Ahad, 7 Jun 2009

Muktamar PAS ke 55: Usul Ekonomi Pemuda mahu DEB disemak dan teruskan

KESAN NEGATIF KETIADAAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN & KOPERASI KEPADA USAHAWAN BUMIPUTERA ISLAM DAN PEMANSUHAN PEGANGAN WAJIB 30% EKUITI TEMPATAN DI DALAM 27 SUB-SEKTOR PERKHIDMATAN SERTA CABARAN KEMASUKAN MODAL ASING KE MALAYSIA MELALUI DASAR LIBERALISASI EKONOMI

• Menyedari bahawa Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MECD) ditubuhkan untuk membantu para usahawan kecil dan sederhana khususnya bumiputera melalui bantuan modal dan bimbingan;

• Menyedari bahawa ketiadaan MECD akan menyebabkan peluang bumiputera dan rakyat dalam menyertai bidang keusahawanan dan terus maju dalam bidang perniagaan akan terganggu dan terhalang;

• Menginsafi bahawa DEB tidak mencapai dasarnya serta gagal memberikan manfaat pada bumiputra disebabkan kepentingan politik Umno-Barisan Nasional dan kroninya yang menguasai kontrak-kontrak perniagaan utama negara melalui rasuah dan salahguna kuasa hingga menyebabkan usahawan bumiputra yang bukan proksi Biro Ekonomi Umno tertindas dan bankrap;

• Menyedari akan kesan terhadap usahawan tempatan khususnya bumiputera ekoran pemansuhan syarat 30% ekuiti tempatan & bumiputra ke atas 27 sub sektor perkhidmatan dalam liberalisasi ekonomi yang disuruh Najib;

• Menyedari bahawa terdapat juga pihak-pihak bumiputra yang menjadikan diri mereka sebagai proksi pelabur asing bagi memenuhi syarat 30% ekuiti tempatan & bumiputra;

• Menginsafi bahawa dasar liberalisasi ekonomi yang dipraktikkan di Malaysia boleh menjejaskan sumber pendapatan perniagaan dan ekonomi usahawan IKS khususnya daripada kaum bumiputera sepertimana krisis ekonomi (isu sub-prima) yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2007-2008;

• Memikirkan bahawa kesan liberalisasi ekonomi akan menyebabkan pelaburan asing terutamanya kalangan pelobi Yahudi memonopoli sumber ekonomi negara dan akan menyebabkan ekonomi Malaysia dikuasai dan dijajah oleh kuasa besar dunia;
Maka, Muktamar PAS Pusat yang bersidang pada hari ini 11 – 13 Jamadilakhir 1430 bersamaan 05-07hb Jun 2009 di di Stadium Melawati, Shah Alam mengusulkan dan membuat ketetapan mendesak dan menuntut :-

a. Kerajaan Malaysia mewujudkan semula MECD atau agensi seumpamanya supaya matlamat penubuhannya dapat direalisasikan dan hak masyarakat bumiputera untuk menyertai bidang keusahawanan dapat ditingkatkan agar berjaya mencapai sasaran satu rumah satu industri.

b. Menyemak dan menyusun semula dasar serta mekanisma perlaksanaan DEB dengan memberikan peluang yang seimbang kepada semua bumiputra tanpa mengira latar belakang politik mereka serta rakyat Malaysia;

c. Mengekalkan syarat pegangan 30% ekuiti tempatan & bumiputra bagi meningkatkan nilai pelaburan tempatan & bumiputra ke atas 27 sub sektor perkhidmatan.

d. Memastikan penggunaan ‘proksi kalangan tempatan & bumiputra’ oleh pelabur asing bagi memenuhi syarat 30% ekuiti tempatan & bumiputra yang benar-benar mempunyai kelayakan sebagai usahawan tulin bagi memastikan penjajahan ekonomi oleh syarikat antarabangsa tidak berlaku.

e. Memperkasakan mekanisme kawalan modal dan memberikan keutamaan kepada bumiputra untuk menguasai pelaburan dalam negara khususnya dalam projek mega ekonomi di Iskandar Malaysia, ECER, NCER, SCORE dan SDC.

f. Membuat penilaian yang ketat terhadap permohonan kemasukan pelabur asing dan juga kelompok expatriate bagi memastikan mereka tidak memonopoli pelaburan serta sektor pekerjaan domestik.
Dipetik dari blog Pemuda Besut

Ini pendirian Pemuda PAS yang diketuai Salahuddin Ayub dan kini adalah Naib Presiden PAS.

Setiap kali di sebut Melayu dan rakyat Malaysia. Mengapa tidak disebut Melayu atau hanyat rakyat Malaysia? Adakah ini cara halus PAS mengindors DEB tanpa lari dari prinsip dan pendirian politik mereka yang ada?

Bagaimana pula pendirian Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin? Persepsi rakyat kini melihat UMNO nampak longgar dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dan memeluk sistem ekonomic liberal dan laisse fairre yang mengenepikan DEB.

2 ulasan:

Goh Wei Liang berkata...

Usul Pemuda PAS menunjukkan bahawa kritikan pembangkang selama ini tidak berasas.

Dasar Ekonomi Baru dan polisi-polisi bumiputera oleh Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir sememangnya baik untuk masyarakat Malaysia.

Rasanya, apakah yang akan dikatakan oleh Anwar Ibrahim dan DAP selepas ini?

Walau bagaimanapun, liberalisasi sektor kewangan dan sebagainya diperlukan dalam masa kegawatan ekonomi ini demi menjana pelaburan baru.

Jika ekonomi berjalan, maka rakyat yang majoritinya bumiputera juga akan merasai kebaikannya.

Theory of money circulation.

Pesanan Keramat berkata...

Goh Wei Liang

Terima kasih kerana sudi memberi komen dan menggunakan bahasa kebangsaan.

Tak ramai kaum bukan Melayu sedia berinteraksi sini kerana tuntutan penggunaan bahasa kebangsaan.

Begitulah lojik mudah yang dikatakan mengenai liberalisasi sektor kewangan dan lain2 sektor perkhidmatan (servis).

Memahamai bahawa sektor perkhidmatan perlu dikembangkan, kita mengharapkan sektor perkhidmatan menarik pelaburan FDI.

Adakah perlu kita kembangkan dengan sewenang2 padahal pihak yang melabur pun bukan sebenarnya membawa apa2 kebaikkan dan kebolehan seperti dalam perbankan islam?

Kepentingan tempatan dan dominasi tempatan amat perlu dan selagi kita tak tak kuat, buat apa kita buka?