Dalam satu ucapan yang penuh berlapik, Dr Puad Zarkashi menyatakan kemunculan 'Melayu Liberal' dan 'Melayu alat' sebagai masaalah baru umat Melayu hari ini.
Berikut petikan laporan Utusan Malaysia bertarikh Julai 17hb, 2010:
KANGAR 17 Julai – Kepelbagaian Melayu adalah antara cabaran baru yang perlu dihadapi UMNO bagi memastikan parti itu terus kukuh di atas landasannya.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, antara kepelbagaian Melayu itu termasuk wujudnya golongan Melayu liberal dan 'Melayu alat'.
Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kangar di sini hari ini, beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi bimbang jika cabaran itu tidak ditangani segera, ia akan menimbulkan masalah kepada parti dan orang Melayu.
Menurutnya, sikap golongan Melayu liberal bukan sahaja merugikan bangsa sendiri, tetapi ada di antara mereka yang tidak mendaftar sebagai pemilih.
"Mereka (Melayu liberal) anggap perjuangan Melayu sebagai sudah ketinggalan zaman,” katanya sambil menambah bahawa golongan itu tidak memikirkan masa depan bangsa sendiri kerana telah menikmati kehidupan yang selesa.
Beliau berkata, ‘Melayu alat’ pula adalah golongan yang sering terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu sehingga mudah diperalat tanpa memikirkan masa depan negara dan bangsa.
Mohd. Puad berkata, jika orang Melayu begitu mudah diperalat oleh mana-mana pihak yang ingin melihat kehancuran, ia akan menjadi ancaman kepada UMNO. – Bernama