Khamis, 12 Februari 2009

Cara tidak ikut, Adab pun tiada, dan Ingkar titah pula, itu namanya DERHAKA!

Dalam kehidupan kita, kesetiaan adalah sebahagian dari tuntutan kehidupan, susur galur kemasyarakatan dan peradaban ketamadunan. Kesetiaan meletakkan tatacara dan mengukuhkan sistem, stuktur, dan kesinambungan nilai dalam sesuatu keluarga, masyarakat, ugama, dan negara. Bayangkan bala tentera yang mana askar-askar ingkar kepada pegawai-pegawai ditengah-tengah medan peperangan. Keadaan menjadi caca marba dan batalion atau regimen tentera itu pasti menerima kekalahan.

Dalam isu politik Perak terkini, setelah diketepikan remeh temeh politik kepartian, dan permainan kata-kata, isu intipatinya adalah mengenai Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Kesetiaan yang dimaksudkan bukan kesetiaan membabi buta tetapi menurut lunas peradaban, dan tatacara berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang

Kesetiaan perlu dalam menghormati dan pemelihara institusi kenegaraan seperti Raja Berperlembagaan, Kanun Perlembagaan, Undang-undang, Kerajaan dan seterusnya. Sebagai rakyat, kita sepatutnya menurut peraturan, undang-undang dan tata cara Institusi-institusi ini. Ini kerana Institusi ini merupakan sebahagian dari kedaulatan sebagai sebuah negara.

Institusi Raja itu sendiri merupakan simbol dan kenyataan kesinambungan sejarah kedaulatan dan ketamadunan Melayu. Raja Melayu mempunyai locus standi untuk memainkan peranan dalam mencapai kemerdekaan. Sovereignty (kedaulatan) negara ini sebagai negara merdeka terletak pada Institusi Raja-raja Melayu kerana asas negara merdeka itu terletak pada perjanjian dengan British yang telah dirungkai. Kebenaran untuk rakyat mentadbir sendiri negara ini berasaskan demokrasi diberikan oleh Raja-Raja Melayu. Tanpa kerelaan Raja-Raja Melayu, kemerdekaan itu tidak boleh tercapai.

Kewujudan elemen kepartiaan dan politik tidak dapat dinafikan dalam krisis politik Perak, tetapi tunggak kepada penyelesaian kepada kemelut ini terletak kepada Sultan dan DYMM Tuanku telah mengambil keputusan yang harus dihormati. Apabila cara tidak diikut, adab pun tiada, titah diingkar, itu namanya DERHAKA.

Walaupun agak mirip mengkritik Pakatan Rakyat, cara, adab dan keingkaran yang menjadi isi kandung tulisan penulis blog Kembara Politik berikut:
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara


Oleh Kembara Politik

Secara peribadi penulis tidak ambil kisah pun dengan niat Pakatan Rakyat mahu membubarkan DUN sebaik sahaja mendapat khabar angin bahawa akan berlaku lompat parti.

Namun, pembubaran perlulah dibuat dengan cara yang betul, dengan mendapatkan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah. Bukannya pembubaran tanpa perkenan tetapi telah diumumkan kepada rakyat terlebih awal. Ini sudah membelakangkan kuasa Sultan namanya.

Setelah Sultan membuat keputusan untuk tidak membenarkan pembubaran DUN (atas alasan PR tidak mendapatkan perkenan terlebih dahulu sebelum pengumuman) dan membenarkan pembentukan kerajaan BN (atas alasan mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan), segala tindakan mencabar keputusan Sultan adalah bererti kurang ajar dan melambangkan PENDERHAKAAN!

Terdapat banyak persoalan yang perlu dijawab oleh semua rakyat dengan menggunakan akal fikiran. Persoalan yang timbul akan menyingkap rentetan peristiwa yang akan memperlihatkan betapa Pakatan Rakyat Perak telah mengecewakan rakyat dan menyebabkan Sultan murka.

