Selasa, 21 Oktober 2008

Menyahut titah Raja-Raja Melayu

Mingguan Malaysia, Oktober 19, 2008


ADA perbincangan berlangsung sebelum Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Maziah, Kuala Terengganu pada 16 Oktober lalu. Biar pun tiada liputan dan di luar pengetahuan umum, namun hasil perbincangan tersebut diungkapkan dalam Kenyataan Akhbar Khas Raja- Raja Melayu yang disiarkan oleh tiga akhbar utama di negara ini kelmarin.

Kenyataan akhbar dwi-bahasa itu tanpa berselindung menyerlahkan fungsi sebenar Raja-Raja Melayu dalam melindungi hak-hak keistimewaan bangsa Melayu di sisi Perlembagaan termasuk dari sudut kemuliaan atau kebesaran raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Tanpa sebarang keraguan jauh sekali perasaan gentar, Raja-Raja Melayu mengembalikan semula ingatan semua rakyat Malaysia perihal peranan serta kuasa yang ada pada mereka untuk melindungi hak serta kepentingan bangsa Melayu dan pada masa yang sama memberi jaminan hak bangsa-bangsa lain di negara ini tidak pernah diperkecilkan.

Fungsi serta kuasa Raja-Raja Melayu itu sememangnya perlu diserlahkan supaya dilihat dan dihormati oleh semua rakyat di negara ini lantaran hubungkaitnya dengan pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman damai amat rapat. Apatah lagi perkembangan dalam negara mutakhir ini menyaksikan hak serta keistimewaan bangsa Melayu dipersoalkan secara terbuka termasuk peranan institusi Diraja yang semakin tidak mendapat penghormatan.

Pembelaan terhadap kedudukan bangsa Melayu juga semakin tidak ketahuan. Biar pun kelantangan suara membidas pihak-pihak yang mempersoalkan perihal kedudukan Melayu dan agama Islam, namun dari segi tindakannya semacam tidak kelihatan sehingga kesemuanya itu dilihat sebagai retorik politik - di satu peringkat ada yang menyimpulkan bahawa Melayu sendiri 'membunuh' Melayu. Manakala gerakan-gerakan mempersoalkan kedudukan Melayu dilihat sebagai menyediakan keranda bagi menempatkan jenazah perjuangan Melayu yang telah pun dikenal pasti kuburnya.

Pertemuan Raja-Raja Melayu secara rutin menerusi Majlis Raja-Raja sejak 111 tahun lalu selepas mesyuarat kali pertama berlangsung di Istana Negara, Bukit Chandan pada tahun 1897 kurang mendapat perhatian rakyat jelata.

Suasana mesyuarat yang berlangsung tanpa sebarang liputan serta agenda yang tidak pernah dipaparkan kepada umum menjadikan pertemuan Raja-Raja Melayu yang diiringi oleh Menteri Besar atau wakil masing- masing berlingkar secara eksklusif di kalangan para pesertanya sahaja.

Sememangnya peranan Raja-Raja yang tersembunyi di sebalik Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri sukar dimengertikan oleh rakyat. Maka jadilah Raja-Raja institusi yang tersendiri sehingga setiap fungsi serta kuasa yang padanya dipandang sepi oleh rakyat malah kadang-kadang diperlekehkan.

Tarikan terhadap watak raja-raja Melayu di luar mesyuarat Majlis Raja-Raja pula bersifat berkala dan adakalanya menyentak rakyat jelata terutamanya kebelakangan ini apabila 'kemuliaan' institusi diraja mula dipertikaikan di khalayak umum. Ada Raja yang mula mengetengahkan fungsi mereka dengan menegur pihak-pihak tertentu supaya jangan diusik keistimewaan orang Melayu.

Betapa satu-satunya institusi yang tinggal untuk mempertahankan kedaulatan bangsa serta ketinggian agama Islam itu sering disalahertikan sebagai tidak mempunyai sebarang kelebihan sehingga peranan yang dimainkan selaras dengan peruntukan undang-undang berani dipersoalkan secara terbuka. Sebab itu kenyataan akhbar khas raja-raja Melayu itu dilihat sebagai perkembangan terbaru dalam proses memastikan perjuangan mengangkat martabat bangsa dan agama bukan sekadar cakap-cakap atau retorik politik yang menjengkelkan banyak pihak.

Menarik

Pakar Undang-Undang Perlembagaan, Profesor Abd. Aziz Bari menyifatkan perkembangan terbaru bersangkutan kenyataan terbuka yang memperincikan satu per satu peranan serta fungsi Raja-Raja Melayu sebagai amat menarik dan sesuatu yang amat jarang berlaku.

Perkembangan terbaru itu, menurut beliau, merupakan petunjuk yang amat meyakinkan bahawa isu-isu menyentuh nasib dan masa depan bangsa Melayu dan agama Islam adalah penting untuk segera ditangani.

