Ahad, 7 Disember 2008

Ridhuan Tee anggap bangsanya sengaja cari pasal

Utusan Malaysia, Disember 4hb, 2008

Politik tuntut-menuntut


Akibat tuntutan tidak munasabah kaum Cina, orang Melayu pun menuntut juga bahagian mereka. Desak demi desak dan akhirnya tercetuslah peristiwa berdarah 13 Mei 1969 ...

Oleh Mohd. Ridhuan Tee Abdullah

Isu ketuanan Melayu bukanlah satu isu baru yang telah dibangkitkan oleh parti-parti politik Cina seperti MCA, Gerakan dan DAP. Ia adalah isu lama yang kerap kali digunakan sebagai senjata untuk mencari publisiti murahan dan pengaruh. Seperti yang telah saya tulis sebelum ini, parti-parti politik Cina tidak pernah serik, malah semakin berani dan lantang serta sengaja membangkitkan isu-isu perkauman yang berkaitan sensitiviti orang Melayu.

Ia sengaja dibangkitkan untuk menguji reaksi orang Melayu. Apatah lagi kedudukan orang Melayu berada dalam keadaan yang lemah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) Mac 2008. Apa yang dapat saya katakan, orang Cina tetap tidak rugi apa-apa sama ada berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional. Mereka tetap menang sama ada berada dalam Kerajaan Pusat (BN) mahupun kerajaan negeri (Pakatan Rakyat).

Pada hemat saya, inilah bentuk perubahan dikehendaki oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek. Pada persepsi Soi Lek, PRU 12 adalah petanda rakyat mahukan perubahan daripada perjuangan perkauman kepada perjuangan untuk semua bangsa Malaysia.

Inilah intipati ucapan beliau yang saya layari dalam laman blognya. Pada Soi Lek, ucapannya telah dipolitikkan. Setelah membaca sepenuhnya teks ucapan beliau bertajuk Change the Game, saya tidak nampak, ucapan beliau dipolitikkan oleh media, khususnya Utusan Malaysia.

Perubahan

Seperti kata-kata pemimpin-pemimpin Cina sebelum ini, Soi Lek mahukan rakyat Malaysia berubah seperti mana rakyat Amerika Syarikat yang memilih Barack H. Obama, merentasi batasan bangsa dan warna kulit. Perubahan yang dimaksudkan beliau termasuklah ungkapan ketuanan Melayu.

Katanya:

"The slogan/phrase of 'Ketuanan Melayu', of Master and Servant relationship becomes unacceptable… the younger generation of various races will not accept it. We accept Malay Leadership, but not Malay Supremacy. "We must change the concept of power sharing. We accept Malay Leadership, but not Malay Supremacy."
Semua sedia maklum bahawa setiap negara yang dijadikan oleh Allah SWT ada tuan punya asal sesuatu bangsa. Dengan sebab itu, kita dapati bangsa-bangsa yang dijadikan Tuhan akan menjadi tuan di tempatnya. Misalnya, Ketuanan Melayu membentuk negara Melayu, Ketuanan Cina membentuk negara China, Ketuanan India membentuk negara India, Ketuanan Siam membentuk negara Siam (Thailand) dan lain-lain negara yang boleh dijadikan contoh.

Sepanjang tinjauan saya, belum ada sesebuah negara menjadi majmuk secara semula jadi. Setiap negara bermula dengan satu bangsa. Dalam hal ini, sudah tentu kita menerima Orang Asli adalah penduduk asal dalam setiap negara di dunia ini. Kemajmukan berlaku melalui proses migrasi.

Perlu diingatkan, penggunaan istilah ketuanan Melayu bukan perkara baru. Ia adalah bagi menggambarkan bahawa orang Melayu adalah etnik asal dan seharusnya mendapat hak-hak istimewa berbanding kaum lain seperti mana yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dipolitikkan

Yakinkah rakyat terhadap kerakyatan mereka jika masih tidak menguasai bahasa kebangsaan yang patut diiktiraf. Bolehkah menjadi Obama Malaysia, sekira masih mengulang tuntutan basi, dan berkira untuk tolak ansur?

Saya fikir orang Cina faham makna sebenar ketuanan Melayu tetapi sengaja dipolitikkan untuk mendapatkan political mileage terutama kalangan pemimpin mereka. Persepsi yang mengatakan jika orang Melayu adalah tuan, maka hambanya orang Cina sengaja diada-adakan. Begitu juga dengan ungkapan "Hidup Melayu". Jika Melayu hidup, siapa pula yang mati?

Apa yang nyata, orang Cina sengaja memperbesar-besarkan isu ini, walaupun mereka tahu tujuan sebenar penggunaan istilah ini. Lebih ekstrem lagi, mereka menggunakan isu ini sebagai faktor kehilangan banyak kerusi BN dalam PRU 12.

Justeru, saya ingatkan pemimpin-pemimpin Melayu supaya melayari laman web parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Cina ini serta buletin mereka untuk menyelami betapa kiasunya mereka. Isu-isu yang menjadi sensitiviti kaum bukan hanya diperdebatkan, malah dihina dan dikeji. Saya tidak menafikan juga laman-laman pemimpin Melayu yang lain.

Mewakili MCA, Ong Tee Keat ketika itu menjadi Naib Presiden, dengan nada keras meluahkan perasaan orang Cina terhadap istilah tersebut (The Star, 9 Mei 2008).

Kenyataan Tee Keat bertepatan dengan dengan temu bual yang telah dilakukan oleh penulis sebelum ini (Temubual, 7 September 2007). Tee Keat menolak sama sekali istilah ketuanan Melayu, dengan anggapan orang Melayu adalah tuan, manakala orang Cina adalah hamba.

Ini bermakna, kenyataan Soi Lek bukanlah isu baru tetapi telah dibangkitkan sebelum ini, terutama ketika Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menghunus keris dalam Perhimpunan Agung UMNO 2006 yang ada kaitannya dengan ketuanan Melayu.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2007, Hishammuddin telah memberikan penjelasan berhubung isu ini. Beliau memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu (orang Cina) tidak membangkitkan isu keris kerana ia merupakan sebahagian adat budaya Melayu dan bukan isu perkauman.

Orang Cina diingatkan supaya "jangan mencipta musuh yang tiada dan jangan takut dengan bayang-bayang". UMNO tidak akan melayan lagi polemik melulu mengenai keris yang masih belum reda sejak tahun lalu. Keris dianggap sebagai lambang perpaduan. Beliau turut menyindir orang Cina yang masih tidak memahami budaya Melayu setelah 50 tahun merdeka.

Apa juga alasan UMNO berhubung isu keris dan ketuanan Melayu, pemimpin Cina sengaja memutar-belitkan isu ini. Sejarah membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berakarkan bangsa Melayu (Comber, 2007).

Walaupun ada yang beranggapan bahawa Orang Asli yang menjadi penduduk asal, namun sejarah menunjukkan bahawa Malaysia yang berasal dari nama Tanah Melayu berakar umbikan bangsa Melayu. Sebab itu, dalam banyak perkara, bangsa Melayu mendapat lebih keistimewaan dan keutamaan berbanding yang lain. Ini dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan sejak awal-awal lagi (Haas, 1967).

Maka tidak hairanlah istilah 'Ketuanan Melayu' dan 'Hidup Melayu' selalu digunakan. Istilah ini telah menjadi sinonim dengan UMNO. Begitu juga dengan lambang keris yang menjadi simbol bendera UMNO.

Secara mudah, ketuanan Melayu merujuk kepada suatu keadaan yang mana orang Melayu dan warisan mereka diberikan kedudukan yang wajar selaras dengan status sebagai bangsa atau penduduk asal negara ini. Ia sering dikaitkan dengan kedudukan orang Melayu dalam politik dan pemerintahan; sebagai pengendali utama negara.

Unsur-unsur penting lain yang dapat dilihat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan adalah kedudukan dan peranan Raja-raja, peranan Islam, kedudukan bahasa Melayu (Perkara 152) dan hak-hak istimewa orang-orang Melayu (Perkara 153).

Ini termasuk juga adat istiadat dan seumpamanya, sehinggalah membawa kepada isu Tanah Rizab atau Simpanan Melayu. Semua perkara ini telah wujud sebelum Perlembagaan yang ada sekarang mula beroperasi pada tahun 1957 (Abdul Aziz Bari, 2006).

Saya fikir orang Cina menyedari makna ketuanan Melayu yang merujuk kepada perkara-perkara di atas, tetapi mereka sengaja mencari publisiti murahan ketika pengaruh MCA dan Gerakan mula merosot di kalangan kaum Cina yang telah beralih kepada DAP.

Kata-kata Soi Lek yang mahukan perubahan adalah satu pembohongan. Soi Lek mahukan rakyat Malaysia menerima perubahan. Perubahan yang meletakkan kepentingan semua, bukan hanya satu-satu kaum sahaja. Katanya lagi, isu sekolah Cina bukan isu bangsa Cina tetapi isu nasional.

Dalam mengulas isu ini, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, menyarankan supaya sekolah vernakular ditutup. Sistem satu sekolah iaitu sekolah kebangsaan mesti diperkasakan. Ini bukanlah isu baru dan bukan mudah untuk menghapuskan sekolah vernakular yang telah menjadi agenda politik tuntut-menuntut dan ugut-mengugut.

Orang Cina akan menggunakan isu ini untuk mendapatkan political mileage dalam BN dan Pakatan Rakyat. BN dan Pakatan Rakyat terpaksa tunduk kepada ugutan ini demi survival politik.

Saya tidaklah menyokong sangat saranan Mukhriz ini, tetapi pengalaman saya memimpin PIBG di sekolah yang majoritinya pelajar Cina di Sekolah Jenis Kebangsan Cina (SJKC), menyebabkan saya terpaksa bersependapat dengan Mukhriz, walaupun ia amat pahit untuk diluahkan sebagai seorang berbangsa Cina.

Berkomunikasi

Adakah persekolahan bahasa asing dan suasana satu kaum menyediakan anak-anak ini ke arah perpaduan bangsa?

Kebanyakan pelajar vernakular tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu, apatah lagi bahasa Inggeris. Akhirnya, mereka tidak bergaul dengan pelajar-pelajar Melayu dan seterusnya ketinggalan dalam pelajaran apabila sampai ke peringkat menengah.

Saya cukup teruja apabila Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali begitu mempertahankan sekolah vernakular agar setanding dengan sekolah kebangsaan, dalam perbahasan Parlimen baru-baru ini.

Persoalannya, pernahkah Azmin membuat kajian kemampuan berbahasa Melayu dan tahap integrasi di kalangan pelajar di sekolah-sekolah vernakular? Sekadar mendengar aduan dan pergi membuat lawatan ke sekolah vernakular selaku Yang Berhormat adalah tidak mencukupi.

Cubalah menyelidiki dan berkomunikasi dengan pelajar-pelajarnya. Saya berani beri jaminan bahawa sebahagian besar pelajar SJKC/T tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Ramai yang langsung tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.

Inilah akibatnya apabila sistem pendidikan diasing-asingkan dan dipolitikkan. Matlamat perpaduan nasional masih terlalu jauh untuk dicapai, apatah lagi untuk menanamkan semangat patriotik yang tinggi.

Justeru, sudah sampai masanya kita jangan terlalu berpolitik sesama sendiri sehingga melupakan kepentingan masa depan negara yang lebih besar.

9 ulasan:

melayu.hak.aku berkata...

Tuan Hamba,
-UMNO sekarang, benarkah berjuang untuk orang Melayu?
-atau berjuang untuk kepentingan sendiri?
-Mengapa ingin direbut jawatan MT?
Ini hanyalah soalan yg bermain diminda hamba.
-mengapa orang dulu-dulu begitu berjaya di dalam usaha untuk menyatupadukan orang Melayu.
-Mati semut kerana gula. Mati Melayu kerana wang dan pangkat.
-Takkan melayu hilang di dunia. Tapi tuan hamba, "Dunia Melayu" akan hilang jika tidak diperjuangkan oleh Melayu.
-Hamba sokong blog tuan hamba.
-ANIC sudah berani mengatur langkah untuk memijak-mijak kepala Melayu.

Tanpa Nama berkata...

agenda Lee Kwan Yew, org2 singapore yg athiest..nak menawan Malaysia.

Diorang hidup sesak dan berhidung tinggi ketika dpt jd kontraktor US. Sekarang dah tak ada projek, kacau malaysia pula.


Cina asal confucian tak mcm ni.
diorang hormat tanah melayu. Dan beri peluang kerja kpd orang setempat.

Maslahnya, orang2 modern sekarang dah diracuni propaganda Singapork.

Ingatlah, korang bukan boleh hidup aman selagi mengacau Melayu. kacau keris, sultan- Jgn fikir ada "action without reaction" - universal truth

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih atas kesanggupan saudara memberi laluan tulisan saudara Tee.
arjuna waspada

Tanpa Nama berkata...

hidup melayu! hidup malaysia juga!

http://writtenbyhim.wordpress.com/

d'Frog Prince berkata...

di amerika, system pelajaran adalah satu. tetapi orang hitam dan orang putih tetap tidak bergaul di sekolah. malahan, orang hitam juga mempunyai cara percakapannya yang tersendiri.

malahan, setiap negeri mempunyai pelatnya sendiri (southern drawl, yankee slang, etc etc). begitu juga di malaysia. ambil saja orang melayu, pulau pinang, kelantan, terengganu, perak, selangor, negeri sembilan, semuanya mempunyai loghat yang berbeza. bila berkumpul di kuala lumpur, masing-masing akan berkumpul sesama negeri secara tersendiri. jadi, mengapa bila orang cina dan india berkumpul ianya menjadi issue? bahasa melayu kelantan sama asing seperti bahasa cina kepada telinga orang melayu selangor, mengapa tak menjadi isu?