Adakah kedududkan Nizar sebagai MB (sekarang bekas MB) sangat tinggi sehingga beliau merasakan tidak perlu mendapatkan perkenan Sultan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman pembubaran?

Kenapa bertindak membelakangkan keperluan mendapatkan perkenan Sultan terlebih dahulu? Mana perginya tatacara? Bila sudah umum, baru hendak terhegeh-hegeh menghadap Sultan mahu minta perkenan?

Tindakan Nizar membelakangkan perkenan Sultan sebenarnya bukanlah perkara baru. Sebelum ini pun Nizar pernah mengarahkan Datuk Jamry Suri selaku Pengarah JAIP bertukar ke Sekretariat Negeri tanpa perkenan Sultan selaku Ketua Agama Islam negeri. Akibatnya, Nizar dititahkan Sultan agar menarik kembali pertukaran tersebut. Nizar tidak pernah belajar dari kesilapan lalu.

Namun, ianya tidak berakhir di situ sahaja, Ngeh Ko Ham memberikan reaksi yang kurang beradab dan memprotes tindakan Sultan. Karpal Singh tidak ketinggalan menyertai 'chorus line' ini dengan menyanggah tindakan Sultan dengan membuat kenyataan bahawa Sultan tidak mempunyai hak dalam hal perpindahan Jamry Suri.

Kenyataan yang dibuat oleh mereka-mereka ini nampak seperti mahu membela rakan sealiran. Namun bagi penulis, kenyataan demi kenyataan yang dibuat seolah-olah memperlekeh kuasa dan keputusan Sultan. Merosakkan imej Sultan. Mereka mempertikai segala keputusan yang telah diputus oleh Sultan. Mereka tidak mahu menerima dengan hati terbuka dengan penuh rasa hormat dan insaf. Mereka tidak pernah insaf!

Tindakan pemberian hak milik kekal tanah atau pajakan 999 tahun turut mendapat perhatian Raja Dr Nazrin. Pemberian tanah hak milik kekal kepada sekolah persendirian juga turut tidak terkecuali. Kenapa Raja Dr Nazrin bertitah menyentuh soal tanah dan seakan kecewa dengan tindakan Nizar dalam hal pemberian tanah ini? Tidakkah Nizar sedar isyarat yang diberikan dan cepat-cepat insaf?

Dalam masa itu, rakyat membicarakan pelbagai perkara tanpa mahu memikirkan kesannya kepada imej Sultan. Ramai mempersoal tentang banyak perkara berhubung situasi yang berlaku di Perak ini. Namun, perkara yang paling penting di sini bukanlah lagi terletak pada soal mempertikai pembubaran atau pelantikan MB yang baru.

Ramai cerdik pandai secara selamba membuat ulasan di kaca televisyen dengan menyatakan peri perlunya mandat baru, peri tidak beretikanya lompat parti. Bermacam-macam alasan menjustifikasikan kenyataan yang keluar dari mulut mereka-mereka yang sesetengahnya memegang Ph.D. Namun terlupa akan perkara yang paling penting yang sengaja dipandang sebelah mata oleh pihak ini.

Apa perkara penting tersebut?

Kesetiaan kepada Raja dan Negara! Ingat? Rukun Negara! Menjunjung Titah Sultan! Pernah dengar? Atau sengaja buat-buat tidak pernah dengar dan tahu?

Pelbagai respon diberikan oleh mereka yang kononnya terpelajar tetapi sebenarnya terlebih ajar menjadi kurang ajar, berlagak terlebih pandai sehinggakan menampakkan kebodohan. Rakyat mahukan mandat baru katanya. Perlu diadakan pilihanraya baru dakwanya walau pun sedar Sultan sudah memutuskan mengikut budi bicara Sultan dengan penuh bijaksana akan hal ini.

Rakyat mahukan mandat baru diadakan? Rakyat mana? Rakyat Perak? Rakyat yang berajakan Sultan Perak? Biar betul! Kalau rakyat yang berajakan Sultan Perak atau rakyat di negeri lain yang berajakan Sultan mereka, sudah tentulah mereka akan menjunjung titah Sultan dengan sedaya upaya mereka. Bukannya MENDERHAKA!

Bukannya dipersoal macam ahli akademik dalam sebuah forum yang secara mudah memberikan pandangan kononnya perlu mandat baru. Semasa BN lompat ke PR tidak pula bising bercakap soal mandat. Bila Anwar Ibrahim memancing MP BN untuk tubuh kerajaan Pusat, tidak pula dibincangkan tidak beretika dan sebagainya. Ini hipokrit namanya.

Bawa 31 orang MP BN yang melompat ke PR ke Istana Negara mengadap Yang DiPertuan Agong, apabila Agong perkenan maka bolehlah ambil alih kerajaan Pusat, terang seorang ahli akdemik undang-undang yang menulis panjang lebar dalam Harakah. Tapi lain pula jadinya kalau BN yang gunapakai cara tersebut. Halal bagi PR, haram bagi BN.

Kalau sudah keputusan Sultan menitahkan bubar DUN, rakyat akan ikut, mereka akan turuti titah Sultan. Rakyat tidak mempunyai masalah. Dan jika tiada pembubaran DUN pun rakyat akan terima. Tiada banyak soal. Yang tidak boleh terima hanyalah pemimpin yang mabuk kuasa dan penyokong yang ber'sultan'kan pemimpin!

Yang anehnya, Nizar dengan rasa penuh insaf pernah menyatakan akan menuruti segala keputusan bijaksana Sultan dalam membuat keputusan. Namun apabila keputusan tidak menyebelahinya beliau mengambil langkah menderhaka. Tidak mahu menjunjung titah!

Pakatan Rakyat sengaja mahu menjuruskan para penyokongnya merusuh ke jalanan. Dan Nizar mahu mahkamah pula yang menentukan kedudukannya. Dan bagaimana pula sekiranya mahkamah tidak memihak kepada Nizar? Apa tindakan PR seterusnya?

Beberapa pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat melancarkan kempen di blog-blog dengan mengarahkan pembaca dan penyokongnya menyerbu Buku Pelawat (Guest Book) laman web rasmi Pejabat DYMM Sultan Perak. Kononnya atas alasan sebagai tindakan memberikan pandangan untuk memperbetulkan tindakan Sultan. Kepala otak aktivis ini yang tidak betul, tapi disuruh penyokongnya memperbetulkan Sultan. Protes yang didakwanya dibuat dengan penuh adab. Namun, secara realitinya, tindakan protes itu sebenarnya ialah penderhakaan dan merendahkan keputusan Sultan.

Lihat sahaja betapa kebencian dan kata-kata kesat dilemparkan kepada Sultan Perak di dalam Guest Book tersebut. Kerana apa? Kerana cerdik pandai seperti pemimpin PR, ahli panel forum yang terdiri dari ahli akademik yang sengaja tidak mahu melihat dari perspektif "Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara" (mungkin kerana cenderung PR), aktivis dan penyokong yang tidak dapat memahami semangat Rukunegara ini.

Lihat sahaja aktivis Hindraf yang dengan kurang ajar melemparkan kata-kata kesat di blognya. Tajuknya saja sudah membuatkan penulis sangat sakit hati. Penulis tidak tersentuh secara emosi sekiranya activist Hindraf tersebut hanya meyentuh UMNO. Tetapi tindakan menghina Sultan semata-mata bencikan UMNO adalah sangat kurang ajar! Kalau benci UMNO, kutuk saja UMNO. Jangan cuba-cuba berani sentuh dan maki Sultan!

Adakah ini model Bangsa Malaysia yang terhasil setelah 51 tahun merdeka?

