Isnin, 25 Ogos 2008
Adakah Permatang Pauh Mahu Bertanggungjawab Menghancurkan Bangsanya?
Disebabkan kesibukan urusan, saya telah lama tidak mengemaskinikan blog ini. Malah Bahagian Ketiga Kertaskerja Prof Dato Malik Munip pun belum sempat ditaip masuk. Berbanyak minta maaf. Insya Allah, saya akan kembali dengan lebih bersungguh-sungguh.
Hari esok adalah hari pengundian untuk pilihanrya kecil Permatang Pauh. Oleh kerana Anwar yang bertanding dan perjuanganny akini sudah jauh menyimpang dari asal, ini membuat saya terpanggil untuk beruara.
Pilihanraya kecil Permatang Pauh itu penting pada pandangan saya. Ia penting bukan kerana saya mempercayai Anwar boleh menarik Ahli-Ahli Parlimen melompat parti dan menubuhkan kerajaan baru.
Tetapi kerana Anwar yang dahulunya konon memperjuangkan nasib Islam dan Melayu, kini sanggup melakukan apa saja untuk menjadi Perdana Menteri. Anwar kini begitu liberal hingga sanggup menggadaikan kepentingan Islam, Melayu dan Malaysia.
Anwar dan partinya begitu terbuka terhadap isu-isu antara ugama. Ia tidak lagi membela dan bersuara apabila pelampau-pelampau agama lain atau pemikir-pemikir sekular atau peguam-peguam fasik mempersoalkan martabat Islam.
Kononnya Anwar mengatakan dia mempertahankan Artikel 152 dan 153 tetapi dia sanggup membuka UiTM kepada semua bangsa. Padahal orang bukam Melayu lebih ramai yang mampu, sedang dan sudah pergi belajar di luar negara, IPTS dan IPTA yang ada. Bagi orang Melayu yang hanya tinggal UiTM, itu pun mahu dibukakan.
Segala bantuan untuk menolong orang Bumiputera dan Melayu memperbaiki jurang perbezaan dengan kaum lain mahu dihapuskan. Alasan Anwar adalah rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan kurang effisiensi dan daya asing.
Adakah kerana nyamuk rasuah, maka kelambu itu mahu dibakar? Anwar sendiri tidak pernah menyalahkan tujuan dan polisi Dasar Ekonomi itu. Adakah perspektif kommersial menjadi penentu agenda membina suatu negara dan bangsa?
Dasar Ekonomi yang melengkapi Rukunegara sebagai ideologi negara dalam pembangunan Negara Bangsa Malaysia ditentang. Adakah logik untuk memerangi rasuah, polisi DEB yang dibenteras dan bukan amalan rasuah? Dunia komersial tetap bebas dan orang CIna boleh terus berniaga. Apakah hubungkait program sosial dengan eningkat daya saing dunia perniagaan?
DEB mahu mengurangkan jurang perbezaan antara kaum. Tetapi DEB tidak mengambil dari kaum bukan Bumiputera tetapi dari peluang-peluang baru dan pengembangan kek ekonomi. DEB tidak menindas rakyat bukan Bumiputera kerana satu lagi tujuan adalah untuk membasmikan kemiskinan tidak kira kaum.
Hari ini, Anwar menentang DEB dan memperjuangkan satu Agenda Ekonomi yang sebenarnya memperjuangkan ideologi DAP/PAP/Lee Kuan Yew yang dipanggil "sama rata dan sama rasa". Kononnya jawapan untuk Malaysia adalah pasaran bebas, globalisasi dan meritokrasi. Adakah ide ini akan membawa pada kemajuan bangsa?
Bagi "sama rata dan sama rasa" untuk menjadi, semua rakyat boleh bersaing supaya yang terbaik akan maju. Adakah boleh bersaing jika padang permainan tidak adil dan berat sebelah? Pasaran bebas bermakna kerajaan tidak boleh campurtangan dan yang kuat akan sentaisa kuat dan tertindas akan terus demikian.
Dari segi kemampuan kewangan, orang Bumiputera masih jauh ketinggalan, walaupun mereka sudah mula menampakkan kenaikkan. Tanpa kewangan tunai yang cukup, bolehkah Bumiputera mampu memperolehi pelajaran tinggi di IPTS dan memulakan perniagaan yang sedikit sebanyak dengan bantuan kerajaan masih memerlukan modal tunai yang bertambah banyak?
Dengan mengunjurkan persaingan terbuka dan meritokrasi disebalik tuduhan rasuah yang dilaung-laungkan oleh Anwar, gagasan Anwar itu tidak logik dan tidak adil pada kaumnya sendiri. Jika mahu ditukar DEB pun, mengapa tidak difikirkan sesuatu yang benar-benar adil? Mengapa Anwar sanggup lakukan demikian?
Ini belum lagi diterangkan isu-isu persekongkongan Anwar dengan anasir-anasir asing yang merupakan kuasa-kuasa besar dan proxy kuasa besar yang hanya mahu menakluk kembali tanah-tanah jajahan lama. Persekongkolan dengan kuasa-kuasa ini memberi Anwar pelbagai sumber kewangan, sokongan intelek dan maklumat perisikan, dan lain-lain. Ini adalah sumber-sumber yang membantunya mendapatkan kuasa.
Demi kuasa, Anwar yang dahulunya seorang aktivis Islam sanggup meliberalkan pendiriannya dalam ugama. Laungan perjuangan "rising tide of Islam" dan Negara Islam pun sudah tidak kedengaran lagi dari Anwar. Padahal dia diajak masuk UMNO untuk meningkatkan siasah Islam dalam UMNO.
Pelbagai perkara kita boleh rumuskan dari pelbagai maklumat dan sumber maklumat. Samada percaya atau tidak, terpulang kepada masing-masing. Perkara yang pasti adalah kepentingan Melayu tidak terjamin dan masa hadapan anak cucu cicit kita tidak terbela, jika pengaruh dan pemikiran Anwar dibenarkan merebak.
Bagi pengundi-pengundi Permatang Pauh yang sudah melihat bagaimana DAP memerintah kerajaan negeri dan orang Melayu, diharap mata hati mereka akan celik. Tanggungjawab ini terletak di bahu mereka. Apakah erti seorang anak Permatang Pauh itu naik dalam politik dan menjadi pemimpin jika ia membawa kehancuran pada agama, bangsa dan tanahairnya?
Jika Permatang Pauh yang pernah menjadi pentas untuk menaikkan Anwar, Permatang Pauh bertanggungjawab mengakhirkan kerjaya politik Anwar demi menyelamatkan agama, bangsa dan tanahair.
Andainya Anwar bertambah berkuasa dan berpengaruh, ini semua bermula dari Permatang Pauh yang memilihnya. Pengundi Permatang Pauh bakal bertanggungjawab dengan rintihan, tangisan, dan penyiksaan bakal mangsa-mangsa politik Anwar selama-lamanya. Mangsa ini kemungkinan besar adalah kaum bangsa mu sendiri.
Permatang Pauh akan sentiasa memegang saham dalam pembinasaan bangsa Melayu yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim.
Langgan:
Catatan (Atom)