Ahad, 29 Mac 2009

Orang Melayu pecah enam


Petikan dari artikel, Melayu bukan UMNO lagi, Melayu sudah minoriti, di Utusan Malaysia bertarikh Mac 25hb, 2009:

Secara kasar, orang Melayu sekarang sudah terdiri daripada beberapa pecahan golongan. Mereka yang dulunya majoriti, sudah menjadi minoriti. Cuba lihat senario ini:

  • Golongan Melayu Liberal. Mereka ini sudah hilang ''semangat dan roh'' (the spirit and soul) orang Melayu. Orang Melayu aliran itu sudah pudar ciri-ciri kemelayuan yang ditanam oleh datuk nenek mereka. Mereka tidak peduli siapa yang menerajui pemerintahan, asalkan ia sama rata. Golongan terpelajar hasil kelahiran DEB ini makin bercambah. Mereka ini menganggap bukan DEB itu yang menjayakan diri mereka - menghantar mereka belajar ke luar negara, tapi sifat merit yang ada pada diri mereka sendiri. Mereka ini ada yang berada dalam kerajaan, golongan pelajar di universiti, tokoh-tokoh korporat, profesional dan berada di mana-mana sahaja.

  • Golongan Melayu Ulama (yang menolak semangat ke-Bangsa-an). Mereka menolak UMNO. Kata mereka UMNO itu tidak berlandaskan Islam, sebagaimana yang ditakrifkan oleh Pas aliran Nik Aziz. Aliran antiassabiyah Nik Aziz memang jelas dari dulu lagi, iaitu jika UMNO mahu bersatu dengan Pas, UMNO perlu ikut cara Pas. UMNO perlu nyahkan semangat kebangsaannya. Bagi Nik Aziz kebangsaan UMNO adalah mengenai Melayu dan ia bukan Islam. Aliran Nik Aziz hanya membenarkan Islam semata-mata, tidak termasuk Melayu. Bagaimanapun, mutakhir ini, aliran Nik Aziz nampaknya bertentangan pula dengan aliran Hadi. Hadi dikatakan mahu bekerjasama dengan UMNO demi Melayu. Nik Aziz memberi amaran dia ialah nakhoda dan Hadi perlu dengar cakapnya. Golongan aliran ini semakin banyak, dan ia terdiri daripada golongan muda.

  • Golongan Melayu PKR (yang menolak UMNO kerana ia menolak master mereka Anwar Ibrahim). Asalnya orang Melayu PKR adalah bekas orang UMNO. Kita tidak pasti sampai bila Melayu PKR ini akan terus wujud, tapi melalui perincian, golongan Melayu ini tidak akan kekal lama. Namun, lama tak lama, itu tidak penting - tapi yang penting ialah sejauh mana ia boleh memecahbelahkan lagi orang Melayu. Aliran mereka ialah kesamarataan - sama dengan golongan liberal. Sudah tentu konsep sama rata mereka berbeza dengan konsep perkongsian kuasa yang diamalkan BN sejak lebih 50 tahun lalu. PKR bukan parti asas Melayu seperti UMNO atau Pas, ia adalah parti pelbagai kaum. Namun ramai orang Melayu (terutamanya di kampung-kampung dan luar bandar) terkeliru menganggap PKR sebagai parti Melayu seperti UMNO dan Pas. Hakikatnya, di peringkat payung pakatan pembangkang, PKR dikuasai oleh bukan Melayu. Orang bukan Melayu melihat parti ini sebagai parti alternatif kepada mereka yang menolak MCA, MIC mahupun DAP.

  • Golongan Melayu DAP. Adalah segelintir. Tapi sejarah dan rekod menunjukkan mereka tidak boleh ke mana-mana.

  • Golongan Melayu Atas Pagar. Golongan ini cukup-cukup terkeliru. Kerana kekeliruan yang mereka hadapi - mereka tidak peduli. Mereka tidak peduli apa yang berlaku kepada bangsa mereka, asalnya mereka boleh hidup seperti biasa. Golongan yang bersifat individualistik ini bagaimanapun amat bijak memerhati, tanpa banyak bercakap. Perkataan yang sering penulis dengar daripada golongan jenis ini ialah: ''Aku Sudah Muak''. Golongan ini boleh mengambil langkah berkecuali, tidak peduli atau pun memihak kepada pembangkang secara protes. Perlu diingat, dalam sesuatu pilihan raya, golongan ini adalah penentu kepada kemenangan. Bagaimanapun golongan ini boleh memasuki ke mana-mana aliran di atas jika tidak dirawati penyakit keliru mereka.

  • Golongan Melayu UMNO. Golongan ini sekarang bukan seperti datuk nenek mereka yang berjuang pada awal, pertengahan sejak penubuhannya 63 tahun lalu. Golongan pejuang UMNO dulu adalah aktivis yang jati diri mereka cukup hebat. Mereka tidak mewah, mereka tidak gelojoh, mereka tidak tamak, tidak seperti generasi UMNO sekarang. Namun perkhidmatan mereka kepada UMNO, masyarakat, orang Melayu di kampung-kampung cukup berkesan. Orang Melayu, Cina dan India pada masa itu dapat disatukan - satu suara, satu hati. Semangat dan roh Melayu Islam terserlah di mana-mana. Hari ini (pada hari perhimpunan UMNO ke-59 ini) sikap negatif UMNO banyak diperkatakan. Kebanyakannya ialah berkisar kepada isu yang tidak mahu didengari oleh aktivis terdahulu.
Rumusannya, Melayu berpecah kepada enam kumpulan. Sama ada teori ini boleh diterima, terserahlah.

Jika itulah teorinya, UMNO bukan lagi sebuah pertubuhan yang boleh mendabik dada mengatakan ia adalah institusi siasah Melayu yang ulung. Jika dulu ya, sekarang masa dan keadaan telah mengubahnya.

Mengapa jadi begitu? Persoalan besar yang perlu dijawab UMNO sekarang ialah: Apakah UMNO masih lagi relevan? Apakah UMNO masih lagi menjadi tempat untuk bertaut? Apakah UMNO boleh diharapkan? Apakah UMNO adalah pejuang bangsa? Apakah UMNO untuk agama, bangsa dan negara?

Siapa pemimpin UMNO sekarang? Apakah mereka boleh membeli dan dibeli? Apakah kualiti mereka? Sukakah orang Melayu kepada mereka? Adakah golongan 'muak' tadi boleh menerima mereka semua? Akan berubahkah mereka? Jika ya, siapakah penyelamat UMNO?

11 ulasan:

Quantum Metal Consultant berkata...

Berapa pula pecahan Islam di Malaysia !

Tanpa Nama berkata...

Tahniah Perdana Menteri Malaysia ke-6;
Najib Razak

-azienmat-
(03 April '09)

Bourne berkata...

GOLONGAN MELYU BERJAYA BERJIWA KEBANGSAAN TAKDE? YANG TAK DAPAT APA APA DARI UMNO TAPI MASIH MENYOKONG ADA JUGAK WEH.....

ros berkata...

Bro kalau UMNO gubal undang2 hukum hudud dan nak melaksanakan Islam secara TOTAL kat Malaysia ni, Aku akan masuk UMNO dengan syarat setengah pemimpin yang terbukti korup atau yang dilihat ada skandal atau kedua-duanya sekali tu digugurkan

luah fikiran berkata...

Saya turut merasakan keresahan terhadap perpecahan orang Melayu dan orang Islam di negara ini. Kita semua kena teliti, APA YANG TERSURAT DAN APA YANG TERSIRAT BERHUBUNG DENGAN KEMENANGAN DI BUKIT GANTANG?? Apakah orang bukan Melayu menyokong parti yang menang kerana perjuangan dan falsafah parti tersebut atau sokong kerana kepentingan lain? Maaf, saya bukan racist. Kalau kita sendiri tak pelihara agama dan bangsa kita, siapa lagi kita nak harapkan?
Amat mendukacitakan, tak kiralah merujuk mana parti pun, apabila kita digunakan secara sedar oleh pihak lain, untuk kepentingan politik mereka! Akibatnya agama kita tercemar, bangsa kita runtuh, dan negara kita hancur!

yangmembaca berkata...

muslim umno
muslim pkr
muslim dap
muslim pas

kita melihat islam dan melayu sebagai suatu entiti yang berbeza. hakikatnya di malaysia, majority islam adalah orang melayu dan majority orang melayu adalah beragama islam. jika orang melayu berpecah, maka berpecah jugalah orang islam.

Tanpa Nama berkata...

Melayu hanya pecah dua sahaja. Yang ikhlas mahu ikut ajaran Al-Qur'an dan sunnah RasululLah s.a.w. dan yang hanya bercakap mereka mahu itu ajaran Al-Qur'an dan sunnah RasululLah s.a.w., itu sahaja...

Melayu Singapura
yang lama ditindas Cina dan India di Tanah Melayu Singapura

PARPUKARI berkata...

Please read here on what happened in Perak! Sila baca di sini mengenai situasi di Perak!

http://parpukari.blogspot.com/2009/04/perak-truth.html

Tanpa Nama berkata...

pas kat kelantan awat tak buat hukum hudud.... ada jugak yg cakap ISA tak ikut syariah, tp cam ne nk handle hindraf kalau tak de ISA..sila buat kertas cadangan kalau rasa power sangat nk cite pasal undang2... kalau tak mahir undang2, jgn cakap lebih2....

Tanpa Nama berkata...

pas kat kelantan awat tak buat hukum hudud.... ada jugak yg cakap ISA tak ikut syariah, tp cam ne nk handle hindraf kalau tak de ISA..sila buat kertas cadangan kalau rasa power sangat nk cite pasal undang2... kalau tak mahir undang2, jgn cakap lebih2....

Tanpa Nama berkata...

pas kat kelantan awat tak buat hukum hudud.... ada jugak yg cakap ISA tak ikut syariah, tp cam ne nk handle hindraf kalau tak de ISA..sila buat kertas cadangan kalau rasa power sangat nk cite pasal undang2... kalau tak mahir undang2, jgn cakap lebih2....