Satu gambar lama yang mengabadikan usaha-usaha perjuangan memartabatkan bahasa ibunda dan kebangsaan di kampus
Papantanda adalah urusan rasmi kerajaan dan dibawah bidangkuasa kerajaan tempatan. Mengikut Perlembagaan, bahasa rasmi yang boleh digunakan adalah bahasa Melayu saja. Bahasa asing hanya layak "diguna dan dikaji bukan untuk mengajar dan diajar" tentu sekali bukan untuk urusan rasmi.
Masaalah bahasa memang isu lama sejak dari kemerdekaan. Persoalan mengenai status bahasa Melayu bermula dari masa Perlembagaan kita hendak digubal lagi dan mereka mempersolkan status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi semasa mereka belum warganegara pun!
Melihat insiden yang mempersoalkan penggunaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi di Pulau Pinang, dan Bukit Bintang dan Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini, ia hanya cerita lama yang diungkit kembali oleh pemain-pemain yang sama.
Pada tahun 1969, DAP mengadakan pakatan pilihanraya dnegan Gerakan dan PPP. DAP_ dengan agenda Malaysian Malaysia memang enggan memperakui bahasa Melayu tetapi ingin semua bahasa diterima sebagai bahasa rasmi.
Gerakan di bawah Dr Tan Chee Khoon juga memperjuangkan perjuangan yang sama dalam hal-hal bahasa asing di mana mereka menuntut 'legitimate use of all languages' dan menuntut Universiti Kebangsaan dan Merdeka di mana bahasa Melayu, Cina dan Tamil boleh dipelajari hingga ke tahap Univeristi. (Hari ini, New Age College pimpinan rasis tegar Dr Kua Kia Soong sudah jalankan Universiti dalam bahasa Cina di Kejang Selangor. Kita luluskan walaupun peruntukkan 152 itu jelas!)
PPP pula sebagai sebuah parti pada mulanya menyokong pendirian Perikatan dalam isu bahasa tetapi selepas Merdeka, berubah menjadi untuk polisi multilingualism dan penerimaan rasmi bahasa Cina dan Tamil. parti yang dipimpin dua adik beradik India dari Ipoh lebih chauvanis dalam memperjuangkan isu-isu CIna. dari parti-parti pimpinan Cina.
Menyedari perkara ini adalah isu-isu yang tidak pernah reda dari sebelum 'pendatang-pendatang' ini mendapat kewarganegaraan, janji dan ikrar mereka ini tidak pernah dikekal dan menunggu masa akan kembali keapda pendirian kepentingan diri dan bukan kepentingan bersama sebagai satu negara bangsa.
Mengapa kita tidak bersedia untuk serius dalam memartabatkan bahasa Melayu, penguatkuasaan artikel 152 dan tegas ke atas pencemaran bahasa? Mungin salah kita juga orang Melayu yang lebih mengekitkan bahasa Inggeris? Apabila bercakap dengan orang bukan Melayu, kita sedia bercakap dengan bahasa Inggersi dan tidak mahu menjadikan mereka berbahasa Melayu.
Malah perlu dipersoal Anwar Ibrahim yang membuat ikrar di Kelab Sultan Sulaiman pada April 14 bahawa dia akan memperjuangkan artikel 152. Mengapa dia berdiam dalam hal papantanda di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur?
Apabila berlaku peristiwa-peristiwa terbaru ini, baru kita sibuk mengenai penguatkuasaan. Sebagaimana berita berikut:
Utusan Malaysia Oktober 22hb, 2008
Cemar bahasa didenda
Dewan Bahasa dan Pustaka akan jadi badan penguat kuasa
Oleh KHAIRUN NIZAM MOHAMMAD YUSUFF
KUALA LUMPUR 4 Okt. – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan diberi kuasa mendenda pihak yang didapati bersalah mencemar bahasa kebangsaan tidak lama lagi.
Denda itu akan dikuatkuasakan sebaik sahaja Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 dipinda oleh pejabat Peguam Negara dan diluluskan Parlimen pada sidang yang akan bersambung selepas cuti perayaan ini.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Kabinet bersetuju supaya ‘pencemar bahasa kebangsaan’ itu didenda RM1,000.
“Bagaimanapun denda itu akan hanya dikenakan selepas pihak terbabit gagal membuat pembetulan setelah teguran dibuat oleh Ketua Pengarah DBP.
