Isnin, 21 Mei 2007

13 Mei 1969: Pengantar Perbincangan

I suppose it is now kosher for the Malays to dissect the 13 May Race Riot given that the Chinese has formally started it. Why should I, a Malay, allow the non-Malays a monopoly of its discussion? After all, doesn’t nature abhor a monopoly?


Dengan posting ini saya mulakan luahan tafsiran dan pengetahuan saya tentang peristiwa rusuhan kaum yang terjadi di Kuala Lumpur dalam tahun 1969, yang popularnya dikenali sebagai “Peristiwa 13 Mei” atau dengan kata singkatnya “13 Mei” [1], [2].

Berlainan dengan segala kenyataan rasmi, penulisan dengan analisis tentang 13 Mei yang tuan/puan pernah bertemu sebelum ini, saya mempunyai tesis – pegangan – tersendiri tentang insiden ini.

Tesis saya ialah kaum Cina yang dihasut Lee Kuan Yew dan suku sakatnya dari Singapura adalah punca rusuhan 13 Mei.

Sesungguhnya, dalam tempoh 30 tahun yang lepas, sejak saya tahu mengeja dan membaca pada kadar yang agak laju sedikit dari sebelum saya baligh, saya sudah pun tidak setuju dengan kebanyakan penjelasan yang dibuat tentang peristiwa ini.

Dan terkini saya rasa tertampar dengan putaran rumusan tentang insiden ini yang dibuat oleh Kua Kia Soong [3] penulis buku MAY 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 -- bahawa insiden itu adalah perbuatan rampasan kuasa oleh puak Almarhum Tun Razak dari puak Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama Malaysia.

Bagi saya rumusan ini adalah satu penghinaan terhadap segala memori dan legasi Almarhum Tun Razak.

Saya harap tuan/puan pun perasan bahawa semua “sastera” (literature), penulisan tentang 13 Mei, baik yang ditulis di Malaysia oleh warga negera, mahupun di luar Malaysia oleh warga Malaysia atau pemerhati asing hanya menghuraikan dan menjelaskan apa yang berlaku dalam tempoh tiga hari selepas 10 Mei, yakni hari membuang undi PRU 1969.

Bertolak dari peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam tempoh tiga hari ini, pelbagai dan ribuan analisis dan tafsiran telah dibuat, dan ramai yang telah dapat cari makan dengannya.

Bagi saya perbuatan memfokus insiden 13 Mei kepada tingkap masa tiga hari seputarnya adalah satu penipuan. Satu percubaan untuk menggelapkan dan menyempitkan fakta sejarah. Perbuatan cuba menutup bangkai gajah.

Bagi saya, analogi perbuatan ini ialah membincangkan hari atau saat seorang bayi dilahirkan, dan menjadikan peristiwa buruk baik yang berlaku pada titik itu sebagai pletfom segala analisis dan justifikasi sosial ke atas segala apa, adalah nyata satu jenayah intelektual. Begitu juga jika hanya menceritakan apa yang berlaku di hari satu persandingan dilangsungkan.

Dalam kedua-dua kes analogi, konteks cerita telah sengaja dihilangkan.

Cerita kelahiran seorang bayi mesti dirujuk kepada segala sejarah yang berkaitan dalam tempoh sembilan bulan sebelumnya. Termengandung si-ibu rentetan apa? Ekoran satu pernikahan atas dasar sama cinta? Dasar paksa? Diperkosa? Tidak ketahuan siapa bapa bayi sebenarnya? Dan begitulah sepatutnya diceritakan kelahiran itu.

Begitu juga dengan cerita meriah atau suram sesuatu majlis persandingan. Ceritalah mengapa jadi suram, atau mengapa jadi meriah. Ceritakanlah apa peristiwa yang terjadi dalam tempoh sebulan, malah setahun dua sebelum dari tarikh itu. Mulakanlah cerita dengan suasana hari bertunang, jika satu majlis pertunangan memang dibuat. Dan kalau tiada pun pertunangan, terangkanlah mengapa berlakunya persandingan. Mengapa tidak hanya akad nikah? Atau seumpamanya.

Janganlah buat macam cerita 13 Mei.

Cerita rasminya ialah orang Melayu Kampong Baru mengamuk. Mengapa mengamuk? Kerana Cina berarak masuk Kampong Baru setelah menang besar dalam PRU 1969. Setakat itu saja.

Dah tu terus lompat cerita pasal Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kemudian cerita tentang kaum lain rasa terdiskriminasi akibatnya. Puncak cerita, DEB mesti dihapuskan kerana Melayu kini sudah capai segala matlamat DEB

Dari jalan cerita di atas, nampak sangat bahawa bangsa Melayu itu cetek pemikiran lagi jahat, kan? Bertabiat memangsakan kaum lain.

