Ahad, 29 Mac 2009

Orang Melayu pecah enam


Petikan dari artikel, Melayu bukan UMNO lagi, Melayu sudah minoriti, di Utusan Malaysia bertarikh Mac 25hb, 2009:

Secara kasar, orang Melayu sekarang sudah terdiri daripada beberapa pecahan golongan. Mereka yang dulunya majoriti, sudah menjadi minoriti. Cuba lihat senario ini:

  • Golongan Melayu Liberal. Mereka ini sudah hilang ''semangat dan roh'' (the spirit and soul) orang Melayu. Orang Melayu aliran itu sudah pudar ciri-ciri kemelayuan yang ditanam oleh datuk nenek mereka. Mereka tidak peduli siapa yang menerajui pemerintahan, asalkan ia sama rata. Golongan terpelajar hasil kelahiran DEB ini makin bercambah. Mereka ini menganggap bukan DEB itu yang menjayakan diri mereka - menghantar mereka belajar ke luar negara, tapi sifat merit yang ada pada diri mereka sendiri. Mereka ini ada yang berada dalam kerajaan, golongan pelajar di universiti, tokoh-tokoh korporat, profesional dan berada di mana-mana sahaja.

  • Golongan Melayu Ulama (yang menolak semangat ke-Bangsa-an). Mereka menolak UMNO. Kata mereka UMNO itu tidak berlandaskan Islam, sebagaimana yang ditakrifkan oleh Pas aliran Nik Aziz. Aliran antiassabiyah Nik Aziz memang jelas dari dulu lagi, iaitu jika UMNO mahu bersatu dengan Pas, UMNO perlu ikut cara Pas. UMNO perlu nyahkan semangat kebangsaannya. Bagi Nik Aziz kebangsaan UMNO adalah mengenai Melayu dan ia bukan Islam. Aliran Nik Aziz hanya membenarkan Islam semata-mata, tidak termasuk Melayu. Bagaimanapun, mutakhir ini, aliran Nik Aziz nampaknya bertentangan pula dengan aliran Hadi. Hadi dikatakan mahu bekerjasama dengan UMNO demi Melayu. Nik Aziz memberi amaran dia ialah nakhoda dan Hadi perlu dengar cakapnya. Golongan aliran ini semakin banyak, dan ia terdiri daripada golongan muda.

  • Golongan Melayu PKR (yang menolak UMNO kerana ia menolak master mereka Anwar Ibrahim). Asalnya orang Melayu PKR adalah bekas orang UMNO. Kita tidak pasti sampai bila Melayu PKR ini akan terus wujud, tapi melalui perincian, golongan Melayu ini tidak akan kekal lama. Namun, lama tak lama, itu tidak penting - tapi yang penting ialah sejauh mana ia boleh memecahbelahkan lagi orang Melayu. Aliran mereka ialah kesamarataan - sama dengan golongan liberal. Sudah tentu konsep sama rata mereka berbeza dengan konsep perkongsian kuasa yang diamalkan BN sejak lebih 50 tahun lalu. PKR bukan parti asas Melayu seperti UMNO atau Pas, ia adalah parti pelbagai kaum. Namun ramai orang Melayu (terutamanya di kampung-kampung dan luar bandar) terkeliru menganggap PKR sebagai parti Melayu seperti UMNO dan Pas. Hakikatnya, di peringkat payung pakatan pembangkang, PKR dikuasai oleh bukan Melayu. Orang bukan Melayu melihat parti ini sebagai parti alternatif kepada mereka yang menolak MCA, MIC mahupun DAP.

  • Golongan Melayu DAP. Adalah segelintir. Tapi sejarah dan rekod menunjukkan mereka tidak boleh ke mana-mana.

  • Golongan Melayu Atas Pagar. Golongan ini cukup-cukup terkeliru. Kerana kekeliruan yang mereka hadapi - mereka tidak peduli. Mereka tidak peduli apa yang berlaku kepada bangsa mereka, asalnya mereka boleh hidup seperti biasa. Golongan yang bersifat individualistik ini bagaimanapun amat bijak memerhati, tanpa banyak bercakap. Perkataan yang sering penulis dengar daripada golongan jenis ini ialah: ''Aku Sudah Muak''. Golongan ini boleh mengambil langkah berkecuali, tidak peduli atau pun memihak kepada pembangkang secara protes. Perlu diingat, dalam sesuatu pilihan raya, golongan ini adalah penentu kepada kemenangan. Bagaimanapun golongan ini boleh memasuki ke mana-mana aliran di atas jika tidak dirawati penyakit keliru mereka.

  • Golongan Melayu UMNO. Golongan ini sekarang bukan seperti datuk nenek mereka yang berjuang pada awal, pertengahan sejak penubuhannya 63 tahun lalu. Golongan pejuang UMNO dulu adalah aktivis yang jati diri mereka cukup hebat. Mereka tidak mewah, mereka tidak gelojoh, mereka tidak tamak, tidak seperti generasi UMNO sekarang. Namun perkhidmatan mereka kepada UMNO, masyarakat, orang Melayu di kampung-kampung cukup berkesan. Orang Melayu, Cina dan India pada masa itu dapat disatukan - satu suara, satu hati. Semangat dan roh Melayu Islam terserlah di mana-mana. Hari ini (pada hari perhimpunan UMNO ke-59 ini) sikap negatif UMNO banyak diperkatakan. Kebanyakannya ialah berkisar kepada isu yang tidak mahu didengari oleh aktivis terdahulu.
Rumusannya, Melayu berpecah kepada enam kumpulan. Sama ada teori ini boleh diterima, terserahlah.

Jika itulah teorinya, UMNO bukan lagi sebuah pertubuhan yang boleh mendabik dada mengatakan ia adalah institusi siasah Melayu yang ulung. Jika dulu ya, sekarang masa dan keadaan telah mengubahnya.

Mengapa jadi begitu? Persoalan besar yang perlu dijawab UMNO sekarang ialah: Apakah UMNO masih lagi relevan? Apakah UMNO masih lagi menjadi tempat untuk bertaut? Apakah UMNO boleh diharapkan? Apakah UMNO adalah pejuang bangsa? Apakah UMNO untuk agama, bangsa dan negara?

Siapa pemimpin UMNO sekarang? Apakah mereka boleh membeli dan dibeli? Apakah kualiti mereka? Sukakah orang Melayu kepada mereka? Adakah golongan 'muak' tadi boleh menerima mereka semua? Akan berubahkah mereka? Jika ya, siapakah penyelamat UMNO?

Selasa, 24 Mac 2009

Keadaan Melayu hari ini lebih merbahaya dari Malayan Union - Dr Mahathir


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu agar sedar bahawa keadaan mereka hari ini lebih merbahaya daripada keadaan semasa British merancang untuk menakluk negeri-negeri Melayu dengan perancangan Malayan Union.

Katanya pada masa itu orang Melayu boleh cakap berkenaan Melayu dan tidak ada sesiapa yang akan tuduh mereka sebagai racist.

“British pun tidak panggil kita racist. Mereka akui memang pun hak orang Melayu menuntut negeri-negeri Melayu sebagai hak orang Melayu. Semua perjanjian berkenaan dengan negeri-negeri di semenanjung mesti dibuat dengan Raja-Raja Melayu. Tidak ada siapa dari kaum lain yang berhak membuat apa-apa perjanjian.”katanya.

Dalam ucaputamanya di perhimpunan dan sidang kemuncak Pribumi Perkasa Negara di Kuala Lumpur Ahad beliau berkata sekarang orang Melayu tidak pun boleh berkata negeri ini negeri Melayu, tidak boleh sebut negeri ini dikenali sebagai Tanah Melayu.

Perhimpunan anjuran Perkasa yang diterajui oleh Datuk Ibrahim Ali itu dihadir oleh 1,500 perwakilan dari 65 buah badan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Dr Mahathir negeri Jepun boleh dikatakan negeri orang Jepun, negeri Korea – negeri orang Korea, negeri China – negeri orang Cina, negeri India – negeri orang India.

“Tetapi negeri Melayu – bukan negeri orang Melayu. Dahulu mungkin. Tetapi tidak sekarang. Sekarang Malaysia, hak orang Malaysia dan bukan hak orang Melayu. Kesanggupan dan kerelaan orang Melayu berkongsi milik negara ini tidak sedikit pun dihargai.

“Pemberian satu juta kerakyatan oleh Tunku Abdul Rahman Putra kepada kaum lain tidak dihargai bahkan tidak diingati, dilupakan dengan begitu sahaja,” katanya. - Agendadaily Mac 22hb, 2009

Ucapan penuh Tun Dr Mahathir boleh diperolehi di sini.

Rabu, 11 Mac 2009

Renungi kisah kebodohan Pak Kadok...

Malaysiakini.com, Mar 10, 09 5:50pm

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan bangsa Melayu mengenai usaha radikal daripada kalangan yang mahu mengubah resipi kekuatan mereka.

"Betapa malangnya bangsa apabila berlakunya tindakan-tindakan yang mahu menghapuskan tradisi dan meruntuhkan institusi Melayu.

"Betapa terancamnya survival bangsa apabila tradisi dan institusi sudah tidak dihormati lagi dan betapa malangnya generasi yang cetek terhadap latar belakang sejarah mengaitkan tradisi 'sebagai amalan jahiliah, tahyul dan dogmatik'", titah baginda, lapor Bernama.


Raja Dr Nazrin bertitah demikian ketika melancarkan buku "The Malays" hasil kajian Prof. Anthony Milner, pensyarah sejarah Asia di Australian National University.

Yang turut hadir pada majlis di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini ialah Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sharifah Habsah Syed Hasan Shahabuddin dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Panglima Mohd Annuar Zaini.

Raja Nazrin Shah bertitah bahawa resipi kekuatan bangsa Melayu yang dimaktubkan dalam Perlembagaan negara ialah klausa-klausa menyentuh agama Islam, institusi Raja-raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Baginda memberi takrif bangsa Melayu sebagai "diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa serta disalut dengan agama."

Risipi kekuatan Melayu

"Itulah resipi kekuatan Melayu di bumi ini," titah baginda.

Raja Nazrin Shah bertitah bahawa survival orang Melayu sebagai satu bangsa bergantung kepada beberapa faktor yang telah selama ini memberikannya identiti dalam bentuk agama, bahasa dan budaya, termasuk budaya bernegara dan berkerajaan berpegang kepada prinsip rakyat beraja-negeri bersultan.

Menurut baginda dalam mengharungi gelombang globalisasi dan dalam menghadapi dinamik politik yang sedang berlaku di negara ini, bangsa Melayu berada di persimpangan jalan iaitu menghadapi dua kemungkinan.

Kemungkinan pertama ialah bangsa Melayu akan terus hidup berkembang dan kuat, serta dihormati dan diiktiraf sebagai rumpun bangsa yang agung di dunia global.

"Atau kemungkinan kedua, dijauhkan Illahi daripada berlaku, bahawa bangsa Melayu akan hanyut dalam glombang globalisasi, menjadi lemah kerana akar budaya dan tradisinya telah dicabut.

"Akhirnya Melayu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan cerita yang terkandung dalam hikayat-hikayat lama dan ketika itu tidak akan ada lagi minat untuk dilakukan kajian sosio-politik dan sosio-ekonomi bangsa Melayu secara dinamik," titah baginda.

Untuk itu, Raja Nazrin Shah berharap bangsa Melayu mengambil renungan akan kisah kebodohan Pak Kadok memiliki ayam sabung yang hebat lalu dipermainkan pihak lawan dan akhirnya Pak Kadok menyerahkan ayam sabungnya kepada lawan, Pak Kadok sekadar bersorak menang sabung sedangkan kampungnya telah tergadai.

Baginda juga menghargai usaha Prof Milner yang mengiktiraf bahawa raja Melayu adalah institusi penting warisan bangsa Melayu.

Menurut Raja Nazrin Shah, usaha Milner itu sewajarnya diberi penghargaan oleh bangsa Melayu, dengan paling minimum, menjadikan buku "The Malays" sebagai teks yang wajib dirujuk oleh pelajar sosio-politik Melayu.

Ulasan penulis

Sementara itu, Penulisnya Prof Anthony Milner berkata buku tersebut memaparkan satu kajian menyeluruh mengenai asal usul serta pembangunan identiti Melayu, dari sudut kumpulan etniknya, dan juga apa yang dimaksudkan orang ramai apabila merujuk kepada kaum Melayu.

Menurutnya, beliau memutuskan untuk menulis buku itu kerana ia merupakan satu sejarah mengenai cetusan idea di Malaysia, yang didapati beliau cukup menarik untuk didalami.

Profesor Sejarah Asia dari Australian National University itu berkata buku tersebut merungkai persoalanan mengenai apa yang dimaksudkan orang ramai dengan perkataan Melayu, bagaimana tercetusnya idea mengenai Melayu dan bagaimana ia berkembang.

"Ia juga merujuk kepada perbezaan menjadi seorang Melayu di Malaysia, di Indonesia, Sri Lanka serta Selatan Thailand, dan ia adalah soalan yang cukup menarik," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian buku itu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Bangi hari ini.

Milner berkata beliau mengambil masa satu setengah tahun untuk menghasilkan buku itu, yang menurutnya memaparkan perdebatan mengenai apa yang orang ramai rasakan mengenai perubahan dalam kaum Melayu dari semasa ke semasa di tempat yang berbeza.

"Bagi saya, saya amat berminat melihat bagaimana kaum Melayu berfikir mengenai komuniti, atau idea-idea mengenai komuniti mahupun hirarki, atau apa yang mendorong orang ramai, yang boleh mencetuskan motivasi mereka," katanya.

Buku berharga RM359 setebal 312 muka surat itu sudah berada di pasaran sejak Oktober lalu.

Ahad, 8 Mac 2009

Hebahkan risalah 'Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi Negara'


Pohon dihebah-hebahkan risalah penting ini.

Ahad Mac 22hb, 2009
Perhimpunan: 8:45 pagi
Sidang Kemuncak: 2:00 tengahhari
Tempat: Kompleks Sukan TNB, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur

Sabtu, 7 Mac 2009

Sultan Selangor seru, "Bersatulah orang Melayu, apabila ada isu-isu kepentingan orang Melayu dan agama Islam."


Sedutan ucapan DYMM Sultan Selangor semasa membuka perasmian pembinaan semula Masjid Jamek Sulan Abdul Aziz Shah, Jalan Templer, Petaling Jaya.

Hindarilah gejala-gejala pecah amanah, perebutan kuasa, dengki mendengki, fitnah memfitnah, menimbulkan unsur hasutan, unsur-unsur campur tangan politik dan perkauman, unsur-unsur ajaran sesat serta gejala-gejala buruk yang lain sehingga boleh memporakperandakan kesatuan umat Islam bahkan mencacatkan imej kemuliaan masjid ini.

Di kesempatan ini, beta ingin meluahkan rasa kesal dan dukacita serta kebimbangan beta terhadap orang-orang Melayu di negeri Selangor ini yang mana telah berpecah belah, disebabkan berlainan fahaman politik. Pepatah Melayu ada mengatakan "Takkan Melayu Hilang Di Dunia". Tetapi memandangkan keadaan kucar-kacir yang berlaku di kalangan orang-orang Melayu, adakah orang Melayu akan kekal di dunia ini? Jawapannya, tentulah kekal, tetapi apalah gunanya jika orang Melayu itu tidak bertamadun, tidak dihormati dan boleh dipermainkan serta diperalatkan.

Sudah lupakah orang Melayu akan sejarah negara kita? Di mana dengan kesepakatan, kesefahaman serta bersatunya orang-orang Melayu maka tercapailah kemerdekaan tanah air yang kita kasihi ini.

Beta merasa kesal, mengapa sejak kebelakangan ini tersebar di media elektronik dan media cetak suara-suara lantang yang mempersoalkan tentang kedudukan orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu di negara ini, pada hal seperti yang beta katakan, perkara ini telah dipersetujui sebelum negara ini mencapai kemerdekaan dan telah termaktub dalam Perlembagaan Negeri dan Persekutuan. Apa yang lebih menyedihkan beta, suara-suara lantang ini datangnya daripada orang Melayu sendiri yang biadap, tidak berbudi bahasa dan tidak merasa segan atau malu.

Orang Melayu telah diasuh dari zaman nenek moyang kita di atas landasan adat istiadat, budi pekerti, bersopan santun, hormat-menghormati dan sentiasa bermuafakat. Di atas landasan inilah maka orang Melayu disegani dan dihormati. Di manakah orang Melayu sekarang? Negara baru mencapai kemerdekaan setengah abad,
orang Melayu telah bercakaran, hilang maruah, hilang budi pekerti disebabkan terlalu ghairah untuk merebut kuasa hingga sanggup menggadaikan bangsa dan negeri.

Beta telah berkali-kali menyeru kepada rakyat Melayu di Selangor ini supaya menghormati antara satu sama lain, memahami akan kedudukan satu dengan yang lain dan yang paling penting, mempercayai antara satu dengan yang lain. Jika orang Melayu sentiasa menyimpan syak wasangka antara satu dengan yang lain maka inilah yang akan menimbulkan rasa curiga, rasa sangsi dan cemburu yang menyebabkan timbulnya fikiran dan tindakan yang negatif sesama rakyat jelata.

Negara Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama lebih 50 tahun dan telah maju serta boleh bersaing dalam dunia global ini. Adakah orang Melayu mahu melihat semua kemajuan yang dicapai ini hancur lebur dan kehidupan seharian menjadi porak-peranda hanya disebabkan oleh fahaman politik dan bergaduh sesama sendiri.

Sekali lagi beta menyeru kepada rakyat negeri Selangor yang beta kasihi ini supaya bertenang dan merenung sedalam-dalamnya apa yang telah berlaku, dan bertanya kepada diri sendiri, adakah kita mahukan keamanan dan kesejahteraan hidup dalam suasana harmoni seperti yang kita nikmati ini berterusan? Atau bertelagah sesama sendiri dan tidak menghiraukan lagi adat dan budi bahasa, hormat-menghormati dan membelakangkan undang-undang untuk kepentingan sendiri sehingga negeri yang kita kasihi ini akan menjadi musnah dan mundur seperti negara-negara Dunia Ketiga.

Bersatulah orang Melayu, apabila ada isu-isu kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

Beta sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT agar negeri Selangor yang kita kasihi ini sentiasa dilindungi dan dirahmati, tidak ditimpa malapetaka dan rakyatnya yang berbilang kaum hidup dengan aman sejahtera, harmoni dan terus maju.
Ucapan penuh di Utusan Malaysia sini.

Mungkinkah akan timbul suara memangggil DYMM Sultan sebagai rasis?

Jumaat, 6 Mac 2009

Khamis, 5 Mac 2009

Sistem Raja Berperlembagaan Berjaya Cegah Gerakan Pelampau


KUALA LUMPUR, 26 Feb -- Malaysia adalah antara negara paling beradab dalam kalangan negara Islam berikutan kejayaan sistem Raja Berperlembagaannya dalam membanteras sikap pelampau, kata seorang penyelidik hari ini.

Ketua felo penyelidik Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa Malaysia (IAIS) Dr Cristoph Marcinkowski berkata sikap pelampau boleh dianggap sebagai punca utama lahirnya tindakan ganas dan ancaman ini telah berjaya dibanteras oleh Malaysia melalui peranan Raja Berperlembagaan.

Beliau menyatakan perkara itu semasa menyampaikan syarahan bertajuk "Membanteras Fahaman Pelampau Melalui Pemulihan Kuasa Dalam Islam: Peranan Raja Berperlembagaan" pada Persidangan Antarabangsa Belia Mengenai Keganasan di sini, Khamis.

Dalam syarahannya, cendekiawan pengajian Islam yang mendapat pengiktirafan antarabangsa itu berkata Sistem Raja Berperlembagaan Malaysia mengagumkan kerana ia menjadi faktor penyatu, bukan saja dalam kalangan masyarakat Melayu Islam, tetapi juga dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dan agama di seluruh negara.

"Ia merupakan 'wasatiah' (sikap sederhana) yang baik bagi semua orang. Ia contoh yang baik dan sistem Raja Berperlembagaan amat penting kerana ia melampaui parti politik. Oleh kerana ia tidak mempunyai cita-cita politik, maka negara dan rakyat, terutama golongan belia, boleh mendapat manfaat daripada bimbingan dan nasihat Raja," kata beliau.

Bagaimanapun, Marcinkowski berkata beliau dukacita apabila melihat sikap kurang beradab sopan dan tidak menghormati ketua perlembagaan yang semakin meningkat dalam kalangan golongan tertentu di negara ini, termasuk belia.

Cendekiawan yang telah bermastautin di Malaysia sejak 1995 itu berkata beliau mendapati sikap menghormati kerajaan yang dibentuk berasaskan perlembagaan selama ini, telah berubah.

Katanya demonstrasi dan sikap pelampau bukan sebahagian daripada budaya Malaysia dan oleh itu pihak yang terlibat dengannya, perlu kembali kepada kewarasan fikiran.

"Demonstrasi yang dianjurkan pihak tertentu ini lebih mirip kepada apa yang berlaku di negara yang disifatkan sebagai 'republik pisang'," katanya.

Ketika menolak hujah seorang peserta yang mewakili Pemuda PAS semasa sesi soal jawab, Marcinkowski berkata umat Islam perlu kembali kepada asal usul mereka dan adab.

"Semua umat Islam perlu kembali berpegang pada adab dan tidak memanggil perdana menteri anda sebagai seorang kafir. Di manakah adab anda apabila anda berkata mereka yang mengundi Umno adalah kafir?.

"Sebagai orang Islam, apabila kita menunaikan solat Jumaat, kita mendoakan kekuatan dan kemakmuran negara, kekuatan pemimpin kita, perdana menteri kita dan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, selagi mereka tidak bersikap zalim, kerana orang Islam perlu mempunyai adab sopan," kata beliau. -- BERNAMA