Selasa, 23 September 2008

Melayu adalah Masyarakat Induk Malaysia (Bhg 1)

oleh Professor Dato Malik Munip



A. MUKADIMAH

1. Falsafah perjuangan bangsa Melayu adalah bersendikan kepada keyakinan bahawa Melayu/Bumiputera adalah masyarakat induk/teras/ibu di Malaysia. Oleh kerana itu hak dan matlamat perjuangan adalah berbeza daripada kaum-kaum lain.

2. Sebagai sebuah masyarakat Islam yang terbuka dan mewarisi tradisi menghargai nilai-nilai Islam yang keyakinan hanya dapat dibina di atas landasan yang kukuh yang dapat menatijahkan bahawa bahawa apa yang diperjuangkan adalah sohih dan halal. Maka adaah pri penting setiap generasi Melayu menghayati prinsip-prinsip asas yang membezakan kedudukan bangsa Melayu berbanding dengan kaum-kaum lain yang lazimnya ditakrifkan sebagai masyarakat serpihan) yang terpelanting daripada masyarakat induknya di negara-negara asal mereka.

3. Namun kerana keperluan teknikal perbezaan itu menjadi kabur apabila masyarakat bukan Melayu yang jumlahnya hampir separuh jumlah penduduk Malaysia diiktirafkan sebagai warga negara istilah seperti masyarakat pendatang atau imigren sebagai rujukan kepada rakyat bukn Bumiputera menjadi tidak sesuai.

B. KONSEP MASYARAKAT INDUK/IBU/TERAS ATAU "TOTAL SOCIETY"

1. Kita semua adalah “product of history” atau anak penghasilan sejarah maka suka atau tidak, sedar atau alpa, jahil atau mengetahui, tanggapan kita mengenai sejarah keluarga kita, masyarakat kita dan apatah lagi sejarah bangsa kita menjadi faktor penentu tentang apa yang dianggap hak kita atau hak orang lain. Di sinilah letaknya kepentingan mengetahui sejarah yang dapat mengelak daripada pemahaman yang dimanipulasi yang aka mengizinkan hak-hak kitatergadai.

2. Para ilmuan rata-rata menerima hakikat bahawa dari segi sejarah, Malaysia adalah sebahagian daripada alam budaya Melayu yang luas. Konsep alam budaya Melayu (geo-cultural/region) berkaitan terus kepada konsep tamaddun atau pradaban ia itu sepertilah juga tamaddun Cina atau tamaddun India yang menjadi asas kepada kelahiran alam budaya Cina atau alam budaya India yang sangat luas itu. (Datok, nenek kita peka dengan hakikat itu kerana itu mereka merujuk negeri China sebagai benua China). Satu sifat umum tamaddun agung dan besar seperti ini ialah hakikatwujudnya kepelbagaian sukuan dan puak yang berbeza-beza dalam kesatuan alam budaya yang satu seperti puak Hailam atau Teochew atau Kek dalam alam budaya Cina. Namun perbezaan-perbezaan budaya, loghat atau bahaasa bahkan kepercayaan sekalipun semuanya terangkum dan memperkaya kedinamikan khaznah tamaddun atau pradaban yang besar itu.

3. Maka seperti tamaddun-tamaddun yang besar tadi, pradaban Melayu merangkumi satu kawasan yang luas, satu gugusan pulau-pulau yang terbesar di dunia, berlumlah lebih daripada 21 ribu pulau dan mengandungi di dalamnya berpuloh-puloh sukuan dan puak dengan segala ragam loghat bahasa dan adat budaya yang berbeza-beza namun semuanya itu terangkum dalam satu kesatuan alam budaya atau satu ‘geo-cultural region’ yang dinamakan gugusan pulau-pulau Melayu, Alam Melayu, Dunia Melayu, Nusantara hatta pernah jua dirujuk sebagai ‘Malaysia Raya’. Harus diingat bahawa nama atau istilah ‘Malaysia’ sebagai rujukan para sarjana kepada kawasan gugusan pulau-pulau Melayu telah digunakan berpuloh-puloh tahun sebelum negara Malaysia merdeka dan menjadi satu entiti politik yang tersendiri.


4. Pengakuan sebagai anak Melayu pernah dilafazkan oleh ramai pemimpin negara-negara di gugusan pulau-pulau Melayu sekalipun mereka daripada puak atau suku yang berbeza-beza iaitu seperti Jose Rizal di Filipina atau Sukarno di Indonesia.

5. Istilah bumiputera juga mengandugi erti yang lebih luas daripada erti ‘native’ atau ‘indigenuous’ yang sempit. Ianya juga berkait rapat dengan konsep alam budaya atau tamadun yang wujud di satu-satu tempat.

6. Perlu diingat bahawa konsep tamadun atau pradaban sesuatu bangsa itu mencakupi erti perkembangan yang tinggi dan luas yang melibatkan bidang-bidang bahasa dan sesusasteraan, falsafah, politik, kenegaraan dan empayer. Tradisi Melayu yang kita warisi di alam Melayu mempunyai semua sifat-sifat ini, mempunyai struktur sosial yang lengkap atau ‘total society’ daripada raja-rajanya membawa kepada rakyat jelata, asas kepada kedaulatan atau ‘sovereignty’ yang diiktiraf sebagai satu bangsa yang beradab. Melayu bukan sekadar satu puak atau satu kaum di bumi sendiri tetapi diiktiraf sebagai satu bangsa yang menjadi masyarakat penentu yang mencorak warnakan perkembangan sejarahnya menjadi masyarakat ‘definitive’ yang menjadi rujukan kepada masyarakat-masyarakat asing lain yang hadir di bumi Melayu.

Dalam kontek ilmu sejarah, bangsa Melayu dirujuk sebagai faktor kesenambungan yang definitif dan masyarakat pendatang mesti membuat ubahsuai atau adaptasi dengan merujuk kepada masyarakat penentu/atau masyarakat teras dan bukan wujud dalam bentuk asingnya yang mutlak. Sesungguhnya ini adalah selaras dengan tradisi tamadun manusia yang mempunyai nilai murni dimana “bumi dipijak di situ langit dijunjung” seperti di barat dikatakan “When you are in Rome, behave like the Romans do”.

Sesungguhnya ini adalah prinsip pri penting yang wajib diambil iktibar (terutama dalam bidang membina budaya kebangsaan) supaya proses tolak ansur tidak terjebak menjadi proses penggadaian budaya.

Bersambung ...

Prof Dato Malik Munip adalah bekas Pensyarah di Fakulti Sejarah, Universiti Malaya dan penulis buku, Tuntutan Melayu (1981). Beliau pernah menjadi ahli Parlimen Muar. Kertaskerja ini dibentangkan di Seminar Agenda Melayu ke III anjuran Pertubuhan ALumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara pada bulan November 4hb, 2007.

* Sebahagian artikel ini pernah disiarkan di blog ini pada 26hb November 2007 dan kini diatur dan disiarkan kembali.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

"4. Pengakuan sebagai anak Melayu pernah dilafazkan oleh ramai pemimpin negara-negara di gugusan pulau-pulau Melayu sekalipun mereka daripada puak atau suku yang berbeza-beza iaitu seperti Jose Rizal di Filipina atau Sukarno di Indonesia."

Sorry ya. Soekarno sama sekali tidak pernah mengiktirafkan Indonesia sebagai negeri Melayu. Kami adalah bangsa Indonesia, tidak sekedar suku Melayu yang berwilayah hanya seper seribu dari wilayah daulat negara Indonesia... Kami bangsa yang lebih besar, dengan berbagai suku bangsa mulai yang berkulit kuning hingga yang berkulit hitam...
Dan mohon diperhatikan bagi seluruh rakyat Malaysia, jangan kalian mengkhianati sejarah dengan mengatakan bangsa Melayu yang kalian maksud adalah penduduk setempat Malaysia. Mereka adalah imigran dari kepulauan Indonesia. Penduduk asli kalian adalah yang kalian sebut "suku kaum asli"...