Selasa, 2 Disember 2008

Sekolah satu sistem

Disember 2hb, 2008

Oleh NOR ZAINAH NORDIN dan AU YEONG HAW

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan bagi menyatupadukan rakyat dan mengelak polarisasi kaum di negara ini.

Menurutnya, menerusi sistem pendidikan sedemikian semua sekolah pelbagai jenis diserapkan di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan kecuali bagi subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

“Sudah tentunya murid-murid diwajibkan belajar bahasa ibunda mereka iaitu Mandarin bagi kaum Cina dan Tamil bagi kaum India.

“Malah di bawah sistem ini, pelajar Melayu diberi pilihan untuk mempelajari bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mukhriz berkata, sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia untuk melepaskan sistem sekolah berbeza yang dilaksanakan sekarang memandangkan ia menyumbang kepada masalah hubungan kaum di negara ini.

Katanya, sistem pendidikan kebangsaan diamalkan di 99 peratus negara di seluruh dunia, dan pola sedunia itu seharusnya turut menjadi amalan di Malaysia.

Beliau berharap pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak melihat cadangan tersebut secara negatif kerana ia bertujuan menjadi penyelesaian kepada masalah perkauman yang menjejaskan semangat kebangsaan rakyat Malaysia.

“Jika ada yang menolak cadangan ini, mereka perlu menjelaskan sebab-sebab mereka menentangnya. Bagaimana mungkin mereka bercakap mengenai perpaduan dan mempersoalkan hak-hak orang Melayu dan pada masa sama masih berkeras untuk mengamalkan sistem sekolah berbeza bagi kaum mereka?

“Kalau kita mahu hak yang sama rata, kita tidak boleh mempunyai sistem pendidikan berbeza. Kita tidak boleh mendapatkan kek dan mahu makan kesemuanya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, semua pihak khususnya pemimpin parti-parti komponen BN perlu berhenti mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh meregangkan hubungan antara mereka, termasuk membangkitkan isu ketuanan Melayu.

Beliau yang melihat isu itu sebagai perkembangan yang tidak sihat berkata, sejak akhir-akhir ini banyak kenyataan dibuat oleh pemimpin parti komponen BN yang mampu menaikkan kemarahan orang Melayu, khususnya ahli-ahli UMNO.

“Sekiranya mereka berdegil dan terus mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ketuanan Melayu, janganlah pula terkejut jika orang Melayu mula membuat reaksi balasan mengenai apa yang dianggap mereka sebagai ketuanan ekonomi kaum bukan Melayu di negara kita.

“Jadi eloklah kita elakkan polemik ini kerana walau apa pun yang dikatakan mengenai isu ketuanan Melayu, orang Melayu tidak pernah merasakan mereka tuan apabila bercakap tentang ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, beberapa tokoh pendidikan negara menyokong cadangan Mukhriz tersebut.

Mereka berpendapat sistem pendidikan Malaysia kini adalah hasil peninggalan zaman penjajahan British yang menampilkan sekolah aliran Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.

Tokoh pendidik, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, cadangan Mukhriz itu hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat keazaman politik di kalangan ahli-ahli politik negara ini.

“Lebih-lebih lagi politik negara sekarang dilihat lebih menekankan perkauman dan sehubungan itu terpulang kepada kerajaan untuk melaksanakannya,’’ kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Abdul Rahman tidak bersetuju dengan saranan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu untuk mewajibkan murid mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

“Memang tidak kena. Kaum Cina mempunyai bahasa Kantonis, Hokkien dan Mandarin.

“Bahasa Tamil pula jelas sekali bukan merupakan bahasa ibunda untuk pelajar kaum India. Ada lagi bahasa Telegu dan Punjabi,” jelas beliau.

Ahli sejarah, Prof. Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menyifatkan cadangan Mukhriz itu sebagai sangat baik dan menyamai cadangan dalam Penyata Razak 1956 dan Jawatankuasa Barnes 1951.

“Malangnya cadangan itu tidak dapat dilaksanakan dan kemudian dilupakan begitu sahaja ekoran orientasi pendidikan yang lebih menekankan markah ‘A’ dalam peperiksaan.

