PKM diterajui Chin Peng jadi pasukan pembunuh bergerak secara gerila
DALAM menghitung detik menuju kemerdekaan, keamanan negara diuji buat kali terakhirnya dengan kehadiran komunis ‘Bintang Tiga’ yang mencetuskan keganasan dan pembunuhan, di sebalik berlindung dalam belukar dan hutan belantara.
Ketika itu, Jepun sudah meletakkan senjata mereka dan menyerah kalah. Penjajahan Jepun di Tanah Melayu sudah tamat.
Akan tetapi tatkala tentera Kamikaze itu meninggalkan Tanah Melayu untuk pulang ke negara mereka, peperangan masih belum tamat di negara kita. Tembak-menembak masih berterusan tetapi bukan lagi menentang penjajah berbangsa asing tetapi pengganas tempatan yang digelar komunis.
Komunis mungkin boleh dianggap penjajah terakhir di negara kita tetapi berbeza dengan Portugis, Belanda, British, Siam mahupun Jepun, penjajahan komunis bukanlah didalangi tentera asing yang menceroboh untuk menakluk negara kita.
Sebaliknya, komunis menjajah negara kita dengan menanamkan ideologi cetusan Karl Marx di kalangan masyarakat tempatan terutama orang Cina di Tanah Melayu. Ia adalah ‘penjajahan minda’ yang menyebabkan penduduk setempat bangkit menentang pemerintah bagi mewujudkan sebuah negara berasaskan sistem komunisme.
Sejak dicetuskan Mark di Eropah pada pertengahan abad ke-19, ideologi komunis merebak pesat ke negara lain termasuk Russia dan China sebelum tiba di negara kita awal 1920-an. Fahaman itu terus disebarkan ejen komunis terutama apabila Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada 1930.
Pelbagai propaganda dirancang bagi menarik minat masyarakat Cina kelas bawahan menyertai PKM. Usaha itu berkesan apabila kira-kira 10,000 ahli baru menyertai parti itu menjelang 1934.
Dengan keahlian yang ramai, mereka memulakan kempen penjajahan peringkat pertama dengan melakukan mogok, mensabotaj pangkalan tentera laut British, memulaukan pengangkutan, mengadakan rusuhan serta tunjuk perasaan.
Tercetusnya Perang Dunia Kedua dan penjajahan Jepun di Tanah Melayu bermula 8 Disember 1941 memberikan peluang kepada PKM untuk melebarkan pengaruh mereka di kalangan masyarakat Cina tempatan.
Mereka bekerjasama dengan British bagi menentang Jepun dan menubuhkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA). Menerusi MPAJA, bantuan senjata, latihan ketenteraan, kewangan, bekalan logistik dan perubatan dibekalkan British.
Taktik PKM berhasil apabila MPAJA dilihat sebagai antara wira yang membela Tanah Melayu ketika itu. Mereka berjaya meraih sokongan masyarakat Cina malah sepanjang tiga tahun, kekuatan tentera MPAJA dianggarkan seramai 7,000 anggota.
Bagaimanapun, niat sebenar PKM mula terbongkar apabila Jepun menyerah kalah dan meninggalkan Tanah Melayu. Tempoh tiga minggu sebelum ketibaan British untuk kembali memerintah Tanah Melayu digunakan PKM menerusi MPAJA untuk cuba mengambil alih pemerintahan kerajaan.
Mereka keluar daripada hutan dan dengan menggunakan nama ‘Bintang Tiga’, mereka bertindak kejam membunuh penduduk tempatan terutama orang Melayu yang sewenang-wenangnya dituduh bersubahat menolong Jepun.
Akibatnya, orang Melayu mula bertindak-balas dan tercetusnya pergaduhan antara kaum di Muar dan Batu Pahat (Johor), Sungai Manik (Perak), Alor Gajah (Melaka), Batu Kikir (Negeri Sembilan), Raub (Pahang) dan Kota Bahru (Kelantan).
Kembalinya British pada September 1945 menyebabkan pentadbiran Tanah Melayu diletakkan di bawah Pentadbiran Tentera British (BMA) dan MPAJA yang ditubuhkan pada zaman perang Jepun, dibubarkan.
