Jumaat, 5 September 2008

‘Mempertahankan Asas Dan Teras Kedaulatan Dan Ketahanan Rakyat Dan Negara Pelbagai Kaum”


Ucapan Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah, Penaung Majlis Tindakan Rakyat Kelantan, Semasa Merasmikan Forum Dan Mesyuarat Agung MTRK 2008 di Riverview Hotel, Kota Bharu, Pada Hari Sabtu, 30 Ogos, 2008, jam 9.00 Pagi


Pada 31 Ogos (iaitu esok) genaplah 51 tahun Malaysia mencapai kemerdekaannya daripada kerajaan British. Sementara kita bersyukur atas kejayaan kita membina dan memajukan negara ini sejak tarikh itu, berkat adanya permuafakatan dan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum, kita hendaklah juga sentiasa berwaspada terhadap ancaman dan masalah baru yang sejak mutakhir ini timbul apabila orang mempersoalkan atau mengungkitkan asas-asas yang selama ini menjadi teras kewujudan, identiti, kedaulatan dan kestabilan negara ini.


2. Sehubungan dengan hal ini, semasa menyambut hari kemerdekaan yang ke-51 ini, eloklah kita ingat apakah asas-asas yang telah menegakkan Malaysia sebagai negara yang merdeka dan berdaulat selepas tahun 1957. Malaysia lahir dari suatu sejarah yang panjang, sejarah yang telah menyediakan tapak yang kukuh untuk membolehkan ia menjadi sebuah negara ‘pelbagai kaum’ yang aman dan stabil selepas tahun 1957. Tapak yang di atasnya sudah terbina beberapa institusi penting kerajaan telah dipacak oleh kerajaan dan negeri Melayu sejak abad ke-13. Tapak asalnya dibina oleh kerajaan negeri Pasai atau Samudera-Pasai dengan Sultan Malikul Salleh sebagai Raja Melayu-Islamnya yang pertama. Kerajaan ini merebak ke seluruh kawasan Kepulauan Melayu, ke Tanah Melayu, sampai ke puncaknya yang gilang gemilang, iaitu kerajaan Melayu Melaka dalam abad ke-15 dan akhirnya meliputi kerajaan Johor-Riau yang menggantikan Melaka setelah negeri itu diserang oleh bangsa Portugis dalam tahun 1511. Ketahanan kerajaan negeri-negeri Melayu itu dapat kita lihat apabila tiga kuasa Barat, iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris, tidak berjaya memusnahkan negeri-negeri itu. Maka kekallah kerajaan dan negeri-negeri Melayu itu sampai pada tahun 1957.


3. Apabila British, yang pada mulanya datang ke Tanah Melayu (termasuk Singapura dan Pulau Pinang) sebagai pedagang yang diwakili oleh syarikat English East-India Company, mencampuri hal-ehwal kerajaan negeri-negeri Melayu melalui Perjanjian Pangkor (1874), institusi-institusi yang sudah lama menjadi teras pembinaan negeri di Tanah Melayu ini sejak lebih 700 tahun itu tidak ‘di-dismantle’ atau digantikan dengan institusi-institusi tradisional negara British tetapi terpaksa dikekalkan sebagai teras negeri dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan dalam tahun 1948. British sedar bahawa sebarang percubaan untuk memusnahkan kedaulatan Raja dan negeri Melayu, agama Islam sebagai agama negeri Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kerajaan negeri Melayu dan menjadikan rakyat Raja Melayu, iaitu orang Melayu, sebagai ‘rakyat British Malaya’ atau sebagai ‘rakyat Raja British’ sama tarafnya dengan penduduk pendatang yang pada masa itu bukan rakyat Raja atau negeri Melayu akan mengundang bantahan dan tentangan yang kuat dari seluruh rakyat Melayu. Inilah pelajaran yang diterima oleh pihak British apabila gagasan Malayan Union yang cuba memusnahkan kedaulatan Raja, negeri dan rakyat Melayu ditentang oleh seluruh bangsa Melayu.