“Tindakan (denda) tersebut boleh dikenakan kepada mereka yang enggan membetulkan kesalahan penggunaan bahasa pada papan tanda, notis, papan kenyataan dan juga kandungan bahan-bahan penyiaran,” katanya pada sidang akhbar pasca-Kabinet kementeriannya (KeKKWa) di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut Rais, keputusan memberi kuasa mendenda kepada DBP bertujuan memperkasa bahasa kebangsaan dan menjadikannya lebih dihormati oleh masyarakat.
Selain itu, tambah beliau, kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Penerangan akan mengenal pasti ungkapan-ungkapan salah yang digunakan dalam urusan kerajaan yang boleh ditukar.
Selain ungkapan, katanya, tumpuan juga akan diberikan kepada aktiviti-aktiviti lain seperti mesyuarat yang dianjurkan badan dan agensi kerajaan serta pihak swasta.
“Memang kita tidak dapat lari dari cakap bahasa Inggeris sebab ini sudah jadi budaya. Oleh itu, kita akan pantau mesyuarat yang masih enggan menggunakan bahasa kebangsaan dan memberi nasihat kepada pihak terbabit,” katanya.
Ujarnya, perkara tersebut telah dipersetujui Kementerian Pelajaran dalam kertas kerja bersama yang dibentangkan di Kabinet hari ini.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengeluarkan kenyataan mengenainya di Putrajaya, esok.
“Dalam jangka masa panjang, kita mahu melihat bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu, bukannya sekadar bahasa sampingan sahaja.
“Justeru, KeKKWa sendiri akan memainkan peranan penting untuk membudayakan bahasa ini kepada seluruh rakyat,” ujarnya.
Untuk itu katanya, sebanyak RM20 juta diperuntukkan kerajaan setiap tahun bagi menaja program berbentuk kebudayaan dan latihan bermula tahun depan.
Katanya, peruntukan berkenaan akan disalurkan kepada kerajaan negeri bagi melatih golongan muda dalam aspek tarian, muzik dan budaya supaya mereka menghargai kebudayaan yang ada di negara ini.
Jelas Rais, kementeriannya juga akan menyalurkan sebanyak RM300,000 kepada Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (Makum) untuk tujuan sama.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan persetujuan Perbadanan Putrajaya untuk menukar penggunaan perkataan Boulevard dan Presint di pusat pentadbiran kerajaan itu.
Rais memberitahu, perkataan Boulevard akan ditukar kepada Lebuh Perdana, manakala perkataan Presint dikekalkan sementara mencari perkataan yang sesuai untuk menggantikannya.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Firdaus Abdullah berkata, langkah memberi kuasa mendenda kepada DBP bukan bertujuan menjadikan badan itu ‘polis’ bahasa.
“Walaupun pindaan itu nanti akan memberi kuasa (mendenda) kepada DBP, namun DBP berharap ia akan menjadikan DBP sebagai badan pendakwah bahasa yang lebih berkesan dan dihormati,” ujarnya.
Disanjungi usaha itu, tetapi persoalannya, pada tahun 2006 perkara yang sama juga disebut-sebutkan.
Berita Harian, 12 Julai 2006
DBP Dapat Kuasa Hukum Pihak Cemarkan Bahasa
Oleh : Hassan Omar
KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama menjadi pengembang bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akhirnya diberi kuasa bertindak ke atas mana-mana pihak mencemarkan penggunaan bahasa kebangsaan itu termasuk pada papan tanda iklan.
Ketika ini, DBP hanya berfungsi sebagai organisasi mengembangkan bahasa dan sastera Melayu, tetapi tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan berkenaan.
Sehubungan itu, Akta DBP 1959 (Pindaan 1995) akan dipinda akhir tahun ini bagi membolehkan agensi itu mendakwa semua pihak yang menggunakan bahasa kebangsaan tidak betul dari aspek tatabahasa.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim (gambar), ketika mengumumkannya semalam menegaskan, kerajaan tidak boleh lagi bertolak-ansur dengan pihak yang memandang remeh Artikel 152 Perlembagaan mengenai fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Bahasa Melayu seolah-olah tidak dihormati, apatah lagi dihayati sebagai bahasa penyatu masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Memperkasa Bahasa Kebangsaan di sini, semalam.
Mesyuarat dipengerusikan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Firdaus Abdullah.
Rais berkata, kementeriannya dan Kementerian Pelajaran sedang bekerjasama menyediakan kertas Kabinet mengenai pindaan akta itu. Akta itu dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun sebelum boleh dikuatkuasa tahun depan.
Beliau menjelaskan, pindaan akta itu bukan bertujuan mengambil alih kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab meneliti penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda iklan, sebaliknya berfungsi sebagai induk penggunaan bahasa Melayu dalam semua sektor.
“Bukan saja papan tanda iklan, malah penggunaan bahasa Melayu pada buku, media massa dan pelbagai sektor yang lain harus patuh pada akta ini,” katanya.
Mengenai bentuk hukuman, Rais berkata, kedua-dua kementerian mengkaji untuk mengenakan denda yang agak tinggi bagi kesalahan itu.
Beliau juga berkata, kedua-dua kementerian akan menyediakan kertas cadangan mengenai Dasar Buku Negara yang antara lain mengkaji masalah penerbitan buku, termasuk kos kertas dan percetakan, selain mewujudkan Pekan Buku di ibu kota, bertujuan menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, pindaan akta itu melengkapkan usaha kedua-dua kementerian mendaulatkan bahasa Melayu dalam sektor awam dan swasta.
“Enam agensi di bawah kementerian saya digerakkan untuk bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagi memastikan bahasa Melayu digunakan dengan betul,” katanya.
Firdaus, ditemui selepas mesyuarat itu, berkata tanpa pindaan akta itu DBP hanya memberi nasihat tanpa boleh mendakwa pihak menggunakan bahasa Melayu secara salah.
“DBP seolah-olah menggigit tetapi tidak ada gigi. Dengan adanya pindaan akta ini, kami harap semua pihak akan lebih menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan berbangga menggunakannya,” katanya.
Kita sudah lebih 51 tahun Merdeka. Mengapa masih lagi terkial-kial kita untuk memertabatkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa Kebangsaan?
Adakah kita mengharapkan bangsa lain untuk memperjuangkan bahasa kita sendiri? Dengan bangkangan sedemikian, dan parti pembangkang Melayu bagai dikacip DAP dan ahli bangsa lain, dan UMNO bagai dikacip Gerakan dan MCA, jangan hairan undang-undang ini tidak diluluskan Parlimen!
Salah siapa?
4 ulasan:
BM telah dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan SPM, PMR dan UPSR. Jadi tiada isu bahasa seperti yang digembar-gemburkan sebenarynya kerana semua pelajar samada dari sekolah kebangsaan atau vernakular masih perlu mempelajarinya.
Walaupun, sebahagian kecil generasi tua yang kurang fasih berbahasa Melayu tetapi tentulah semua generasi yang dididik dengan KBSM dan KBSR boleh sekurang-kurangya bertutur serba sedikit dan difahami.
Bahasa Melayu akan terus kekal. Namun bahasa itu akan jadi satu lagi bahasa lama dan dilupakan jika orang Melayu tidak berkuasa lagi.
Malang sekali jika yang memungkinkan itu berlaku adalah orang Melayu sendiri. Cuba perhatikan apa ada disebalik setiap jeritan Anwar dan Zaid.
Kalau betul-betul nak memertabatkan bahasa Melayu buatlah secara betul and bersungguh-sunguh. Kerajaan sendiri perlu mengubah diri mereka sebelum orang awam. Mengapa mesti kita melayukan bahasa inggeris sedangkan bahasa melayu ada? Mengapa mesti "debat" sedangkan bahas ada, "bajet" sedangkan belanjawan ada, serta banyak lagi. Kenapa mesti UMNO,MCA,MIC,DAP,PPP dan lain-lain. Ubah dulu ke bahasa Melayu barulah rakyat akan sedar bahawa kerajaaan sendiri tidak mempermain-mainkan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu bertaraf 'kebangsaan' dan 'rasmi'. Ini yang perli disedari.Yang bahasa bukan Melayu tidak ada taraf itu, bermakna tidak layak untuk maksud itu. Justeru, papan tanda hanya layak untuk bahasa Melayu. Kuat kuasakanlah dengan tegas ini. Ini masa bertindak, bukan beleber pok pet pok pet.Turunkan papan tanda yang sertakan tulisan selain bahasa Melayu. awangmat.
Catat Ulasan