oleh Professor Dato Malik Munip
Sambung dari Bhg 3
D. MENGIMBAS KATA-KATA, UNGKAPAN KATA, SLOGAN-SLOGAN YANG MENGHINA BANGSA MELAYU DAN PERJUANGANNYA
1. Tolak Ansur
Kita lazimnya berasa bangga kerana selama setengah abad kita berupaya mengendalikan pemerintahan negara kita secara aman dan dapat pula menerokai pembangunan dalam berbagai bidang. Dalam konteks bahawa negara kita mewarisi sifat kemajmukan masyarakat yang tidak ada taranya di dunia, (satu warisan penjajahan) ini merupakan satu-satunya 'success story' yang membanggakan.
Kemampuan dan kejayaan kita ini lazimnya dikaitkan dengan tradisi 'bertolak ansur' khasnya antara masyarakat bumiputera bangsa melayu dengan bukan bumiputera. Sesungguhnya dari satu segi proses dan konsep, tolak ansur merupakan satu kebijaksanaan kepimpinan kita yang luar biasa, namun proses bertolak ansur itu sekali-sekali tidak boleh mengabaikan prinsip keadilan dan muafakatnya antara kedua belah pihak.
Jika ditilik daripada segi bangsa Melayu sebagai bangsa yang mempunyai kedaulatan yang diiktiraf dan berkesinambungan, maka prinsip pihak siapa yang mempunyai hak menjadi jelas. Dalam rangka seperti inilah kerapkali proses tolak ansur menjadi proses mneyerah yang mengaibkan dan bukan menuntut hak yang bermaruah. Kita tidak boleh semata-mata berselindung di sebalik prinsip yang dikatakan sebagai 'kebijaksanaan atau hikmah' dengan memberi alasan bahawa rialiti negara kita memaksa kita berbuat demikian dan jikalau kita tidak mengambil kira faktor rialiti kita mungkin akan menempuh mudarat dan porak peranda. Tetapi kita wajib sedar bahawa rialiti bukanlah satu yang beku atau 'static' tetapi rialiti tertaklok kepada hukum alam ___ fitrah; rialiti adalah suatu yang dinamik boleh diubah dan dibaharui. Inilah cabaran untuk terus berikhtiar, merancang supaya tolak ansur boleh mendekatkan kita kepada maklamat perjuangan dan bukan mengkaburkannya.
Proses 'tolak ansur' ini menjadi cabaran yang paling ketara dalam bidang penggunaan bahasa dan penonjolan atau penampilan kebudayaan iaitu dua unsur penting yang akan mencorak warnakan unsur penting yang akan menjadi asas dalam pembentukan keperibadian atau 'identiti' bangsa kita. Ini dapat kita saksikan dalam penggunaan tulisan bahasa asing (bukan bahasa Malaysia), lambang-lambang budaya luaran, sama ada pada papan-papan iklan, majalah-majalah yang diterterakan, muzik yang sentiasa berkemumandang, semuanya ini seolah-olah menjurus kpada imej keperibadian bangsa yang bersifat 'rojak' (Lihat sahaja pendedahan kepada rancangan hiburan di TV di mana penggunaan bahas Malaysia sentiasa diselang seli dengan kata-kata murahan dalam bahasa Inggeris, seolah-olah disengajakan untuk mencemuh tertib bahasa ibunda kita. Kita harus insaf bahawa budi bahasa tidak dapat dipisahkan dari budi pekerti sesuatu bangsa. Kita jua mesti ingat bahawa bangsa yang maju di dunia dapat bertahan kerana memelihara kekuatan budi dan sifat pekerti yang menjadi identiti bangsa itu).
Semua perkembangan di atas itu seolah-olah sengaja 'ditaja' supaya segala sesuatu yang melambangkan akar umbi Melayu tergambar sebagai sesuatu yang kolot, mundur dan lapuk. Tanpa sedar kita mengizinkan usaha 'menjana' perkembangan ke arah "Cultural Inferiority Complex" dikalangan generasi muda Melayu. Maka jika seandainya perkembangan seumpama ini dibiarkan berterusan, dia akan menjadi 'anai-anai' yng memupuskan dan menghancurkan kekuatan semangat suatu bangsa, 'destroying the spirit of nation'. Lebih dahsyat lagi, walau melangit sekalipun kejayaan teknoloji dan ekonomi bangsa yang dicapai, dia akan runtuh dan sendirinya 'The Whole Social Structure Will Collapse On Its Own Weights' kerana kekuatan struktur sosial dan budaya yang menjadi foundation masyarakat 'reput dimakan anai-anai'.