Pada Disember 1945, BMA mengarahkan semua anggota MPAJA menyerahkan kembali senjata kepada kerajaan. Seramai 6,800 anggota MPAJA mematuhi arahan itu dan diberi sagu hati RM350 serta satu beg beras. Gerila MPAJA yang pernah dilatih British diberi tambahan sagu hati RM30 sebulan selama tempoh tiga tahun.
Menyedari wasilah peperangan tidak akan berjaya, PKM menukar strategi untuk terus menyebarkan fahaman komunis menerusi penubuhan parti politik.
Pakatan dengan pemimpin yang berjuang atas semangat kebangsaan menyebabkan tertubuhnya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 17 Oktober 1945. Parti itu diasaskan Ahmad Boestamam yang berfahaman kebangsaan dan Mokhtaruddin Lasso berfahaman komunis.
Bagaimanapun, PKM mahu memastikan fahaman komunis mereka berjaya diserapkan ke dalam parti itu. Penubuhan PKMM adalah sebahagian pelan jangka panjang PKM untuk membentuk sebuah republik komunis di Tanah Melayu.
Justeru, PKM berusaha meletakkan ahlinya sebagai penggerak utama PKMM dan mereka berjaya pada peringkat awal menerusi pelantikan Mokhtaruddin Lasso sebagai Presiden, Arshad Ashaari (bendahari) manakala Rashid Maidin, Abdullah CD dan beberapa lagi ahli PKM sebagai ahli jawatankuasa.
Agenda awal PKM menerusi PKMM ketika itu lebih cenderung supaya Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.
Bagaimanapun, usaha PKM untuk menubuhkan sebuah kerajaan komunis menerusi pendekatan politik gagal apabila mereka diketepikan British dalam pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.
PKM menukar strategi lagi kepada pendekatan keganasan. Insiden 16 Jun 1948 iaitu pembunuhan tiga pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak membawa kepada pengisytiharan darurat oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Edward Gent.
Apabila keadaan bertambah teruk, pada 12 Julai 1948, darurat diisytiharkan ke seluruh negara dan PKM serta sekutunya diharamkan pada 23 Julai 1948.
Pada peringkat awal darurat, kekuatan PKM yang diterajui Chin Peng dianggarkan berjumlah 12,500 orang. Kebanyakan komunis ini bergerak dalam hutan dan menjadi pasukan pembunuh bergerak secara gerila.
Pada peringkat awal, sasaran PKM tertumpu kepada peladang British dan orang Eropah lain tetapi mereka kemudian mensasarkan pula kepada pekerja ladang dan orang awam di pinggir hutan.
Pada 1950, seramai 1,005 orang menjadi mangsa keganasan mereka menyebabkan komunis semakin dibenci masyarakat. PKM kemudian mensasarkan serangan kepada pasukan keselamatan menyebabkan 4,425 anggota keselamatan dibunuh antara 1948 hingga 1960.
Kejayaan terbesar komunis apabila mereka berjaya membunuh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Gurney pada 6 Oktober 1951 yang ketika itu dalam perjalanan ke Bukit Fraser.
Bagaimanapun, kejayaan PKM untuk menguasai Tanah Melayu menerusi taktik gerila tidak berpanjangan apabila British menambah anggota keselamatan dan menggempur komunis habis-habisan.
Hasilnya, jumlah anggota PKM menurun daripada 12,500 anggota ketika permulaan darurat kepada hanya 5,000 anggota saja pada 1957 iaitu setahun menjelang kemerdekaan negara.
Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)
Berita Minggu 22 Julai 2007
Berita Minggu 22 Julai 2007
3 ulasan:
terlalu hebat ancaman komunis di malaysia. sehingga sesudah merdeka ancaman terhadap kestabilan masyarakat malaysia digugat..
terlalu hebat ancaman komunis di malaysia. sehingga sesudah merdeka ancaman terhadap kestabilan masyarakat malaysia digugat..
Ini yg dikatakan semangat pejuang
Catat Ulasan