sekolah vernacular bukan masalah perpaduan tetapi ahli politik dan juga orang berfikiran sempit yang selalu melaungkan perpecahan sehingga orang kebanyakkan percaya kepada laungan itu. ini namanya propaganda. pandai bertutur bahasa melayu tidak menjamin perpaduan jika polisi prejudis masih berterusan.

secara peribadi, saya rasa saudara akan lebih melayu dari orang melayu dan tidak patut mengelar diri sebagai seorang berbangsa Cina hanya kerana saudara mempunyai warna kulit yang sama dengan kebanyakkan orang Cina. Bangsa adalah lebih dari warna kulit, ia adalah satu perwatakan, cara pemikiran dan gaya hidup. Berdasarkan kepada garis panduan ini, rakyat Malaysia sudah lama menjadi Bangsa Malaysia walaupun tidak fasih berbahasa Melayu, yang orang Melayu sendiri, bergantung kepada negeri, tidak fasih berbahasa Melayu standard.

d'frog prince

Pesanan Keramat berkata...

d'Frog Prince

Anda hanya berhelah saja. Betul tiga tulisan Ridhuan Tee.

Hujah anda hanya berasaskan penafian. Ia berbunyi "tidak semestinya fenomena sekian dan sekian akan jadi sekian". Hanya mencari alasan dari hujah yang lemah dan boleh mudah dipertikaikan.

Perkara sudah jelas kerana kedegilan masyarakat Cina menyebabkan kita tidak bersepadu. Ibu bapa Cina tidak mahu anak CIna bercampur anak2 Melayu.

Itu pasal masyarakat Cina turut membesarkan kesalahan stereotaiping meida Melayu terhadap Mat Rempit. Media bukan Melayu menggunakan ini untuk memalukan Melayu. Padahal roadhog dikalangan pembawa kereta anak2 muda Cina juga berleluasa.

Setakat ini rakyat bukan Melayu dan Bumiputera, khusus orang Cina hanya pandai merungut, mengkritik hingga menghina dan mencarut, dan menolak.

Mereka tidak menunjukkan sikap mahu memikirkan masaalah negara dan kebangsaan. Hanya kiasu dgn kepentingan sendiri.

Apakah cadangan mereka untuk mempertingkatkan perpaduan kaum di sekolah sebagaimana dicadangkan oleh Barnes dan Razak lebih 50 tahun dahulu!

Tidak ada! Berhelah, berhelah berhelah. Cari alasan demi alasan demi alasan.

Helah Amerika

Saya harap anda tidak menggunakan budaya clique di sekolah di Amerika sebagai helah supaya kita tidak adakan sekolah satu aliran. Hujah baik DAP, Gerakan, MIC dan MCA hanya negatif dan berhelah.

Suasana yang anda katakan tidak benar sama sekali kerana ia hanya anggapan dari filem dan TV. Saya belajar di Amerika. Ia tidak berlaku sebagaimana yang dikatakan.

Sesuatu yang "exceptional" tidak boleh dianggap sebagai "rule" atau umum. Suatu yang jelas adalah dimana sekolah dan universiti mempunyai peratusan rakyat majoriti dan proportion rakyat kulit hitam yang sewajar, perpaduan kaum sangat baik.

Helah slang

Isu perbezaan slang dan apa-apa sekali pun tidak menjadi masaalah.

Di Cina mandarin adalah loghat utama dan itu bahasa diguna di sekolah2 dan rasmi. Secara peribadi dan sesama masyrakat, loghat masing2 masih kekal.

Hujah anda masih helah juga

Bahasa dan hak

Malah hak peribadi untuk "mengguna, belajar dan mengajar" tidak dinafikan. Kerajaan pun tidak salah untuk membiayai sebarang usaha untuk "mengetahui dan mengkaji" bahasa vernakular.

Buka artikel 12 dan 152

Helah tak mahu perpaduan?

Apa pula helah supaya ditolak sekolah wawasan? Semua kekal dan hanya untuk meningkatkan sosial.

Ahli politik boleh dipersalahkan tetapi ia tidak menafikan menjurangkan anak-anak dari kecil tidak memperbaiki hubungan antara kaum.

Yang sokong semua parti politik Cina. Bukankah itu satu pakatan politik masyrakat Cina?

Kenapa kamu dan orang Cina mesti ikut ahli politik kalau ahli politik dipersalahkan?

Keamanan dan Kedamaian yang Superficial

Satu perkara yang ketara dan masih gagal diselesaikan adalah negara kita adalah aman dan damai yang palsu.

Lain2 kaum buat hal masing2 dan di segrigasi oleh tempat tinggal, bahasa, agama, pekerjaan, urban-rural, pangkat, parti politik, dan lain2.

Pada jangka masa kita harus lebih bersosial dan bersahabat untuk menghilangkan prejudis dan meningkatkan appresiasi perbezaan kita.

Ia kena bermula dengan peringkat peribadi, melalui sekolah, tempat kerja, jiran tetangga, dan lain2. Baru ia meningkat kepada peringkat institusi seperti business, parti politik, NGO, dan lain2.

Baru ia boleh membina negara yang berintegrasi. Setakat unity yang cuma superficial di atas pun tidak cukup.

Pasti kita tak mahu assimilasi kerana budaya asal akan hilang. Kita tak mahu membina fusion kerana ia hanya mengelirukan.

Integrasi adalah yang baik untuk mencapai perpaduan kaum dan membina negarabangsa di mana di atas adalah bahasa dan budaya integral/teras adalah Melayu dan diperingkatkan peribadi kita mengekalkan bahasa, budaya, agama, dan lain2 adat pelbagai masyarakat kaum.

Apa hebat sangat dan sumbangan sekolah Cina kepada negara?

Apa yang baik sangat mengenai sekolah vernakular. Ia hanya mengeluarkan produk yang insular sampai ke akhri hayat.

Sepanjang kerjaya saya, hanya seorang yang saya ketemui rakan bukan Melayu dari aliran sekolah Cina. Masing2 terkongkol di kelompok, komuniti dan ghetto tertutup cina seperti Bukit Bintang.

Murid2 yang gagal persekolahan jadi apa? Sebenarnya sekolah vernakular gagal dari segi scolastic, pembinaan negara dan lain2. !!!

Maaf saya kata, anda pasti tak mahu bangsa Cina di stereotaip sebagai produk sekolah Cina ang mengeluarkan penjual VCD haram, tak boleh berbahasa Melayu dan berperangai tak sopan dan kasar.

Satu sekolah

Usahlah berhelah.

Cadangan Mukhlis itu lebih baik dari sekolah wawasan yang half measure. Saya mahu anak2 saya juga dapat berbahasa Mandarin/Cantonis atau Tamil.

Dari kita bertegang lidah, baik di halusi, perbaiki, dan operasikan cadangan Mukhriz itu. Kalau menyampah dengan ahli politik, masyarakat dan individu kena terlibat.

Tanpa Nama berkata...

Cakap pasal orang Cina dan Tamil Malaysia yang tidak tahu berbahasa Malaysia (Melayu), saya dah jumpa juga ....ingat mereka mereka ini datang dari negeri Cina dan Tamil Nadu, tapi dari Johor dan Perak ......alahai, 'Orang Malaysia bukan Malaysia' rupanya ......apa nak jadi ?? dan sampai bila ???

zazaland

Razif AR Al-Marbawi berkata...

salam empunya blog,

pendapat saya pula, sebelum dijadikan sekolah satu sistem ini, adalah lebih enak jika konsep Sekolah Wawasan itu diperjuangkan terlebih dahulu.

Ini kerana kita susah untuk menerima 'kejutan' jika secara tiba-tiba beralih daripada sekolah vernakular kpd sekolah satu sistem. Oleh itu adalah lebih baik konsep Sekolah Wawasan ini dimurnikan semula.

Kemudian apabila sudah berjaya, baharulah kita gabungkan elemen tersebut menjadi sekolah satu sistem.

Tetapi yang menjadi masalahnya adalah ahli-ahli politik Cina (kebanyakannya) melalui persatuan2 mereka yang menentang konsep ini. Jika selama ini memperjuangkan hak-hak yang sama rata dengan orang Melayu, mengapa konsep ini yang secara fizikalnya "kesamarataan" tidak mahu diperjuangkan?

Tanpa Nama berkata...

ini semua terletak pada diri kita..
selagi sikap prejudis dan perkauman masih menebal sampai bile xkan selesai..
mmg tidak dpt dinafikan ade sekelompok masyarakat cina yg lebih mementingkan survival hidup kaum mereka sahaja..
tentg sistem satu sekolah itu saya sgt menyetujui cadangan saudara mukhriz itu..perpaduan haruslah dipupuk sejak di bangku sekolah lg..anak2 kecil perlu diajar menghormati hak dan kepentingan org lain.dunia ini bukan milik kite..
ia milik ALLAH dan Die berhak untuk menariknye pada bile2 mase..