Kerana saya seorang Melayu, maka itu saya bertanya: Mengapa tidak cerita apa yang membolehkan parti-parti politik Cina menang besar dalam PRU 1969? Mengapa tidak bercerita tentang mengapa mereka begitu gembira setelah menang, lalu terlintas untuk berpesta besar-besaran memaki hamun Melayu?

Ceritalah tentang itu semua.

Huraikan sebab-sebab kepada itu semua. Di atas nama kebebasan intelektual dan bersuara, apa yang nak dimalukan? Ada apa yang mahu disorok? Adakah tidak berani dibincang dengan jujur kerana ada niat ingin memutihkan satu sejarah hitam? Dan kalau begitu, sejarah apa dan siapa? Sejarah orang Melayu atau sejarah orang Cina?

Kerana saya tidak berjumpa dengan penjelasan kepada persoalan di atas, maka saya pun mencari jawapan. Dan posting saya pada hari-hari dan minggu-minggu berikut darihal tajuk ini adalah perkongsian saya dengan tuan/puan akan penemuan saya.

Oleh -- Rudin X a.k.a. ManJoki


Nota: Rudin X ialah seorang ahli PAS yang tidak memegang apa-apa jawatan di sebarang peringkat parti atau berkerja dalam apa-apa kapasiti dengan parti. Pandangan, tafsiran dan pendapat Rudin X tentang insiden 13 Mei adalah semata-mata peribadi dan tidak berkaitan dengan sesiapa atau mana-mana kumpulan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kenyataan Media Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT), 18 Mei 2007

Bantahan terhadap Rampasan Buku tentang 13 Mei

Rampasan buku ‘May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969’ karangan Dr Kua Kia Soong oleh pihak Kementerian Keselamatan
Dalam Negeri beberapa hari lalu sangat memprihatinkan kami.

Apatah lagi terdapat desakan daripada beberapa pihak di Dewan Negara
agar buku ini diharamkan.

Langkah-langkah seumpama ini bukan sahaja boleh dianggap tidak
demokratik, tetapi juga tidak mempunyai sikap yang beradab dalam kehidupan
masyarakat yang terbuka dan menghargai perbezaan pandangan.

Kami berasa sangat kesal terhadap tindakan seumpama ini yang kami
anggap sudah ketinggalan zaman.

Walaupun topik “rusuhan kaum 13 Mei” sering dikatakan isu sensitif
tetapi ia tidak wajar ditutup daripada dibincangkan secara terbuka. Usaha
menyemak semula fakta-fakta sejarah dan memberikan tafsiran-tafsiran
baru berdasarkan kajian terkini haruslah sentiasa digalakkan, bersesuaian
dengan perkembangan arus maklumat dunia dan ke arah mematangkan bangsa
Malaysia yang kini berusia 50 tahun sejak merdeka.

Kami berpendapat, masanya sudah tiba untuk masyarakat Malaysia
membahaskan isu-isu sejarah seumpama ini agar ia boleh dijadikan tauladan dan
sempadan kepada kita bagi mengorak langkah membina bangsa Malaysia yang
bersatu, progresif, berbudaya ilmu dan bertoleransi.

Kami juga bimbang, selagi isu “rusuhan 13 Mei” tidak dibuka untuk
dikaji dengan mendalam, dan selagi ia enggan dibincangkan secara ilmiah
seumpama buku ‘May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of
1969’, maka tragedi malang ini akan selama-lamanya boleh diperalatkan
untuk menimbulkan buruk sangka dan keresahan antara kaum di negara ini.

Selama ini, ingatan “13 Mei” sering diperalatkan oleh orang politik –
baik pemimpin parti kerajaan atau pemimpin parti pembangkang — dan
juga kumpulan-kumpulan Islam setiap kali apabila muncul perbahasan tentang
isu-isu yang melibatkan pergeseran kepentingan kaum dan agama.

Tanggal ’13 Mei” telah dijadikan momok, telah dijadikan lembaga jahat,
untuk menakut-nakutkan orang ramai daripada membahaskan isu-isu penting
tertentu. Tarikh “13 Mei” telah disebut-sebut sebagai amaran, khususnya
kepada kaum bukan Melayu dan penganut agama bukan Islam.

Sebab itu, kami yang bertandatangan di bawah, yang sebahagian besar
kumpulan aktivis, penulis, seniman, dan wartawan muda Melayu berasa terpanggil agar isu “13 Mei” dibenarkan dibincangkan secara terbuka, ilmiah
dan tenang.

Sekian, terima kasih.