Beliau menarik perhatian mengenai isu-isu berkepentingan Melayu dan Islam yang terlalu dipolitikkan sehingga masalah-masalah yang membelenggu umat Melayu beragama Islam di negara ini gagal diselesaikan sepenuhnya. Malah dalam banyak keadaan kedudukan orang Melayu masih ditakuk lama biar pun bunyi gah di sana-sini menuntut supaya hak istimewa orang Melayu dimartabatkan tetapi jika diamati secara mendalam laungan-laungan itu terhenti setakat itu sahaja.

Jelas bahawa politik tidak berjaya sepenuhnya untuk dijadikan alat membangunkan orang Melayu dan pada masa yang sama melindungi hak orang Melayu biar pun secara jelas kesemuanya itu telah terbentang dan termaktub di dalam Perlembagaan.

Justeru kenyataan ulung Raja-Raja Melayu yang diperincikan tanpa berselindung menurut Abd. Aziz menunjukkan Raja-Raja Melayu sedar bahawa mereka mempunyai peranan penting dan bukan sekadar lambang.

''Oleh itu Raja-Raja perlu mengambil peranan proaktif kerana peruntukan berkenaan (kepentingan institusi Melayu), mereka sendiri yang memulakannya sebelum merdeka.

"Dan selama 50 tahun ini jelas orang politik tidak berjaya sepenuhnya mengisi peruntukan-peruntukan berkenaan'' katanya.

Rentetan daripada perkembangan terbaru itu, Abd. Aziz mencadangkan supaya Raja-Raja Melayu melantik sebuah badan yang mewakili orang Melayu dan Islam untuk memantau dan mengambil langkah konkrit dalam menangani masalah kaum Melayu.

Beliau percaya penggantungan keterlaluan kepada kerajaan untuk menangani masalah seperti itu tidak akan menjayakan agenda membangunkan orang Melayu terutamanya apabila wujud kekacauan serta campur tangan politik keterlaluan yang kadang kala menjadi punca hak serta keistimewaan Melayu itu sendiri tenggelam.

Beliau merujuk kenyataan Raja Nazrin awal tahun ini tentang fenomena Tanggang Moden sambil menegaskan bahawa inilah masanya raja-raja perlu menggerakkan potensi Melayu untuk menubuhkan, contohnya, tabung pendidikan. Ini perlu diisi oleh mereka yang telah mendapat faedah dari dasar Dasar Ekonomi Baru (DEB) selama ini; mereka perlu membayar balik apa yang mereka nikmati atas dasar 'infaq' yang digalakkan oleh Islam.

Maksudnya, wajah-wajah Melayu yang telah mendapat manfaat besar daripada peruntukan Perlembangan tidak boleh lupa diri, jauh sekali memejamkan mata dan memekakkan telinga daripada mendengar rintihan bangsa Melayu semata-mata kerana mereka telah berjaya sedangkan hasil kejayaan itu datangnya daripada kedudukan istimewa sebagai orang Melayu yang beragama Islam.

"Dengan pendekatan sedemikian orang Melayu akan lebih bermaruah dan terhormat kerana mereka menolong bangsa dan diri sendiri. Dan prasarana ini telah pun disediakan oleh Islam," katanya.

Ditanya tentang cadangan penubuhan badan seumpama itu, beliau berkata, ia lebih kepada badan yang menggembleng potensi dan dana Melayu untuk kebaikan dan kebajikan bangsa. Badan itu penting supaya bangsa Melayu dapat berdiri dengan sokongan sendiri; bukan dari kerajaan atau orang lain.

Raja-Raja Melayu dilihat paling sesuai menggerakkan badan tersebut kerana ia mengatasi politik dan tidak tertakluk kepada pasang surut politik manakala pelaksanaan badan tersebut mesti berteraskan Islam atau dengan kata lain motivasinya adalah agama.

"Itu sebab saya sebut infaq yakni menyumbang untuk sesama agama dan daya penggeraknya ialah berbakti di jalan Allah. Kita kena gunakan agama yang sememangnya sudah sebati dengan Melayu dan keMelayuan itu sendiri," katanya.

Abd. Aziz melihat jalan politik ternyata tidak berkesan meskipun ia penting dari segi menyediakan tenaga dalam bidang pentadbiran negara.

Ditanya siapa yang perlu menganggotai badan tersebut, Abd. Aziz menegaskan: "Cukuplah jika saya katakan mereka yang mampu dan ingin memperkasa bangsa tanpa menjadi pengemis. Ini lebih merupakan self-help. Dan tak perlu sebut soal bidang kuasa atau sebagainya."

Sememangnya cadangan mewujudkan badan yang dinaungi oleh Majlis Raja-Raja itu dilihat sebagai amat perlu dan relevan kerana raja-raja tidak mempunyai mekanisme untuk turun kepada rakyat. Dan mereka tidak wajar berhubung dengan parti politik kerana ini mempunyai potensi untuk mengkompromikan kedudukan mereka sebagai lambang dan entiti milik semua.