Dalam rangka seperti ini harus jua disebutkan implikasi iklan seperti 'Instant Asia' atau 'Truly Asia' sebagai tarikan pelancong luar begeri. Tanpa berhati-hati iklan-iklan seperti ini boleh mengalakkan kebangkita kesedaran budaya bukan Bumiputera yang berakar umbi di luar negara dan memunafaatkannya dalam bentuk asingnya yang mutlk. Ini boleh membunuh dasar mengalakkan proses "adaptasi atau mngubahsuaian unsur luar untuk memperkaya khazanah budaya nasional" seperti yang dicita-citakan oleh UMNO.
3. Berbilang Kaum, Berbilang Bangsa, Berbilang Keturunan
Semua kata-kata rujukan di atas mempunyai implikasi atau natijah yang sama iaitu menolak sama sekali prinsip Melayu sebagai masyarakat induk/teras. Sebaliknya semua masyarakat di Malaysia tak kira kaum atau bangsa mempunyai hak kedudukkan budaya, bahasa dan agama yang sama. Berbilang kaum umpamanya, merendahkan martabat bangsa Melayu ketahap sekadar satu kaum dari kepelbagaian kaum yang wujud di Malaysia. Sedangkan istilah berbilang kaum bangsa pula menaikkan martabat kaum-kaum pandatang/imigran/serpihan ketahap bangsa di bumi Melayu sama taraf seperti bangsa Melayu.
Namun rujukan paling menghina kepada bangsa Melayu ialah 'Berbilang Keturunan'. Istilah 'keturunan' pada lazimnya adalah rujukan kepada mana-mana penduduk yang berasal daripada negara asing. Misalnya kalaulah ada penduduk negeri Cina yang berasal dari India, maka wajarlah disebut "rakyat China keturunan India" sedangkan rakyat China keturunan Cina adalah satu perkara yang lazim yang natural dan tak perlu disebut keturunan. Keturunan adalah istilah yang lazimnya digunkan untuk membezakan antara masyarakat Bumiputera dengan bukan Bumiputera. Maka dalam rangka seperti inilah, rujukan "berbilang keturunan" sekaligus membawa natijah atau implikasi sebagai rujukan yang mengimigrankan masyarakat Melayu di buminya sendiri. Dalam kata-kata lain ialah menolak dan memutuskan hakikat sejarah bahawa Malaysia adalah sebahagain daripada alam Melayu/bumi Melayu.
3. Penggunaan Istilah 'Native' dan 'Indigeneous'
Harus ditekankan bahawa apabila bercakap dalam bahasa Inggeris, masyarakat Melayu dan suku-sukuan Bumiputera yang lain di Malaysia lazim dirujuk sebagai masyarakat 'native' dan 'indigeneous'. Pada umumnya rujukan seumpama ini membawa implikasi bahawa Melayu atau sukuan tadi adalah masyarakat 'asal' yang mendiami kawasan ini. Namun tersirat disebalik istilah-istilah tersebut ialah 'image' masyarakat yang simple, yang mempunyai budaya atau cara hidup yang belum boleh dianggap lengkap dan 'complex' yang boleh ditafsir sebagai tamaddun / pradaban yang canggih. Kerana itu perlu diingat pula bahawa penggunaan istilah 'Bumiputera' merangkumi erti yang jauh lebih luas dan mendalam daripada sekadar bersifat 'native' atau 'indigeneous'. Ayat merujuk kepada kehadhiran alam budaya yang luas dimana cara hidup telah berkembang ketahap perpindahan atau 'migration' dalam alam budaya yang sama tidaklah menjadikan seseorang native atau seseorang Bumiputera itu imigran iaitu sepertilah halnya seseorang Cina puak Hailam yang berpindah ke kawasan orang Cina puak Teochew. Dia tetap Bumiputera negeri China (sekalipun 1,000 batu!) tetapi sebaliknya andai kata seseorang Cina menyeberang sebuah anak sungai dan memasuki alam budaya Vietnam, dia telah menjadi seorang imigren di Vietnam dan perlu membuat adaptasi dengan tradisi dan budaya Vietnam. Dia tidak boleh menjunjung kedaulatan budaya Cina di Vietnam. Inilah erti nilai sebuah tamaddun atau pradaban yang diiktiraf.
Bersambung ke Bahagian 4
Prof Dato Malik Munip adalah bekas Pensyarah di Fakulti Sejarah, Universiti Malaya dan penulis buku, Tuntutan Melayu (1981). Beliau pernah menjadi ahli Parlimen Muar. Kertaskerja ini dibentangkan di Seminar Agenda Melayu ke III anjuran Pertubuhan ALumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara pada bulan November 4hb, 2007.
* Sebahagian artikel ini pernah disiarkan di blog ini pada 30hb November 2007 dan kini diatur dan disiarkan kembali.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan