Sabtu, 7 Mac 2009

Sultan Selangor seru, "Bersatulah orang Melayu, apabila ada isu-isu kepentingan orang Melayu dan agama Islam."


Sedutan ucapan DYMM Sultan Selangor semasa membuka perasmian pembinaan semula Masjid Jamek Sulan Abdul Aziz Shah, Jalan Templer, Petaling Jaya.

Hindarilah gejala-gejala pecah amanah, perebutan kuasa, dengki mendengki, fitnah memfitnah, menimbulkan unsur hasutan, unsur-unsur campur tangan politik dan perkauman, unsur-unsur ajaran sesat serta gejala-gejala buruk yang lain sehingga boleh memporakperandakan kesatuan umat Islam bahkan mencacatkan imej kemuliaan masjid ini.

Di kesempatan ini, beta ingin meluahkan rasa kesal dan dukacita serta kebimbangan beta terhadap orang-orang Melayu di negeri Selangor ini yang mana telah berpecah belah, disebabkan berlainan fahaman politik. Pepatah Melayu ada mengatakan "Takkan Melayu Hilang Di Dunia". Tetapi memandangkan keadaan kucar-kacir yang berlaku di kalangan orang-orang Melayu, adakah orang Melayu akan kekal di dunia ini? Jawapannya, tentulah kekal, tetapi apalah gunanya jika orang Melayu itu tidak bertamadun, tidak dihormati dan boleh dipermainkan serta diperalatkan.

Sudah lupakah orang Melayu akan sejarah negara kita? Di mana dengan kesepakatan, kesefahaman serta bersatunya orang-orang Melayu maka tercapailah kemerdekaan tanah air yang kita kasihi ini.

Beta merasa kesal, mengapa sejak kebelakangan ini tersebar di media elektronik dan media cetak suara-suara lantang yang mempersoalkan tentang kedudukan orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu di negara ini, pada hal seperti yang beta katakan, perkara ini telah dipersetujui sebelum negara ini mencapai kemerdekaan dan telah termaktub dalam Perlembagaan Negeri dan Persekutuan. Apa yang lebih menyedihkan beta, suara-suara lantang ini datangnya daripada orang Melayu sendiri yang biadap, tidak berbudi bahasa dan tidak merasa segan atau malu.

Orang Melayu telah diasuh dari zaman nenek moyang kita di atas landasan adat istiadat, budi pekerti, bersopan santun, hormat-menghormati dan sentiasa bermuafakat. Di atas landasan inilah maka orang Melayu disegani dan dihormati. Di manakah orang Melayu sekarang? Negara baru mencapai kemerdekaan setengah abad,
orang Melayu telah bercakaran, hilang maruah, hilang budi pekerti disebabkan terlalu ghairah untuk merebut kuasa hingga sanggup menggadaikan bangsa dan negeri.

Beta telah berkali-kali menyeru kepada rakyat Melayu di Selangor ini supaya menghormati antara satu sama lain, memahami akan kedudukan satu dengan yang lain dan yang paling penting, mempercayai antara satu dengan yang lain. Jika orang Melayu sentiasa menyimpan syak wasangka antara satu dengan yang lain maka inilah yang akan menimbulkan rasa curiga, rasa sangsi dan cemburu yang menyebabkan timbulnya fikiran dan tindakan yang negatif sesama rakyat jelata.

Negara Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama lebih 50 tahun dan telah maju serta boleh bersaing dalam dunia global ini. Adakah orang Melayu mahu melihat semua kemajuan yang dicapai ini hancur lebur dan kehidupan seharian menjadi porak-peranda hanya disebabkan oleh fahaman politik dan bergaduh sesama sendiri.

Sekali lagi beta menyeru kepada rakyat negeri Selangor yang beta kasihi ini supaya bertenang dan merenung sedalam-dalamnya apa yang telah berlaku, dan bertanya kepada diri sendiri, adakah kita mahukan keamanan dan kesejahteraan hidup dalam suasana harmoni seperti yang kita nikmati ini berterusan? Atau bertelagah sesama sendiri dan tidak menghiraukan lagi adat dan budi bahasa, hormat-menghormati dan membelakangkan undang-undang untuk kepentingan sendiri sehingga negeri yang kita kasihi ini akan menjadi musnah dan mundur seperti negara-negara Dunia Ketiga.

Bersatulah orang Melayu, apabila ada isu-isu kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

Beta sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT agar negeri Selangor yang kita kasihi ini sentiasa dilindungi dan dirahmati, tidak ditimpa malapetaka dan rakyatnya yang berbilang kaum hidup dengan aman sejahtera, harmoni dan terus maju.
Ucapan penuh di Utusan Malaysia sini.

Mungkinkah akan timbul suara memangggil DYMM Sultan sebagai rasis?

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam,

Melayu jadi begini akibat hasutan Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncunya. Sedarlah bangsa ku. Jauhi lah diri anda daripada makhluk bernama Anwar Ibrahim ini.

Tanpa Nama berkata...

hahahaha! lawak sultan ni...baru nak sedor yang melayu berpecah..sebelum ko jadi sultan lagi udah berpecah...tu la dulu asyik naik kapal jer...bukan nak tengok rakyat...bila jadi sultan baru nak mula belajar...hampeh! SAME LA DENGAN KO TUAN TANAH NI...

Tanpa Nama berkata...

Titah dan nasihat Tuanku perlu diberi perhatian. Kita Orang Islam dan kita Orang Melayu perlu bersatu. Kita boleh berbeza pandangan tetapi kita tetap bersama. Kalau sesuatu matlamat yang baik hendak dicapai, maka gunakanlah cara yang baik juga. Matlamat tidak menghalalkan cara.