4. Saya menyebut hal ini bukanlah dengan niat untuk bertempek mengatakan bahawa selepas Merdeka, Malaysia yang ada hari ini adalah negeri Melayu, bukan negeri untuk semua penduduk Malaysia yang sudah menjadi rakyat Malaysia yang sah dari segi undang-undang. Saya cuma mahu menceritakan kebenaran bahawa teras dan ciri-ciri kenegaraan yang membentuk dan memberi identiti kepada negara yang disebut Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1957 dan kemudiannya Malaysia (dalam tahun 1963) ialah teras dan ciri-ciri yang diwarisi dari negeri dan kerajaan Melayu sejak ratusan tahun dahulu, tidak diwarisi dari mana-mana bangsa dan negara lain di luar kawasan Kepulauan Melayu yang luas ini. Ini kebenaran sejarah dan tamadun yang saya harap jangan siapapun pada hari ini mengungkit-ungkitkannya kerana perbuatan itu pasti akan menimbulkan ketidakestabilan etnik, sosial, ekonomi, budaya, undang-undang dan politik yang serius padahal kita sudah aman selama 51 tahun.


5. Maka kita patut berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin Melayu dari UMNO dan pemimpin kaum Cina dan India dari MCA dan MIC yang bergabung dalam Parti Perikatan dalam tahun 1956-1957 kerana berjaya mencapai kesepakatan kebangsaan (yang mengatasi kepentingan kaum) untuk membentuk kedaulatan dan identiti politiko-legalistik negara Malaysia selepas tahun 1957 berdasarkan tradisi, teras dan warisan yang sudah ada itu sepanjang zaman. Walaupun Raja Melayu peribadinya ialah orang Melayu beragama Islam, tetapi selepas tahun 1957 yang dikekalkan ialah sistem beraja itu melalui institusi Duli Yang Dipertuan Agong sebagai tunggak dan lambang negara kebangsaan (‘national state’) Malaysia, tidak lagi sebagai lambang kedaulatan Melayu atau negeri Melayu sahaja, seperti dahulu, tetapi mempunyai fungsi baru selepas tahun 1957, iaitu sebagai Raja rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.


6. Di Britain, apabila Raja British meninggal mereka berkata ‘The King (atau Queen) is Dead, Long Live the King (atau Queen). Maksud kata-kata itu ialah, yang mati ialah orang (peribadi) yang menjadi Raja, tetapi yang tidak mati dan kekal ialah institusi Raja sebagai lambang kedaulatan dan perpaduan negara Britain. Itulah juga peranan institusi Raja di Malaysia. Harijadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah pada tiap-tiap Sabtu pertama bulan Jun, tidak kira bilakah Raja peribadi itu lahir sebenarnya. Inilah yang kita maksudkan dengan Raja sebagai institusi negara.


7. Begitu juga dengan bahasa Melayu: yang dikekalkan ialah tarafnya sebagai bahasa kebangsaan negara, bukan lagi sebagai bahasa untuk kepentingan Melayu sahaja. Elok saya sebutkan bahawa orang Melayu sebenanya mempunyai banyak dialek daerah dan dialek negerinya. Tetapi untuk maju dalam pendidikan dan untuk mentadbir negara mereka terpaksa menggunakan bahasa Melayu kebangsaan. Dalam hal ini mereka terpaksa bersaing dengan orang bukan Melayu yang menguasai bahasa kebangsaan dengan baik tanpa campur aduk dengan loghat-loghat daerah dan bahasa Melayu ‘rojak’. Inilah peranan bahasa kebangsaan di negara ini. Tiap-tiap negara di dunia ada bahasa kebangsaannya sendiri – bahasa yang digunakan dan diperkasakan sebagai bahasa kerajaan, bahasa perpaduan dan bahasa pembangunan negara.


