Khamis, 21 Mei 2009

Jangan guna isu Chin Peng tarik penyokong Cina

KUALA LUMPUR 20 Mei – Parti-parti politik terutama berasaskan kaum Cina di negara ini diingatkan supaya tidak menggunakan isu bekas pemimpin komunis, Chin Peng bagi menarik sokongan daripada kalangan kaum itu.

Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM), Leftenan Kolonel (B) Nik Omar Al-Haded Nik Mohd. Salleh berkata, tindakan bersimpati terhadap bekas pemimpin komunis itu merupakan politik murahan yang hanya digunakan oleh pihak-pihak yang terdesak.

“Saya harap, semua parti politik berasaskan kaum terutama Gerakan tidak lagi akan menyentuh mengenai kebenaran Chin Peng pulang ke Malaysia.

“Tindakan itu mampu memecahbelahkan masyarakat dan menimbulkan ketegangan, berbahaya buat keselamatan Chin Peng sendiri, apatah lagi mahkamah telah memutuskan dia tidak boleh pulang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas permintaan Gerakan terhadap kerajaan supaya membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia.

Hari ini, media melaporkan, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan membuat permintaan itu atas alasan kemanusiaan di samping mendakwa Chin Peng bukan lagi merupakan ancaman keselamatan kepada negara.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani pula meminta Gerakan lebih sensitif dengan kenyataannya, supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak terutama golongan bekas anggota tentera dan polis.

Katanya, selepas media terutama portal berita menyiarkan kenyataan Hock Nan itu, beliau menerima tidak kurang 20 panggilan telefon daripada bekas-bekas anggota tentera yang membantah permintaan tersebut.

“Kesemua yang telefon saya menyatakan perasaan tidak puas hati serta meminta saya menghantar memorandum kepada kerajaan agar kekal dengan keputusan mahkamah yang melarang Chin Peng kembali ke tanah air.

“Jadi saya nak tanya Hock Nan, adakah kepulangan Chin Peng akan membawa faedah kepada negara dan kerajaan BN, yang sekarang ini melaung-laungkan konsep Satu Malaysia?,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia, Mei 20hb, 2009

Tiada ulasan: