Rabu, 11 Mac 2009

Renungi kisah kebodohan Pak Kadok...

Malaysiakini.com, Mar 10, 09 5:50pm

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan bangsa Melayu mengenai usaha radikal daripada kalangan yang mahu mengubah resipi kekuatan mereka.

"Betapa malangnya bangsa apabila berlakunya tindakan-tindakan yang mahu menghapuskan tradisi dan meruntuhkan institusi Melayu.

"Betapa terancamnya survival bangsa apabila tradisi dan institusi sudah tidak dihormati lagi dan betapa malangnya generasi yang cetek terhadap latar belakang sejarah mengaitkan tradisi 'sebagai amalan jahiliah, tahyul dan dogmatik'", titah baginda, lapor Bernama.


Raja Dr Nazrin bertitah demikian ketika melancarkan buku "The Malays" hasil kajian Prof. Anthony Milner, pensyarah sejarah Asia di Australian National University.

Yang turut hadir pada majlis di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini ialah Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sharifah Habsah Syed Hasan Shahabuddin dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Panglima Mohd Annuar Zaini.

Raja Nazrin Shah bertitah bahawa resipi kekuatan bangsa Melayu yang dimaktubkan dalam Perlembagaan negara ialah klausa-klausa menyentuh agama Islam, institusi Raja-raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Baginda memberi takrif bangsa Melayu sebagai "diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa serta disalut dengan agama."

Risipi kekuatan Melayu

"Itulah resipi kekuatan Melayu di bumi ini," titah baginda.

Raja Nazrin Shah bertitah bahawa survival orang Melayu sebagai satu bangsa bergantung kepada beberapa faktor yang telah selama ini memberikannya identiti dalam bentuk agama, bahasa dan budaya, termasuk budaya bernegara dan berkerajaan berpegang kepada prinsip rakyat beraja-negeri bersultan.

Menurut baginda dalam mengharungi gelombang globalisasi dan dalam menghadapi dinamik politik yang sedang berlaku di negara ini, bangsa Melayu berada di persimpangan jalan iaitu menghadapi dua kemungkinan.

Kemungkinan pertama ialah bangsa Melayu akan terus hidup berkembang dan kuat, serta dihormati dan diiktiraf sebagai rumpun bangsa yang agung di dunia global.

"Atau kemungkinan kedua, dijauhkan Illahi daripada berlaku, bahawa bangsa Melayu akan hanyut dalam glombang globalisasi, menjadi lemah kerana akar budaya dan tradisinya telah dicabut.

"Akhirnya Melayu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan cerita yang terkandung dalam hikayat-hikayat lama dan ketika itu tidak akan ada lagi minat untuk dilakukan kajian sosio-politik dan sosio-ekonomi bangsa Melayu secara dinamik," titah baginda.

Untuk itu, Raja Nazrin Shah berharap bangsa Melayu mengambil renungan akan kisah kebodohan Pak Kadok memiliki ayam sabung yang hebat lalu dipermainkan pihak lawan dan akhirnya Pak Kadok menyerahkan ayam sabungnya kepada lawan, Pak Kadok sekadar bersorak menang sabung sedangkan kampungnya telah tergadai.

Baginda juga menghargai usaha Prof Milner yang mengiktiraf bahawa raja Melayu adalah institusi penting warisan bangsa Melayu.

Menurut Raja Nazrin Shah, usaha Milner itu sewajarnya diberi penghargaan oleh bangsa Melayu, dengan paling minimum, menjadikan buku "The Malays" sebagai teks yang wajib dirujuk oleh pelajar sosio-politik Melayu.

Ulasan penulis

Sementara itu, Penulisnya Prof Anthony Milner berkata buku tersebut memaparkan satu kajian menyeluruh mengenai asal usul serta pembangunan identiti Melayu, dari sudut kumpulan etniknya, dan juga apa yang dimaksudkan orang ramai apabila merujuk kepada kaum Melayu.

Menurutnya, beliau memutuskan untuk menulis buku itu kerana ia merupakan satu sejarah mengenai cetusan idea di Malaysia, yang didapati beliau cukup menarik untuk didalami.

Profesor Sejarah Asia dari Australian National University itu berkata buku tersebut merungkai persoalanan mengenai apa yang dimaksudkan orang ramai dengan perkataan Melayu, bagaimana tercetusnya idea mengenai Melayu dan bagaimana ia berkembang.

"Ia juga merujuk kepada perbezaan menjadi seorang Melayu di Malaysia, di Indonesia, Sri Lanka serta Selatan Thailand, dan ia adalah soalan yang cukup menarik," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian buku itu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Bangi hari ini.

Milner berkata beliau mengambil masa satu setengah tahun untuk menghasilkan buku itu, yang menurutnya memaparkan perdebatan mengenai apa yang orang ramai rasakan mengenai perubahan dalam kaum Melayu dari semasa ke semasa di tempat yang berbeza.

"Bagi saya, saya amat berminat melihat bagaimana kaum Melayu berfikir mengenai komuniti, atau idea-idea mengenai komuniti mahupun hirarki, atau apa yang mendorong orang ramai, yang boleh mencetuskan motivasi mereka," katanya.

Buku berharga RM359 setebal 312 muka surat itu sudah berada di pasaran sejak Oktober lalu.

1 ulasan:

Faizal Zakaria's Blog berkata...

Jangan jadi seperti Pak Kadok..:-)















-------------------------------------------------------------
[b][color=blue]Klik Di Bawah
[url=http://simurl.com/chedet2]TeamPemudaUMNO[/url]
[url=http://pro-faizal.blogspot.com]pro-faizal[/url]
[url=http://Forum1Malaysia.blogspot.com]Forum1Malaysia[/url][/b][/color]