“Pelajar belajar tanpa matlamat positif untuk perpaduan, hanya untuk peperiksaan. Seringkali mereka tidak faham apa-apa yang dipelajari... mereka hanya tahu menghafal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rektor Kolej Yayasan Melaka, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, cadangan Mukhriz itu bukan sesuatu yang baru tetapi pelaksanaannya dapat mengeratkan perpaduan kaum.

“Cadangan itu sebenarnya diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran dan diterjemahkan dalam Penyata Razak 1956.

“Malangnya ia tidak dapat dilaksanakan sampai ke hari ini. Ternyata sistem pendidikan negara kini adalah ciptaan penjajah British dulu yang masih kita warisi selepas kemerdekaan negara,” katanya.

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Baru relevan, jika sekolah satu sistem yang hanya guna bahasa kebangsaan yakni bahasa Melayu. Sekolah aliran Cina atau Tamil tidak relevan lagi.Itu semua warisan penjajah.

Papan-papan tanda pun begitu, guna hanya bahasa kebangsaan dan tidak relevan sertakan tulisan Cina atau Tamil. Hanya bahasa rasmi negara relevan untuk tulisan papan tanda.

Orang Malaysia tentunya berbangga dengan bahasa Malaysia, bahasa ibunda tanah air mereka.

balan berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Tanpa Nama berkata...

Inilah yang seluruh rakyat tanpa kecuali tungu-tunggu. Perlaksanaannya tertangguh sejak 1960an.

Yang berkeras terkecuali pasti yang chauvenis perkauman.

Sampai bila kepentingan kebangsaan dikorban demi kepentingan perkauman? Cukuplah. Maju terus kehadapan.

Tam Dalyell berkata...

Demi negara tercinta, tiada jalan lain.

Tanpa Nama berkata...

Alasan berhak dan bebas mengadakan pendidikan kaum sendiri tidak relevan, kerana tiada yang halang. Cuma diajak berada di bawah sistem pendidkan yang satu berasaskan kebangsaan, berbahasakan bahasa kebangsaan. Kiasnya, takkan mengajak kenduri makan pun dikatakan halang mereka memakan babi, mana logiknya.

Tanpa Nama berkata...

Kita memerlukan lebih banyak lagi lagi blog-blog seperti ini. Teruskan usaha, boleh saya cadangankan saudara untuk membuat artikel penggunaan bahasa kebangsaan dalam perniagaan. Saya sebagai peniaga melayu dapat melihat didalam dunia perniagaan, bahasa Melayu diketepikan, invois-invois, mesti ada bahasa cina dan inggeris, tetapi tidak bahasa kebangsaan? Dan saya juga tidak setuju bahawa anak orang Melayu gagal didalam pekerjaan kerana bahasa Inggeris, ini adalah hujah bodoh yang cuba menjatuhkan bahasa Melayu, manakan tidak, siapakah golongan yang kebanyakannya menjadi majikan? Jawap pertanyaan itu, dapatlah kita tahu kenapa hujah itu timbul, padahal, Jepun/Jerman lebih maju tanpa bahasa Inggeris pun.

Saya tidak mengatakan bahawa bahasa Inggeris itu tidak penting, ya ia penting jika kita hendak berkomunikasi dengan peniaga US, Jerman, Jepun, tetapi ini sesama orang yang ada IC Malaysia dan bercakap tentang bangsa Malaysia, tetapi bahasanya, mat salleh?

Saya tidak boleh tidak memikirkan bahawan golongan ini adalah hipokrit tingkat dewa, itu sahaja.

- Peniaga Melayu.

Pesanan Keramat berkata...

Saudara Balan

Saya terpaksa buangkan komen saudara kerana polisi di sini adalah hanya melayang bahasa kebangsaan, bahasa melayu.

Saya faham sebelum ini komen sedemkian dibenarkan dan ada artikel dalam bahasa Inggeris yang disiarkan, namun saya mahu promosi bahasa melayu dan galakkan kita berbicara dalam bahasa kebangsaan.

Rakan-rakan pembaca boleh lawati Blog Balan

http://balankumarpremakumaran.blogspot.com