Segelintir orang Melayu nampaknya sudah semakin kabur dan hilang jati diri. Tiada kefahaman perjuangan agama, bangsa dan negara. Sudah tidak lagi meletakkan Raja dan Sultan sebagai simbol yang perlu dijaga dan dijunjung tinggi. Imej baik Sultan diinjak-injak dengan segala perlakuan yang tidak sepatutnya.

Tindakan Sultan tidak perkenan pembubaran DUN dan sebaliknya memberi perkenan BN membentuk kerajaan di Perak, disambut dengan rusuhan dan balingan batu dan objek ke kenderaan dan menahan kenderaan istana tersebut.

Namun, apabila Karpal Singh secara lantang dan kurang ajar bertindak mengumumkan akan memfailkan saman terhadap Sultan, Selasa depan di Mahkamah Tinggi Ipoh, tiada seorang pun daripada mereka-mereka ini mempertahankan Sultan.

Apa reaksi orang Melayu yang menjunjung tinggi kedudukan Sultan?

“Saya orang Melayu, saya tak suka” - Ini jawapan Tun Dr Mahathir apabila disoal berkenaan reaksi orang Melayu berhubung tindakan Karpal Singh yang bercadang memfailkan saman terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah. Dan penulis sangat percaya jawapan yang sama akan dijawab oleh seluruh orang Melayu kecuali orang Melayu ‘moden’ seperti yang disindir oleh Tun Dr Mahathir. “Orang Melayu ‘moden’ memang sudah ramai yang sokong Karpal. Saya Melayu lama”, kata Tun Dr Mahathir lagi.

Kalau tanya pada penulis, jawapannya ialah “sejuta kali tak suka, bukan setakat tak suka sahaja, tapi marah, bukan setakat marah sahaja tapi marah yang teramat sangat”. Itu perasaan jujur dari penulis. Tiada seorang pun yang suka. Perasaan marah penulis kerana rasa hormat yang tinggi penulis terhadap institusi Kesultanan Melayu. Dan perasaan yang sama juga sepatutnya terdapat dalam setiap orang Melayu, tanpa mengira parti.

Dimana keutamaan mereka? Dan dimana pula keutamaan anda?

Karpal Singh, aktivis HINDRAF, atau pun Kesultanan Melayu? Ketuanan Pakatan Rakyat atau Ketuanan Melayu?

Nak merusuh lagi, tak puas hati lagi? Kalau masih ada lagi niat nak merusuh lagi, memang sangat betul dan sangat bijaksana tindakan Sultan Perak sebab Pakatan Rakyat (dari pemimpin sampailah ke pendokongnya) memang kuat merusuh. Sangat tidak sesuai memerintah Perak!

Sudah-sudah lah tu! Jangan bermain politik yang merugikan bangsa! Sedarlah kembali wahai Melayu.

4 ulasan:

Abuarif berkata...

Zaman telah berubah.Sudah tentunya manusia berubah mengikut zaman dan ilmu yang mereka ada.Orang Melayu memang setia kepada sesuatu anutan.Untuk berubah kepada anutan yang baru mereka sukar untuk mambuang seluruh anutan lamanya.Dari zaman anismisma beraleh kepada Hindunisma dan seterusnya kepada ajaran Islam yang suci.Namun kita lihatlah dari amalan mereka.Masih lagi mengamalkan amalan yang terdahulu.Apabila zaman berubah ,ilmu bertambah,pendedahan semakin luas,meka bercampurlah penerima keatas sesuatu isu atau keadaan.

Begitulah apa yang terjadi sekarang ketatan rakyat kepada raja pada zaman Melaka tak akan sama pada zaman ini.Zaman dulu rakyat tak akan berani menyebut akan kesilapan atau lebih lagi kezaliman raja dikhalayak.Bila zaman berubah rakyak berani menyebut dan membantah arahan raja yang zalim atau tidak mengikut keadaan kebiasaan.Malah ada rakyat yang tidak akan hadhir apabila raja datang melawat kekawasan mereka.Malah ada pegawai kerajaan yang tak hadhir apabila raja melawat daerah mereka.Tetapi dalm pada itu masih ada rakyat yang setia seperti zaman dulu,perakukan saja apa yang raja titah,raja buat yang melanggar hukum ALLAH pun masih mengatakan betul dan dipuji.

Pada masa kini rakyat disamping terdedah dengan unsur - unsur luar,kepelbagaian budaya yang diceduk diserata dunia,fahaman politik yang bebrbeza dan lebih lagi tahap keimanan kepada YANG ESA yang teguh,maka keputusan yang dibuat tidak lagi sama.Sebagai manusia Islam saya harap HUKUM-HUKUM ALLAH adalah lebih besar dari yang lain.

Kita lihat dan cuba dalami kaedah pertabalan raja-raja Melayu pada zaman ini,upacara di istana,bail\k perkahwinan,kenduri kendara atau apa saja....banyak yang bercanggah dengan Islam,tetapi rakyat yang taksub dengan budaya istana zaman dulu masih mempertahankan adat tersebut walaupun mereka juga manusia ISLAM.

Pada zaman ini yang ada adalah Raja Berpelembagaan.Memang bagus bagi melindungai Melayu Dan Islam.Tetapi bukan seperti zaman dulu Raja adalah Raja Mutlak(Diktator).Bila ada Perlembagaan yang mengatakan tiada sesiapa diatas undang-undang bagi rakyat dan raja tidak boleh mengatasi Perlembagaan.

Oleh itu diabad ini orang Melayu perlu tidak mentaati secara membuta tuli seperti zaman dahulu.Apa lagi sekiranya manusia Melayu ini mengaku mereka adalah menganuti Islam,mengamal amalan Islam,menjunjung Islam dan mengagongkan Islam tidak ada yang lain yang benar kecuali ISLAM ITU SENDIRI.Dalam Islam semulia-mulia manusia di samping ALLAH adalah mereka yang lebih bertaqwa kepada ALLAH.Jika raja-raja bertaqwa meka mereka telah dimuliakan ALLAH,kiranya tidak maka rakyat yang bertaqwa adalah lebih mulia.

Pesanan Keramat berkata...

Adakah anggapan tuan bahawa "Untuk berubah kepada anutan yang baru mereka sukar untuk mambuang seluruh anutan lamanya" untuk berasaskan persepsi atau nilai budaya sedemikian?

Jika ada perubahan yang dimaksudkan, benarkah orang Melayu tidak mahu berubah?

Satu lagi andaian tuan mengenai upacara yang dikatakan melanggar hukum allah. Adakah hukum haram? Atau hanya harus?

Persoalannya asas perundangan apa yang buat tuan mengatakan sultan tidak bertindak memgikut perlembagaan? Adakah asas persepsi? Fitnah? Atau andaian mudah? Atau terikut2 ...

Tanpa Nama berkata...

Kadang-kadang terasa hairan juga. Kenapa Melayu sekarang terlalu mudah terpengaruh dan mudah termakan dengan agenda-agenda PR yang ternyata menyeleweng dari dari landasan sebenar hidup di dalam negara beraja? Sedangkan negara kita dah beratus tahun mempunyai institusi beraja tapi sekarang ini, ada pula pihak yang cuba nak menghapuskan sistem beraja dengan menderhaka kepada Sultan.

Bagi mereka Sultan seolah-olah tidak ada kuasa dalam Perlembagaan. Itulah sebabnyha keputusan Sultan dibangkang sekeras-kerasnya. Padahal sebelum keputusan dibuat, mereka berkata bahawa mereka bersedia menerima apa jua keputusan Sultan. Tapi apabila keputusan tidak menyebelahi mereka, lain pula jadinya... Manusia jenis apa macam ni?

Kembara Politik berkata...

Assalamualaikum.

Terima kasih atas link di atas.

Semoga seluruh rakyat dapat bersatu mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, tidak kira parti.