Ahad, 23 November 2008

Tujuh Wasiat Untuk Rakyat Asal Raja-Raja Melayu

Di Persidangan Meja Bulat anjuran Gabungan Graduan Muda Melayu di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya semalam, November 22hb, 2008, Yg. Arif Dato' Mohd Noor bin Abdullah, Mantan Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia telah membacakan "Wasiat Raja-Raja Melayu dan Pemimpin Melayu" dalam ucaptama "Hak Mutlak dan Kedudukan Istimewa Kaum Melayu."

Wasiat itu perlu difahami dari intipati kemerdekaan. Kebanyakkan kita memahami kemerdekaan sebagai merdeka dari penjajah British, tetapi sebenarnya kedaulatan negeri dan seterusnya negara (sovereignty) terletak pada tangan Raja-Raja Melayu dan pihak British hanya diberi kuasa mentadbir.

Kuasa mentadbir British itu diperolehi melalui diplomasi ugutan (gunboat diplomacy) para-para kapitalis dan pedagang-pedagang British dan dilegitimasi melalui perjanjiian-perjanjian dengan Raja-raja Melayu.

Ada pihak berpendapat kemerdekaan adalah juga perkenannya Raja-Raja Melayu untuk mengalihkan kuasa-kuasa mutlak mereka kepada rakyat dalam hal-hal mentadbir negara melalui sistem demokrasi yang dinamakan Perlembagaan Beraja (Constitutional Monarchy). Pihak istana terlibat dalam proses-proses perbincangan dan perundingan untuk Merdeka. Walaupun peralihan kuasa telah dilakukan, Raja-Raja Melayu masih mempunyai kuasa-kuasa tertentu.

Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu dan adalah berikut:
"Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera.

Tujuh perkara itu adalah:

Pertama - Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA )

Kedua - Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain,

Ketiga - Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hakmilik kamu, kami telah tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membenteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara,

Keempat - Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini,

Kelima - Kami isytiharkan ISLAM ialah Agama Persekutuan,

Keenam - Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU, dan

Ketujuh - Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).
Atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara yang terletak kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat (consensus) melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu.

Fasal-fasal tersebut adalah Perkara 3 (1), (2), (3) dan (5); Perkara 11; Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153; dan Perkara 181 (1). Fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis-Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan perlembagaan Parlimen dibenarakan berkuatkuasa.

Baca seterusnya di blog Shamsuddin Moner El-Askarey

3 ulasan:

zuraima berkata...

betul ke orang melayu rakyat asal tanah melayu?

Unknown berkata...

@maiyang

Pelbagai kajian telah membuktikan orang Melayu sebagai kaum yang terawal menetap dan membina ketamadunan di Tanah Melayu. Anda boleh rujuk di mana-mana Jabatan Sejarah di universiti-universiti kita.

Itulah yang dimaksudkan dengan "sons of soil" atau peribumi atau bumiputera, iaitu masyarakat yang terawal menetap dan membina ketamadunan manusia di sesebuah wilayah atau negara. Jangan pula anda putarbelitkan sejarah dengan mengatakan kononnya hanya penjajah Barat yang membawa tamadun ke tanah ini.

Lainlah jika anda memang menutup minda terhadap sejarah dan ingin menulis sejarah versi sendiri.

Salam hormat.

Tanpa Nama berkata...

Bagaimana dengan KERETAPI TANAH MELAYU? Sudah kena jual jugak ker??? Lingkup lah macam ni.........