Ditanya bagaimana memastikan ketegasan raja-raja Melayu tidak mengulangi retorik politik serta pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa memperjuangkan Melayu Abd. Aziz menjawab: "Saya fikir penegasan raja-raja itu sesuatu yang baik dan kena pada masanya. Tetapi ia masih bersifat retorik dan sekadar penegasan sedangkan kita memerlukan langkah-langkah yang konkrit. Ini perlu dirangka berdasarkan keperluan semasa dan akan datang selain mempelajari kesilapan 51 tahun yang lalu,''.

Perlembagaan

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Dr. Shamrahayu Abd. Aziz percaya kenyataan akhbar raja-raja Melayu merupakan penegasan terhadap peranan yang dimaktubkan oleh Perlembagaan ke atas raja-raja Melayu mengenai perkara-perkara berkaitan Melayu, seperti perkara-perkaraberkaitan agama Islam, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang-orang Melayu.

Beliau sependapat dengan Abd. Aziz bahawa kenyataan akhbar sebegini menggambarkan kemelut berkaitan kedudukan bangsa Melayu dan hubungan kaum telah berada ditahap yang agak serius dan memerlukan campur tangan secara terus dari pihak Raja- Raja, yang juga merupakan institusi utama bertanggungjawab menjaga kedudukan dan kepentingan bangsa melayu.

Beliau percaya kenyataan tersebut telah dibuat dengan rasa tanggung jawab oleh para Raja Melayu mengenai peranan yang terletak dipundak mereka.

"Tidak dinafikan sebelum ini telah terdapat beberapa kenyataan mengenai isu ini yang telah dibuat oleh para Raja atau Putera Mahkota secara peribadi,atau melalui perutusan- perutusan tertentu.

"Namun isu tersebut masih juga menjadi perdebatan dan seolah-olah kenyataan atau perutusan tersebut tidak begitu diambil peduli dan terlepas di angin lalu," katanya.

Yang pasti harapan paling besar ialah semoga kesepakatan istana untuk memartabatkan kuasa Perlembagaannya menjadi peringatan kepada semua pihak agar berhenti daripada mempersoalkan kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam.

Apa pun, realitinya, mungkin hanya tiga sahaja akhbar (termasuk Utusan Malaysia) yang menjadikan kenyataan akhbar raja-raja Melayu sebagai tajuk utama berita mereka manakala yang lain terutamanya akhbar dalam talian memberi tumpuan kepada dua berita lain, terutama mengenai kedudukan ekonomi negara dan pengharaman Hindraf.

"Oleh yang demikian pada pendapat saya keberkesanan kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-raja ini tidak akan menjadi meluas dengan sikap akhbar ini. Saya menganggap kenyataan akhbar tersebut akan menjadi lebih bererti sekiranya mendapat kerjasama media dengan menghebahkan dalam tajuk berita atau di dalam ruangan sidang pengarang mereka.

"Namun agak menyedihkan, berita ini tidak menjadi tajuk hangat," katanya.

Apa pun keyakinan bahawa raja-raja Melayu mampu menyerlahkan peranan Perlembagaannya tetap ada. Ini kerana di peringkat permulaan iaitu selepas Durbar (Majlis Raja-Raja) dimulakan pada 1897, mereka telah berjaya menghasilkan banyak program.

Tanah simpanan Melayu, Maktab Melayu Kuala Kangsar, Rejimen Askar Melayu dan akhirnya asas kepada Perkara 153 (hak keistimewaan Melayu) itu sendiri di samping kedudukan bahasa Melayu dan Islam adalah dorongan raja-raja Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

Cuma kealpaan orang politik menyebabkan kesemua itu tidak berjaya disuburkan sepenuhnya sehingga menimbulkan keadaan seperti sekarang termasuk peminggiran tulisan jawi dan banyak lagi yang menuntut raja-raja Melayu menyemarakkan semula peranan mereka.

Selain bilangan profesional dan cerdik pandai Melayu yang berselerak di sana sini, kita ada sembilan kesultanan yang mempunyai ramai tenaga dan penggerak. Mereka ini perlu digembleng dan menjadi penghubung antara rakyat biasa dengan istana

Keyakinan bahawa wawasan ini boleh mendatangkan hasil sememangnya tinggi. Ini kerana jika sebelum merdeka Raja-Raja Melayu dapat menghasilkan sesuatu yang masih kekal hingga ke hari ini, kita tidak nampak ada hambatan yang serius dan tidak boleh diatasi.

Lagipun Raja-Raja Melayu tidak memerlukan kuasa formal; kesahan institusi yang akarnya menjalar ke zaman Melaka sudah cukup kuat untuk memberikan lonjakan dan stamina. Yang penting ada kesungguhan dan komitmen di kalangan Raja-Raja untuk menitahkan sesuatu. Bangsa Melayu pasti menyahutnya dengan penuh semangat. Setiap langkah yang dimulakan oleh istana akan disambut dengan ratusan dan ribuan langkah susulan oleh rakyat.

Tiada ulasan: