Rabu, 24 Jun 2009

Orang Melayu kecewa kerajaan perpaduan ditolak

Datuk Ibrahim Ali berkata, perasaan orang Melayu seolah-olah dipermain-mainkan

Ahli Akademik dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu kecewa dan kesal apabila kerajaan perpaduan yang dicadangkan demi perpaduan orang Melayu akhirnya terkubur begitu sahaja.

Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perasaan orang Melayu seolah-olah dipermain-mainkan apabila pakatan pembangkang menolak cadangan itu.

“Kita teruja dan gembira sebelum ini kerana sudah nampak ada usaha perpaduan antara orang Melayu dan umat Islam apabila timbulnya cadangan ini terutama kerjasama antara UMNO dan Pas.

“Tetapi akhirnya ia jadi begini. Perasaan orang Melayu seolah-olah terus dipermainkan demi kepentingan politik pembangkang semata-mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Pas sebelum ini bagi mewujudkan kerajaan perpaduan bersama UMNO demi kesejahteraan orang Melayu dan umat Islam, tetapi ditolak pakatan pembangkang semalam.

“Mereka (Pas) tidak fikir tentang agenda orang Melayu atau Islam. Saya lihat Pas kini sudah hilang kredibiliti sebagai parti Islam yang dihormati, tetapi hanya mahu berpolitik lebih daripada perjuangan asalnya.

“Lebih aneh, mereka menyalahkan UMNO pula kerana cuba mengeksploitasi isu ini. Setahu saya, cadangan ini datang daripada mereka (Pas). Ini ibarat ‘hujan naik ke langit’ pula,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md. Harun yang turut kesal dengan kegagalan kerajaan perpaduan itu berkata, keadaan orang Melayu kini tidak boleh dibanggakan sangat.

Katanya, kaum itu perlu berbuat sesuatu untuk bersatu bagi mencapai kemajuan dalam segala aspek.

“Tetapi, apabila ada usaha seperti ini yang boleh memberi makna besar kepada perpaduan orang Melayu, ada pula yang seperti mahu ia tidak dilaksanakan,’’ katanya.

Katanya lagi, ini menunjukkan bahawa Pas terus tunduk dengan arahan dan kata-kata DAP yang sesekali tidak akan membenarkan orang Melayu bersatu-padu.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad pula berkata, sikap Pas yang berdolak-dalik dalam isu tersebut amat dikesali kerana ia merugikan orang Melayu sendiri.

“GPMS yakin rakyat telah jelas dan faham tentang permainan politik Pas sejak dulu lagi. Kita percaya rakyat akan menolak sebarang cadangan daripada Pas lagi selepas ini walaupun atas nama agama dan kaum Melayu,” jelasnya.

Ketua Umum, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula berkata, penolakan idea itu bertentangan dengan aspirasi rakyat yang telah lama menikmati hasil perpaduan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, ia dibuat di peringkat pemimpin politik sahaja tanpa mendengar pandangan akar umbi.

“Pakatan pembangkang selama ini mencanangkan mereka mewakili rakyat, tapi kenapa dalam hal ini mereka tidak mendengar suara rakyat terlebih dahulu,’’ katanya.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohamad Mustapha Ishak berkata, perkembangan terbaru itu menunjukkan Pas lebih mementingkan politik pilihan raya berbanding politik kepentingan ummah.

“Pada masa ini, Pas hanyalah parti ketiga dalam pakatan pembangkang. Jangan anggap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan beri peranan utama kepadanya apabila menang kelak, insaflah bahawa kepentingan ummah mengatasi segala-galanya,’’ katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, kegagalan idea kerajaan perpaduan berpunca daripada penolakan PKR dan DAP.

Katanya, beliau yakin jauh di sudut hati Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap mahukan idea itu direalisasikan demi kepentingan Islam dan orang Melayu.

“Namun, akhirnya dia sedar kekuatan Pas tiada, jadi dia terpaksa ikut arus yang deras dalam pakatan pembangkang.

“Apa pun Pas tidak mahu mengakui mereka mengikut arus deras itu dan sebaliknya lantang menuduh UMNO,” katanya.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM), KS. Balakrisnan berkata, pakatan pembangkang dilihat agak goyah apabila isu berkaitan kerajaan perpaduan dibangkitkan.

Katanya, pihak pakatan mungkin takut atau bimbang sekiranya gabungan Pas dan Barisan Nasional (BN) menjadi kenyataan, kuasa politik dan sokongan masyarakat Islam kepada mereka akan terhakis.

Sumber: Utusan Malaysia, Jun 24hb, 2009

2 ulasan:

Senja berkata...

Saya juga kecewa. TGHH dipagari DAP dan PKR. Manakala RGNA dipagari golongan erdogan yang diketuai Husan dan Kamaruddin Jaafar dan ramai lagi sekular. PAS akan kehilangan identitinya jika terus bersikap menyerah kepada Anwar.

Tanpa Nama berkata...

Salam. Saya turut merasa kecewa. Tetapi itu tentang kerajaan yang masih di peringkat cakap-cakap. Kerajaan pemerintah yang sedia ada sekarang pun nampaknya lemah dan pandai buat janji sahaja. Ikuti posting ini yang baru sahaja saya baca. Ceritanya ialah kelohan dan aduan rakyat tidak diambil perhatian -- MANA PERGI JANJI “KERAJAAN BERJIWA RAKYAT? ADUAN KEPADA PERDANA MENTERI TIDAK MENDAPAT RESPONS ! dalam blog luahfikiran (http://www.luahfikiran.blogspot.com).