Khamis, 25 Disember 2008

Melayu! Oh Melayu! Cerdiklah dalam Berpolitik! ke-2: Retorik hukum hudud


Husam dan Khairy tidak menang, sebenarnya Islam yang 'kalah'.

Satu wacana politik telah diadakan di Kota Baru antara Professor Aziz Bari, seorang akademik undang-undang, YB Dato Husam Musa, ahli exco kerajaan PAS Kelantan merangkap Naib Presiden PAS, dan YB Khairy Jamaluddin, ahli Parlimen Rembau pada hari Sabtu lepas, Disember 20hb, 2008.

Banyak perkara disentuh di dalam wacana yang akhirnya di 'transformasi'kan menjadi debat antara UMNO dan PAS. Isu yang mendapat perhatian umum dari 'debat' tersebut adalah perlaksanaan hukum hudud.

Wacana politik yang ikhlas seharusnya tidak mementingkan pihak mana yang menang dan kalah tetapi mempertingkatkan pemahaman mengenai pelbagai pandangan mengenai sesuatu perkara. Lanjutan dari itu, ia sepatutnya berperanan mencari pertemuan atau mendekatkan jurang perbezaan bagi mencapai satu penyelesaian politik.

Yang diharapkan tidak menjadi realiti, tetapi pertunjukkan sarkas media dengan permainan psywar di media cetak dan sesawang dari kedua-dua pihak Khairy dan Husam yang menyusul. Perbuatan ini hanya merendahkan martabat Islam. Hukum hakam agama dijadikan bahan bahas retorik murah. Ia membuka peluang untuk kaum-kaum bukan Islam dengan prejudis dan tersirat cauvanis kaum masing-masing untuk mengkritik penganut-penganut dan agama Islam.

Apabila satu pihak dikritik kaum-kaum bukan Islam, pihak lawan hanya menokok 'nasi tambah'. Memang demikianlah cara politik partisan. Kalau mahu meningkatkan saham politik pun, apa salah dilanyak kaum-kaum bukan Islam itu supaya jangan masuk campur urusan polemik politik antara sesama Islam? Pasti kita kelihatan hebat oleh bahagian pengundi yang lebih releven dan signifikan. Disamping itu, kita mengerjakan fardhu ain atau fardhu kifayah untuk mempertahankan hukum-hukum Islam dan menyumbang memulihkan kembali tradisi Islam di alam budaya Nusantara Melayu.

Melayu! Oh Melayu! Cerdiklah dalam berpolitik!

Retorik Hukum Hudud

Hukum hudud adalah salah satu intipati dalam senjata PAS yang diguna sebagai retorik perang ideologi antara UMNO dan PAS, ia-itu pembentukkan Negara Islam. Dari perspektif tajuk 'debat' itu, isu itu ditimbulkan untuk menonjolkan PAS sebagai membawa transformasi politik Malaysia kepada tradisi amalan kerajaan Melayu Islam.

Merujuk kepada buku, Introduction To Malaysian Legal History yang dikarang oleh beberapa pensyarah UIA dan diterbitkan Ilmiah Publishers Sdn Bhd, Hukum Kanun Kerajaan Melaka mengandungi elemen-elemen perundangan Islam seperti qisas, hudud, diyah, ta'zir, muamalah, munakahat atau undang-undang keluarga, dan lain-lain. Undang-undang Kerajaan Melaka adalah perundangan yang tersusun dengan tepat dan komprehensif. Samada ia terlebih atau tidak, dalam kesalahan moral tertentu, hukum yang diletakkan lebih tegas dari hukum Islam seperti hukuman sula.

The Star melaporkan Khairy memberi persetujuan kepada perlaksanaan hukum hudud. Ada pihak lain melaporkan persetujuan itu bersyarat ia-itu selepas mendapat persetujuan rakan politik dalam Barisan Nasional. Walau bagaimana pun, pendirian Khairy itu bukan pendapat peribadinya tetapi konsisten dengan pendirian UMNO selama ini dalam hal hukum hudud.

Selalunya hukum hudud hanya retorik politik dan sering timbul sebagai slogan kempen pilihanraya untuk menunjuk-nunjuk 'parti aku lebih Islam dari parti kamu'. PAS yang berusaha memperjuangkan pun tidak pernah berusaha untuk menguasai kerajaan Persekutuan. Jumlah kerusi yang ditandingi PAS semasa pilihanraya umum hanya satu pertiga jumlah kerusi di Parlimen. Jauh sekali dari jumlah lebih separuh untuk mewartakan undang-undang dan dua pertiga majoriti untuk melakukan pindaan perlembagaan. PAS pun tidak menunjukkan niat untuk bertanding di luar kawasan-kawasan majoriti Melayu dan hanya tertumpu kepada kawasan yang ditandingi UMNO dan Semenanjung Tanah Melayu.

Dalam bahasa politik, ia boleh diterjemah sebagai politik Melayu tidak cukup dominan untuk memaksa pindaan perlembagaan untuk melaksanakan Hukum Hudud.

PAS pula mempunyai kerjasama pilihanraya dengan DAP, parti sosialis demokrat yang tegas dan jelas membawa agenda sekular dan menentang elemen ugama dalam politik dan pentadbiran. Ini membawa satu dimensi tambahan kepada retorik hukum hudud dan Negara Islam antara PAS dan UMNO.

Pada asasnya, susah untuk dapat melaksanakan hukum hudud dalam suasana masyarakat berbilang kaum dan agama. Malaysia bukan satu negara yang homogenoeus dari segi kaum dan ugama. Negara seperti Malaysia sering berlaku perselisihan kaum yang berakhir dengan pertumpahan darah. Justeru itu, perlaksanaan undang-undang hudud tidak boleh bergantung kepada proses politik dan pewartaan undang-undang di Parlimen semata-mata. Ia perlu mendapat keyakinan dan konsensus dari masyarakat kaum bukan Islam masyarakat.

Hampir kesemua pemimpin UMNO tidak pernah menyatakan tentangan kepada hukum hudud tetapi belum masa. Hujah yang sering diguna UMNO adalah hudud bukan keutamaan dalam pembinaan ummah Islam dari persepektif negara bangsa Malaysia, masyarakat majmuk dan kekangan politik, keadaan sosio-ekonomi belum bersesuaian, semangat musyawarah Barisan Nasional, dan lain-lain. Bagi menjawab pertuduhan, hujah pihak UMNO tidak terhenti kepada hujah politik tetapi menggunakan interpretasi nas-nas dari Al Quran, Hadis dan pendapat ulama. Samada niat mereka ikhlas dalam berhujah atau ianya hanya alasan, wallahu alam, hati itu urusan tuhan.

Dengan hujah yang bersandarkan versi yang lebih tradisional dan kadang-kadang ortodoks, PAS menyangkal hujah UMNO dan UMNO dituduh tidak Islamik hingga sampai ketahap dipanggil parti dan ahlinya kafir. UMNO menjawab dengan dua cara; melakarkan PAS sebagai parti extremis dan ada pula menuduh kembali PAS sebagai parti kafir. Beberapa tahun kebelakangan, PAS berusaha memberi keyakinan dan keselesaan kepada kaum bukan Islam. Demikianlah berbalas-balas persaingan antara dua parti politik yang kedua-duanya Melayu dan kedua-duanya Muslim.

Berdasarkan semangat bersangka baik, UMNO setuju dengan hukum hudud tetapi mahu mengambil masa. Namun demikian, UMNO telah melakukan usaha-usaha ke arah 'Daulah Islamiah' seperti polisi-polisi penerapan nilai-nilai Islam dalam amalan kerja sektor kerajaan, Islam Hadhari, memaktubkan artikel 121 (1A), dan pelbagai macam usaha.

Pendirian PAS pula mahu hukum hudud disegerakan dan seboleh-bolehnya semalam. Satu perkembangan baik adalah kerajaan PAS Kelantan mendapat keyakinan kaum bukan Melayu dari segi mendapatkan undi. Walaupun kerajaan Kelantan PAS tidak mempamerkan keupayaan untuk melakukan pembangunan ekonomi yang hebat-hebat, mereka dapat mengambil hati pengundi bukan Melayu dengan cara pentadbiran mereka dan berlaku adil.

Semasa PAS mengambilalih kuasa di Kelantan dan satu penggal di Terengganu (1999-2004), mereka berusaha untuk meperkenalkan hukum hudud dan jizyah tetapi tidak berjaya. Realiti yang sering disebut UMNO mengenai kepelbagaian kaum menjadi kenyataan. Kekangan Perlembagaan meluputrkan usaha tersebut. Personaliti UMNO (kini telah dipecat) seperti Dato Zaid Ibrahim turut terlibat mengekang perlaksanaan di mahkamah.

Itulah latarbelakang hujah yang terdedah kepada orang awam sebagai Quran sepatutnya menjadi Perlembagaan Negara dan UMNO dikait salahkan. Boleh dikata ada kebenaran tetapi tidak sepenuhnya. Jika negara Islam dituntut dari sebelum Merdeka, bukan sahaja pihak British akan terus berkausa, tetapi mereka mendapat sokongan kuasa-kuasa barat untuk mengekang kemunculan sebuah negara Islam. Semasa kerajaan Islam Othmaniyah Turki baru saja mereka hancurkan. Ada pula berkata Quran tidak boleh direndahkan martabat menadi Perlembagaan sebuah negara.

Retorik baru


Kemunculan persefahaman PAS-DAP-PKR untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-12 (yang kemudian diperkemas menjadi 'Pakatan Rakyat') menimbulkan dimensi baru kepada perjuangan PAS untuk Negara Islam dan Hukum Hudud.

PAS bersetuju tidak menuntut kedua-dua perkara ini diletakkan di dalam manifesto pilihanraya umum bagi pakatan PAS-DAP-PKR. Selepas pencapaian baik pihak pembangkang, isu Negara Islam ada ditimbulkan dan berlaku berbalas retorik antara PAS dan DAP tapi dapat diredakan segera. Apabila PAS bersetuju menjadi sebahagian dari Pakatan Rakyat dan tidak menuntut agenda tersebut di dalam persepakatan Pakatan Rakyat, ini dilihat pemerhati politik sebagai satu lagi perubahan fundamental PAS.

Dari melaungkan slogan Negara Islam, Presiden PAS menukar alasan untuk memberi keutamaan kepada nilai-nilai sejagat untuk amanah, bersih dari rasuah, kecekapan, keadilan, dan lain-lain disebalik konsep Daulah Islamiah.

'Debat" Husam-Khairy pada hari Sabtu tersebut menghidupkan kembali perdebatan awam mengenai hukum hudud. Samada ia terancang atau tidak, Khairy mengkritik PAS sebagai tidak konsisten dalam prinsip perjuangan untuk menegakkan Negara Islam. Hujahnya mengambil kesempatan dari ketidak puasan hati PAS yang merasa suara mereka telah diketepikan dari pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor, dan tekanan dari kritikan terhadap Menteri Besar Perak.

Husam dilihat mula terasa tertekan dalam politik PAS. Dia telah dilabel sebagai puak 'Erdogan' dan dikaitkan dengan politik Dato Seri Anwar Ibrahim yang dianggap ramai sebagai kini condong kepada pemahaman Islam Liberal. Perkhabaran kuat dalam PAS mengatakan Husam akan mendahului satu usaha untuk menjatuhkan puak ulama konservatif dalam pemilihan parti pada bulan Jun 2009. Pendirian yang dibuat oleh Husam mungkin adalah usaha untuk mengenepikan pra-sangka dia telah menggadaikan prinsip perjuangan Islam ala PAS dalam persahabatannya dengan Anwar.

Khairy sedang bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO dan memerlukan satu isu besar untuk menandingi isu sekolah vernakular yang ditimbulkan oleh pesaingnya Mukhriz. Dengan rangkaian 'setiakawan' di dalam media perdana, alternatif dan sesawang, pasukan kempennya telah menggembar-gemburkan debat itu sebagai kejayaan dan kehebatan Khairy berdebat dan mengkucar kacirkan politik Pakatan Rakyat. Khairy sendiri menokok nambah untuk mempertingkatkan saham politiknya. Puak-puak PAS pun tidak ketinggalan memainkan peranan psywar yang sama.

Disini, kedangkalan pemikiran kedua-dua pihak begitu menyerlah. Di dalam satu wacana, tidak ada yang menang dan kalah. Wacana ini adalah satu perbincangan tiga penjuru. Untuk sesuatu pertandingan debat melahirkan pihak yang menang atau kalah, ia mesti mempunyai juri hakim yang berkuasa menetapkan markah.

Satu perkara yang kelihatan kebudak-budakan adalah pihak masing-masing mengaku pihak mereka yang menang. Yang menambah kelucuan, ada wartawan yang terbawa-bawa dalam permainan kanak-kanak ini.

Episod ini mendedahkan kebodohan Melayu berpolitik. Apabila kesemua parti-parti bukan Melayu sekata mengutuk kenyataan Husam, Khairy bukan sahaja berdiri ditepi melihat saudara sesama Muslim dibidas bertubi-tubi tetapi mengapi-apikan kemarahan bukan Melayu. Bukankah lebih baik ditunjuk kesetiakawanan dan kesatuan sesama Muslim? pasti orang ramai akan lebih tersentuh dengan semangat sedemikian.

Husam pun tidak lari dari kesalahan. Sebagai ahli politik yang veteran dan sudah mencapai tahap tinggi, dia sepatutnya lebih cekap dalam mengeluarkan kata-kata. Bukankah lebih baik, dia menekankan kewajipan orang Islam - UMNO dan PAS - untuk menunaikan hak Allah dalam melaksanakan hukum jinayah Hudud dan Qisas.

Persetujuan Khairy pun boleh dianggap meletakkan sesuatu pada tempatnya, ia-itu bersetuju Hudud itu patut dilaksanakan. Khairy sepatutnya lebih tegas dan jelas dalam pendirian dan tidak perlu letakkan caveat politik dalam jawapannya.

Ketidak Bijaksanaan

Mengulang kata-kata tulisan sebelum ini, orang Melayu tidak bijak dan matang dalam berpolitik. Pihak kaum bukan Melayu boleh sekata dalam membidas tetapi orang MElayu sanggup lakukan apa saja demi politik. Pemimpin-pemimpin politik Melayu dan orang-orang Melayu yang mengejar jawatan politik sering memikirkan kepentingan diri dan sanggup mengenepi atau kadang-kadang hingga menggadai kepentingan bangsa.

Hukum hudud adalah tanggungjawab kepada semua orang Islam untuk menjalankan hukum Allah di mukabumi. Baik UMNO atau PAS atau Husam atau Khairy semua bersetuju hudud patut dilaksanakan.

OLeh yang demikian, kenapa Islam perlu direndahkan martabat menjadi polemik politik partisan? Mengapa hukum hudud dijadikan senjata untuk aksi menuduh dan aksi memusingkan meja debat untuk memenangi perdebatan? Adakah persepsi mengenai Islam dan orang Islam bertambah baik dengan gagasan Negara Islam dihina oleh orang-orang bukan Islam? Di manakan maruah orang Islam membiarkan gagasan Negara Islam, dan hukum hudud dikutuk dan dikeji oleh 'musuh Islam'?

Sepatutnya kita berhenti menyebut, membahas dan berpolemik/debat mengenai Negara Islam dan Hukum Hudud tetapi hanya lakukan dalam diam-diam. Kalau diikutkan kedua-dua Husam dan Khairy bukan ahli dan/atau contoh keperibadian yang sesuai untuk membicarakan hukum hudud. Ia sepatutnya diserahkan kepada mereka yang tidak ada kepentingan politik kepartian dan bijak berbicara untuk menjamin kredibiliti kepada gagasan ini.

Dari hanya bercakap dan bercakaran, kita sepatutnya bersatu hati dan bekerjasama memperkemaskan pemahaman dan mengemaskinikan perangkaan Hukum Hudud supaya bersesuaian dengan keadaan masyarakat majmuk. Kita sepatutnya memikirkan untuk meyakinkan masyarakat bukan Melayu akan keadilan dan kebaikan hukum hudud dari berhempas pulas memecah kepala memikirkan untuk memintas hujah sesama Islam.

Dibelakang tabir, kita sepatutnya merancang strategi dan taktik untuk menjadi dan mengemaskini hukum Allah ini kepada negara ini. Bukankah ini sudah menjadi sebahagian dari hukum kerajaan Melayu dahulu kala, seperti kerajaan Melayu Melaka?

Dulang sekali lagi, Melayu! Oh Melayu! Cerdiklah dalam berpolitik!

* Diedit 6:00 pm

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam

saya amat meminati penulisan saudara. hujah saudara kali ini amat bernas.

harap saudara dapat mengulas tentang kesan kewujudan PKR di kemelut perpecahan Melayu.

Tanpa Nama berkata...

Malaya : The Communist Insurgent War 1948-60 by Edgar O'Ballance


In pursuit of mountain rats: The Communist insurrection in Malaya by Anthony Short

Malaya: The Communist Insurgent War,1948-60

The communist struggle in Malaya by Gene Z Hanrahan

The emergency in Malaya by Hock Aun Gwee (Unknown Binding - 1966)

Malaya's freedom is vital to Britain by John Eber (Unknown Binding - 1954)

Facing facts in Malaya by Gerald de Cruz (Unknown Binding - 1952)

New Perspectives on the Japanese Occupation of Malaya and Singapore 1941-1945 by Yoji Akashi (Paperback - Dec 30, 2008)

The End of Empire and the Making of Malaya by T. N. Harper
Distant Archipelagos: Memories of Malaya by Peter Moss (Paperback - Aug 8, 2004


The Invention of Politics in Colonial Malaya: Contesting Nationalism and the Expansion of the Public Sphere by Anthony Milner (Paperback - Jul 18, 2002)


Conquests And Cultures: An International History by Thomas Sowell (Paperback - April 29, 1999)


The Malays (The Peoples of South-East Asia and the Pacific) by Anthony Milner (Hardcover - Nov 10, 2008)

The Cambridge History of Southeast Asia, Vol. 2, Part 2: From World War II to the Present by Nicholas Tarling (Paperback - Jan 12, 2008)



buku buku boleh dibeli 2nd hand dari amazon.. bagus untuk anda.
bagus anda berani dan lantang...tak semua begitu berani berlaku lantang... termasuk saya....