8. Begitu juga dengan peranan agama Islam. Dengan menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana dimaktubkan dalam Perlembagaan, kita tidak melakukan apa-apa yang baharu tetapi hanya mengekalkan apa yang sudah wujud di negeri-negeri Melayu sebagai salah satu teras atau identiti kerajaan Melayu, dan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dalam tahun 1957 itu adalah warisan dari sejarah itu. Keputusan atau dasar itu tidak bertujuan untuk menjadikan negara ini selepas Merdeka sebagai ‘negara Islam’ atau ‘Islamic State’ atau untuk mengIslamkan penduduk bukan Islam. Sebelum merdekapun, tidak ada negeri Melayu yang cuba menjadi negeri teokrasi Islam (‘Islamic theocratic state’). Jadi, mengapa orang mesti mempersoalkan keputusan itu, keputusan yang tidak memudaratkan sesiapapun dan tidak akan menghancurkan negara ini? Forum tentang ‘Memeluk Islam’ yang dianjurkan oleh Majlis Peguam baru-baru ini seolah-olah memberi gambaran kepada dunia luar bahawa Malaysia mempunyai undang-undang untuk memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam, atau menghukum orang yang baru masuk Islam kalau mereka ke luar daripada agama ini!


9. Janganlah kita suka sangat membangkitkan soal-soal dan isu yang remeh-temeh, yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini. Kita mempunyai banyak masalah dan cabaran yang lebih besar daripada itu.


10. Orang Melayu sanggup bertolak ansur dengan orang bukan Melayu untuk mencapai kemerdekaan Tanah Air Melayu berdasarkan teras tersebut. Mereka sanggup memberikan kerakyatan kepada kaum Cina dan India, yang pada masa itu tidak menjadi rakyat negeri Melayu, melalui proses undang-undang (iaitu melalui proses jus soli ) sehinggakan pada tarikh Merdeka, lebih 800,000 kaum bukan Melayu itu secara automatik menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Selain ini, orang Melayu sanggup menerima orang bukan Melayu berkongsi dengan orang Melayu memerintah negeri ini, membenarkan bahasa, budaya dan agama mereka bebas diajarkan, dipelajari, dipelihara dan disebarkan – misalnya sekolah China dan sekolah Tamil tidak ditutup, tetapi sekolah Melayu dihapuskan, digantikan dengan ‘sekolah kebangsaan’ yang tidak dikhaskan untuk pelajar Melayu sahaja tetapi untuk semua kaum.


11. Hak dan warisan sejarah dan tamadun kerajaan Melayu yang dikekalkan dalam Perlembagaan tidak bertujuan untuk merampas hak sesiapapun. Apa yang dikatakan ‘hak istimewa Melayu’ atau kaum Bumiputera, seperti yang dimaktubkan dalam Perkara 153 Perlembagaan tidak bertujuan untuk menyekat kaum-kaum lain memajukan diri mereka dengan bebas dalam semua bidang, terutama dalam bidang ekonomi, perniagaan dan pendidikan, bahkan juga dalam bidang politik. Ini jaminan yang dinayatakan dengan jelas dalam Perlembagaan. Hari ini kita lihat apakah orang Melayu menjadi kaum kelas pertama dalam semua bidang dan kaum-kaum lain dipinggirkan menjadi kaum kelas tiga?


12. Malangnya, setelah 51 tahun kita merdeka kini kita mendengar ada pihak yang berkata bahawa Perlembagaan yang ada sekarang adalah berdasarkan tuntutan ‘communalistic’ orang Melayu dan bercorak anti-kaum bukan Melayu. Kita juga mendengar adanya orang yang menuduh Perlembagaan dan dasar-dasar kebangsaan negara yang digubal selepas Merdeka sebagai dasar rasis atau perkauman. Mereka sudah mula terang-terang menuduh orang Melayu atau UMNO khususnya sebagai parti rasis sehingga menyebabkan ada orang UMNO yang marah membalas tuduhan itu dengan menuduh si penuduh sebagai rasis. Kesan debat yang melulu dan emosional ini boleh meruntuhkan asas-asas muafakat kaum yang telah dibina sekian lama.


13. Memang UMNO ialah parti kebangsaan Melayu. Tetapi ini tidak bererti bahawa UMNO ialah parti rasis. Perkataan rasis atau ‘racism’ tidak sama dengan perkauman. Semua bangsa ada perasaan bangga bangsa, perasaan cintakan kaum masing-masing, tetapi apabila perasaan atau kesedaran bangsa ini melampau sehingga sampai ke tahap membenci bangsa atau kaum lain dan menganggap bangsanya sebagai bangsa eksklusif, bahasa istimewa atau terpilih, yakni dipilih oleh Tuhan sebagai ‘the chosen race’, seperti yang didakwa oleh kaum Yahudi, maka inilah yang dinamakan rasisme.


14. Orang Melayu terkenal sebagai bangsa yang sangat terbuka dan toleran terhadap ‘orang asing’. Sepanjang sejarah bangsa Melayu bertembung dengan pelbagai bangsa dan kaum dari dunia lain, terutama sejak labih 500 tahun dahulu, tidak pernah wujud kumpulan rasis Melayu, tidak pernah wujud gerakan pogrom seperti yang berlaku di Eropah atau di Rusia, iaitu gerakan memusnahkan kaum Yahudi dan kaum Gypsy, tidak pernah wujud kumpulan rasis seperti kumpulan Swastika di Jerman yang membenci kaum asing, terutama kaum Yahudi, tidak pernah wujud kumpulan seperti ‘Skinheads’ seperti yang terdapat di Britain, kumpulan yang membenci kaum pendatang, atau kumpulan seperti Klu Klux Klan di Amerika yang membenci kaum kulit hitam. Juga tidak pernah berlaku ‘ethnic cleansing’ atau gerakan ‘pemusnahan etnik’ seperti yang berlaku di Bosnia, apabila bangsa Serbia melakukan pembunuhun yang dahsyat terhadap orang Islam, tetapi ketua gerakan pengganas yang buas itu masih hidup – walaupun sedang dihadapkan di mahkamah antarabangsa, setelah sekian lama dia dibiarkan, entah-entah dengan sengaja.


15. Dari segi Islam pula, orang Melayu yang menganut agama Islam tidak boleh melanggar Kehendak Allah yang Berfirman dalam Quran, Surah Hujurat, Ayat 13 yang bermaksud ‘Hai manusia... [Kami] menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal’. Inilah pedoman Melayu. Tuhan tidak menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan berkaum-kaum supaya mereka benci membenci antara satu sama lain, bermusuhan, berperang dan bunuh membunuh satu sama lain.


16. Apa yang saya sebutkan ini adalah kebenaran, bukan mitos, bukan rekaan saya. Maka dengan tegas saya katakan bahawa salah satu faktor yang menyebabkan wujudnya kestabilan etnik atau kestabilan nasional di Malaysia selama ini ialah adanya persefahaman yang tulin antara majoriti orang Melayu dengan majoriti orang bukan Melayu terhadap kedudukan, keperluan dan masalah masing-masing. Masalah timbul apabila ada pihak yang membangkitkan isu-isu yang boleh menyentuh perasaan kaum dengan mempersoalkan asas-asas dan institusi-institusi kebangsaan yang telah dipersetujui melalui muafakat kaum itu untuk dijadikan teras dalam pembinaan negara-bangsa Malaysia selepas tahun 1957.


17. Kalau ‘Kontrak Perlembagaan’ dan dasar-dasar kebangsaan itu dianggap bersifat perkauman dan salah dan patut digantikan, kita mahu tahu apakah alternatifnya yang lebih baik, lebih ‘bebas kaum’? Apakah kita mahu menggantikannya dengan dasar ‘free-for-all’, dasar bebas, dasar laisser-faire? Tidak ada negara di dunia yang mengamalkan dasar ‘free-for-all’ dalam apa jua bidang pembangunan negara. Setiap negara ada rukun negaranya, dan salah satu rukun negara Malaysia yang penting, yang asas, yang fundamental, ialah Perlembagaanya. Tanpa ini, negara Malaysia tidak boleh wujud.


18. Kebetulan, akibat sejarah dasar pecah belah British, sebahagian besar penduduk yang miskin – miskin ekonomi, miskin pendidikan dan miskin harta – adalah orang Melayu yang merupakan penduduk peribumi yang terbesar di Tanah Melayu. Jika keadaan ini dibiarkan ia boleh menjadi punca berlakunya ketidakstabilan politik, sosial dan ekonomi di negara ini. Maka adillah jika kerajaan berusaha memperbaiki keadaan ini, di samping tidak mengabadikan keadaan kemiskinan dan keperluan kaum-kaum lain dalam bidang yang sama. Itulah matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan itulah juga matlamat dasar pelajaran kebangsaan, dan itulah kehendak Perlembagaan.


19. Malangnya, matlamat itu tidak tercapai sepenuhnya setelah 51 tahun kita merdeka. Jumlah rakyat yang miskin – termasuk miskin tegal (‘hard core poor’) – paling tinggi adalah di kalangan orang Melayu sebab kebetulan mereka adalah penduduk yang terbesar di negara ini. Dasar Ekonomi Baru tidak berjaya menyelesaikan masalah ini, bukan kerana Dasar Ekonomi Baru itu tidak baik dan salah tetapi kerana pelaksanaannya tidak tegas, dan tidak konsisten, sering dasar dan matlamat asalnya diubah-ubah menurut kehendak dan tekanan pihak-pihak yang berkepentingan atau kononnya menurut kehendak ekonomi pasaran atau ekonomi swasta.


20. Begitu juga dalam bidang pendidikan, walaupun orang Melayu telah mencapai kemajuan yang cukup baik berbanding dengan keadaan mereka sebelum Merdeka, kemajuan mereka selepas 51 tahun merdeka masih belum seimbang secara setara atau ‘proportionately’ dengan kemajuan yang dicapai oleh kaum-kaum lain yang minoriti. Sebagai contoh, kalau kita campurkan jumlah pelajar yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini sekarang, jumlah pelajar Melayu tidak lebih 30% sahaja daripada jumlah seluruhnya. DI IPTA nisbah antara pelajar bumiputera dan bukan bumiputera ialah 55%-45%, padahal orang Melayu adalah penduduk majoriti di Malaysia, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu. Jadi, kalau orang bukan Melayu memahami keadaan ini, dan bersikap ‘bertolak ansur’ sedikit, mereka tidak patut menuduh dasar pelajaran kebangsaan itu sebagai dasar ‘rasis’, dasar pro-bumiputera dan dasar anti-orang bukan Melayu. Mereka juga tidak patut menganggap institusi seperti Universiti Teknologi Mara sebagai institusi yang lahir dari dasar rasis Melayu atau UMNO. Kalau Melayu rasis mereka mungkin menentang penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman, yang boleh dianggap sebagai universiti Cina di Malaysia. Sekolah dan universiti rasmi Cina tidak ada di negara seperti Singapura yang penduduknya lebih 80% terdiri daripada orang Cina, dan di sana tidak ada universiti Melayu. Atau boleh jadi, orang Melayu akan mendesak supaya sekolah jenis-kebangsaan Cina ditutup. Tetapi orang Melayu tidak pernah membuat desakan ini. Mengapa? Sebabnya ialah mereka tidak rasis; mereka cintakan keamanan dan perdamaian, suka bertolak-ansur sehingga kadang-kadang terlalu beralah, mengalah dan akhirnya menyerah. Hanya apabila orang lain mengungkit-ungkitkan hak mereka barulah mereka akan melenting dan marah.


21. Saya nampak bahawa segala masalah ini timbul bukan kerana salah ‘kontrak Perlembagaan’ dan dasar-dasar kebangsaan yang tersebut itu, tetapi kerana tiga sebab: Pertama, pihak yang membangkitkan isu itu boleh jadi lebih memikirkan tentang kepentingan kaum masing-masing sahaja, atau cuba menggunakan ‘model’ orang lain atau model Barat untuk bercakap tentang hak dan kebebasan manusia, atau mungkin mereka tidak cukup memahami sejarah dan tujuan asal ‘kontrak’ itu yang sebenarnya, atau mereka cuba membuat ‘mischief interpretation’ atau tafsiran yang tidak realistik dan bersifat perseptual sahaja terhadap kontrak dan dasar-dasar itu; Kedua, sejak mutakhir ini wujud keadaan yang menyebabkan pihak-pihak berkenaan terdorong dan berasa bebas untuk mempersoalkan kontrak itu, atau mengesyaki kebaikannya untuk semua kaum atau untuk kepentingan perpaduan negara. Mereka melihat seolah-olah UMNO atau kerajaan yang diteraju oleh UMNO mengamalkan dasar perkauman padahal dasar perkauman itu, setahu saya, tidak ada dalam perlembagaan atau agenda rasmi UMNO; ketiga, kerana tidak adanya ketegasan dan pendirian yang jelas daripada kerajaan sendiri untuk menolak debat yang bersifat perkauman itu dan terus mempertahankan Perlembagaan dan dasar-dasar kebangsaan yang baik, adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia tidak kira kaum.


22. Selain ini, orang Melayu sendiri, terutama dari UMNO atau orang cerdik pandai UMNO, nampaknya semacam tidak mampu bersuara secara cerdik, intelektual, bijak dan artikulatif untuk menyanggah segala tuduhan itu berdasarkan kebenaran, kebenaran dan realiti yang dapat dilihat dan difahami secara rasional oleh semua orang, tidak berdasarkan emosi, tidak berdasarkan putar belit fakta yang tidak benar, dan tidak apologetik. Kerajaan harus pandai dan cekap mempertahankan Perlembagaan dan dasar-dasarnya kalau memang tujuan ‘kontrak Perlembagaan’ dan dasar-dasar kebangsaan itu adalah untuk kepentingan negara dan untuk kebaikan semua rakyat tidak kira bangsa. Tetapi kalau kerajaan sendiri kelihatannya tidak melaksanakan ‘kontrak Perlembagaan’ dan dasar-dasar kebangsaan kerajaan itu dengan tegas, adil, cekap dan beramanah, bukan sahaja orang bukan Melayu akan marah tetapi juga orang Melayu juga mulai gelisah dan marah apabila mereka melihat kerajaan BN/UMNO tidak tegas dan komited lagi untuk mempertahankan hak-hak Melayu dalam Perlembagaan dan melalui dasar-dasar kebangsaan yang ada sekarang.


23. Saya rasa apa-apa jua masalah dan cabaran – baik masalah ekonomi dan pengagihan ekonomi secara merata, secara horizontal, dan secara adil dan saksama antara kaum, masalah sosial, masalah kemiskinan, masalah pendidikan orang Melayu dan antara kaum, dan masalah politik – semuanya pasti dapat diatasi dengan baik sekiranya:

(a) Kita terus dengan tegas mempertahankan ‘Kontrak Perlembagaan’ dan dasar-dasar kebangsaan yang sudah digubal selama ini, dan melaksanakannya dengan cekap, bersih, amanah dan adil – adil kepada semua kaum. Kalau orang Melayu, orang Cina, orang India, kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak, mengalami kemiskinan ekonomi, kemiskinan pendidikan dan kemiskinan sosial, kerajaan hendaklah mempunyai dasar yang tegas untuk menangani masalah mereka tanpa mengira kaum. Inilah namanya keadilan. Kalau kaum bumiputera masih jauh ketinggalan dalam bidang pendidikan dan ekonomi berbanding dengan kaum-kaum lain, maka kerajaan wajib menyelesaikan masalah mereka secara khusus, dan jangan menggunakan kriteria seperti meritokrasi, persaingan, dan cabaran globalisasi dan entah apa lagi untuk tidak melakukan tindakan ‘affirmative’ itu, demi perpaduan dan kestabilan negara. Ini juga keadilan.

(b) UMNO hendaklah melakukan proses ‘reinvention’ untuk memprojekkan imejnya sebagai parti kebangsaan Malaysia, berjuang untuk rakyat merentas sempadan kaum, tanpa memusnahkan akar atau base Melayunya, di samping melakukan proses penyucian atau pembersihan diri supaya kredibiliti moralnya dapat dipulih dan dipercayai oleh semua rakyat. Sehubungan ini, orang bukan Melayu ada berkata bahawa mereka lebih suka orang Melayu terus menjadi ‘driver’ negara ini kerana mereka percaya orang Melayu mempunyai kebolehan dan sifat keterbukaan untuk memandu negara ke arah kemajuan dan kebaikan untuk semua kaum; cuma mereka berkata, sejak mutakhir ini ‘the Malays have become bad and reckless drivers’ dan ini merisaukan mereka. Saya bersetuju dengan pandangan orang bukan Melayu (Cina) ini. Orang Melayu makin lama makin kehilangan pedoman dan perspektif Melayu-Islamnya yang syumul sifatnya untuk memerintah dengan jujur, berani kerana benar, bersih, adil, dan amanah kerana takutkan Allah.


24. Salah satu masalah besar yang sedang dihadapi di negara ini ialah masalah rasuah yang nampaknya kian menjadi-jadi, baik rasuah yang berlaku dalam perkhidmatan awam mahupun rasuah dalam parti yang memerintah, iaitu UMNO. Masalah ini sudah menjadi ‘open secret’, yakni bukan rahsia lagi. Baru-baru ini Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendedahkan bahawa rasuah beli undi ini sudah menjalar ke seluruh akar umbi UMNO. Saya anggap ini sebagai krisis budaya dan moral yang sangat serius, dan boleh memusnahkan UMNO dan menjadikannya parti politik usang. Saya teringat apa kata Lee Kuan Yew baru-baru ini. Beliau berkata, di Singapura tidak berlaku rasuah politik dalam parti yang memerintah. Oleh sebab inilah hanya pemimpin parti yang cekap atau yang mempunyai ‘merit’ sahaja yang terpilih untuk memimpin parti dan menjadi menteri kerajaan Singapura. Dapatkah kita menjamin bahawa melalui rasuah politik dalam UMNO itu, hanya orang yang baik, cekap, bersih, jujur atau yang mempunyai kelayakan dan kemampuan yang kuat untuk memperjuangkan kepentingan parti dan anggota parti atau untuk menjadi pemimpin kerajaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang? Kalau seseorang calon itu memang diketahui baik dan cekap, perwakilan akan memilihnya tanpa perlu disogok dengan wang. Sebab inilah orang berkata, ‘dalam UMNO kalau anda tidak punya wang (tidak kira dari mana datangnya wang itu) jangan cubalah bertanding melawan calon yang kaya’.


25. Rasuah adalah seperti anai-anai yang boleh memakan asas atau tiang rumah kita, iaitu parti kita atau negara kita, sehingga jikalau anai-anai rasuah itu tidak dibunuh dengan segera parti atau negara boleh jadi roboh dan porak peranda. Masalah inilah yang mesti kita tangani secara serius kalau kerajaan atau parti yang memerintah sekarang tidak mahu kehilangan keyakinan rakyat yang lebih teruk lagi daripada yang dialaminya selepas PRU ke-12.

1 ulasan:

OTAI (Otak Tenang Akal Inovatif) berkata...

KU MLI LEBIH BAIK SEBAB PERTAHANKAN MELAYU DAN RAJA? ANUAR KATA SAMA RATA DAN SAMA HAK... RAKYAT AKAN JADI RAJA ATAU SULTAN KOT?