan Tanah Air Ku.

Amin Ya Rabbal 'Alamin.

1 ulasan:

pekembar berkata...

tahniah. semoga melayu tidak mudah lupa.