Isnin, 22 Jun 2009

Bekas tahanan ISA dan pemimpin pertubuhan haram Hindraf minta haramkan Perkasa

ADUN Kota Alam Shah M Manoharan menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengharamkan serta merta Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

M Manoharan adalah salah seorang daripada lima pemimpin militan haram Hindraf yang dibebaskan dari tahanan ISA baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata kerajaan harus mengharamkan pertubuhan yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan kerana ia menimbulkan kebimbangan di kalangan bukan Melayu.

Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya mengadakan pertemuan dengan Perkasa kerana ia ternyata bercanggah dengan 'Konsep 1Malaysia' yang diilhamkannya.

Perkasa yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali ada mengadakan pertemuan dengan Najib Tun Razak pada Perkasa 12 Jun baru-baru ini.

Manoharan membuat andaian bahawa pertemuan Najib dengan Perkasa seolah-olah persetujuan Umno tidak lagi memperjuangkan hak-hak orang Melayu. Padanya, Perkasa yang wujud untuk melindungi orang Melayu tidak harus lagi wujud.


Namun dalam kenyataan yang sama, Manoharan mempersoalkan pengharaman Hindraf yang menurutnya memperjuangkan hak kaum India di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, "Kaum India dalam keadaan terdesak dan memerlukan pertolongan."

Hindraf telah terlibat dalam satu perhimpunan haram pada tahun 2007. Manoharan mengetuai pergerakan yang telah membawa ketegangan kaum dengan fitnah dan tomahan yang dibuat terhadap kerajaan seperti menuduh berlaku pembunuhan etnik terancang.

Antara lain, Hindraf menuntut beberapa artikel di bawah budi bicara Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan dibuang, penggantungan kerajaan dan Perlembagaan Persekutuan, dan lain-lain. Ini adalah kesalahan-kesalahan yang boleh dianggap pengkhianatan (treason).

Berkenaan pertemuan Perkasa dengan Najib pada 12 Jun, Presiden Perkasa memberitahu media bahawa Perdana Menteri telah memberi jaminan konsep 1Malaysia adalah selari dengan kandungan dan semangat Perlembagaan.

Hak dan kepentingan kaum bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak akan terus dipelihara kerajaan.

Menurut Ibrahim, Perdana Menteri telah menerangkan bahawa 1Malaysia tidak ada persamaan dengan gagasan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP selama ini.

Diolah semula dari laporan Perkasa sini.

1 ulasan:

Zainal A. Kasim berkata...

PERKASA tidak akan wujud sekiranya HINDRAF dan lain-lain pakatan yang akhir-akhir ini mula mempersoalkan kedaulatan Melayu di negaranya sendiri.

PERKASA tidak akan lantang sekiranya HINDRAF dan yang lain-lain tidak celupar di negara ini.

Jadi eloklah HINDRAF dan pemimpin-pemimpinnya melihat diri mereka sendiri di dalam cermin yang besar sebelum memperkatakan tentang orang lain.