Rabu, 25 Februari 2009

PERKASA anjur Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi pada Mac 22hb, 2009

Kenyataan Akhbar pengumuman Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) bertarikh Februari 23hb, 2009 diterima seperti berikut:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Dengan rasa rendah diri dan takzim, PERKASA ingin mengumumkan penganjuran Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara dan Sidang Kemuncak Pribumi Negara pada Mac 22hb, 2009 bertempat di Kelab Kilat Kuala Lumpur, Kompleks Sukan TNB Bangsar, Kuala Lumpur dari pukul 8:30 pagi hingga ke 6 petang.

Tujuan Perhimpunan dan Sidang Kemuncak ini adaalah:

1. Memupuk semangat penyatuan dan perpaduan Pribumi dari pelbagai fahaman di atas perkara-perkara yang menyentuh hak Pribumi dan kedaulatan negara.
2. Mendukung dan memperkukuhkan sendi-sendi utama Perlembagaan Negara sebagai asas penyatuan rakyat Malaysia seluruhnya.
3. Mendapatkan maklumbalas serta cadangan-cadangan dari akarumbi Pribumi mengenai usaha melindungi dan memperkukuhkan hak-hak mereka dari dicabari oleh mana-mana pihak bagi maksud kepentingan sempit mereka.
PERKASA ditubuh dan diluluskan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan pada September 16hb, 2008 atas tujuan seperti yang tertera dalam Fasal 4 Perlembagaan PERKASA berikut:

1. Memperkasakan Islam sebagai agama persekutuan,
2. Memperkasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan,
3. Memperkasakan kedaulatan Raja-Raja Melayu,
4. Mempertahankan Hak-hak Keistimewaan Orang Melayu dan Pribumi,
5. Memperkasakan Kaum-Kaum Pribumi,
6. Menyatupadukan Kaum-Kaum Pribumi dan perpaduan rakyat Malaysia
7. Mempertahankan Kedaulatan Negara.
Perhimpunan ini merupakan acara kemuncak bagi PERKASA yang sepanjang setahun telah menggembelingkan usaha ke arah penubuhan, membina keahlian, dan menganjurkan serta melibatkan diri dalam Majlis-Majlis Ilmu seperti Forum, Seminar, Dialog dan lain-lain samada di Kuala Lumpur atau di luar Kuala Lumpur serta di Televisyen untuk menyuarakan pendirian Perkasa dalam pelbagai isu-isu.

Perhimpunan dan Sidang Kemuncak yang kami anjurkan ini akan mengumpulkan umat-umat Pribumi dari pelbagai latarbelakang dan pertubuhan dari Semanjung dan juga wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak. Kami menjangkakan kehadhiran sekurang-kurangnya 10,000 hadhirin.

Kami dengan ini mengundang orang ramai khususnya kaum pribumi dari seluruh Negara untuk hadir menyertai perhimpunan ini sebagai menyatakan sokongan terhadap perjuangan terhadap hak-hak pribumi dan kedaulatan raja-raja Melayu yang sudah mulai menghadapi proses penghakisan dan penderhakaan oleh pihak tertentu akibat perkembangan-perkembangan politik semasa.

Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara akan diadakan sebelah waktu pagi dan terbuka kepada semua orang ramai kaum Pribumi, dan Pertubuhan-Pertubuhan Pribumi. Perhimpunan sebelah pagi ini akan merupakan Majlis rasmi dan ucaptama oleh seorang tokoh. Majlis akan bersurai pada pukul 12:30 tengahhari.

Selepas berhenti disebelah tengahhari, Sidang Kemuncak Pribumi Negara akan bermula dari pukul 2:00 petang. Ini merupakan Sidang Kemuncak yang melibatkan ratusan Pertubuhan-Pertubuhan Pribumi.

Beberapa pembicara-pembicara terpilih akan menyuarakan dari ruang kepakaran dan pengkhususan masing-masing. Antaranya wakil-wakil dari ABIM, Gapena, wakil kumpulan Bajau sebagai mewakili Sabah, wakil Pribumi Sarawak, wakil Orang Asli, Persatuan Peguam Muslim, dan golongan muda.

Majlis sidang kemuncak akan berakhir dengan rumusan oleh Pengerusi Sidang ia-itu Timbalan Presiden PERKASA, Dato Fuad Hasan dan pengistiharan 10 Perkara Tindakan Perjuangan PERKASA..

YB Dato Ibrahim Ali
Presiden,
PERKASA

Tiada ulasan: