Isnin, 12 Januari 2009

Intisari Enakmen Rizab Melayu


1. MUKADIMAH

Undang-undang Tanah Rizab Melayu (selepas ini ERM) mula diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913) dikuatkuasakan dinegeri-negeri yang dahulunya dikenali dengan nama Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Enakmen Rizab Melayu 1913 ini telah dimansuhkan mulai daripada 15.12.1933 dan digantikan dengan ERM 1933. Pada tahun 1935 ERM 1933 ini telah disemak dan diterbitkan semula sebagai ERM (NMB Bab 142) dan digunakan hingga ke hari ini.

Negeri-negeri lain kemudiannya turut mengwujudkan ERM mereka masing-masing iaitu :-

a) ERM Kelantan 1930
b) ERM Kedah 1931
c) ERM Perlis 1935
d) ERM Johor 1936
e) ERM Terengganu 1941
British tidak mengadakan apa-apa ERM di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka.

2. OBJEKTIF RIZAB MELAYU

2.1 Terdapat dua objektif utama :-

2.1.1 Menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara juapun kepada bukan Melayu

2.1.2 Menyekat tanah Pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian (private dealings) di antara Melayu dan bukan Melayu.
3. MATLAMAT

Dengan dua objektif itu adalah diharapkan tanah-tanah kepunyaan Melayu akan berkekalan dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman.

4. PENGISYTIHARAN

4.1 Kuasa Pengisytiharan


Di Negeri-negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang dimana ERM (NMB Bab 142) dipakai, kuasa untuk membuat pengisytiharan terletak pada Menteri Besar dengan kelulusan Raja Dalam Mesyuarat. Di Johor, PTG dengan kelulusan RDM manakala di lain-lain negeri, RDM.

4.2 Tujuan Pengisytiharan

4.2.1 Untuk mengwujudkan satu kawasan Rizab Melayu

4.2.2 Untuk membatalkan kawasan Rizab Melayu

4.2.2.1 Untuk meminda had atau sempadan mana-mana Rizab Melayu
4.3 Tanah yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu.

4.3.1 Tanah Kerajaan
4.3.2 Tanah Hutan Simpan
4.3.3 Tanah Rizab Awam
4.3.4 Tanah Milik
4.4 Syarat-syarat Pengisytiharan

4.4.1 Tanah yang belum dimajukan (not developed) atau dicucuk tanam (cultivated) sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai kawasan Rizab Melayu. [Perkara 89(2) Perlembagan Persekutuan]

4.4.2 Jika 100 hektar tanah kawasan baru diisytiharkan maka satu kawasan lain yang belum dimajukan atau dicucuktanam seluas 100 hektar juga hendakalah disediakan untuk diberimilik pada orang ramai termasuk Melayu.[Perkara 89(2)Perlembagan Persekutuan]

4.4.3 Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti.Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah. [Rujuk Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan]

4.4.4 Mana-mana tanah yang dimiliki atau diduduki oleh orang bukan Melayu, atau orang bukan Melayu mempunyai hak atau kepentinagan, tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. (Rujuk Perkara 89(4) Perelembagan Persekutuan]

4.4.5 Bagi maksud Enakmen Rizab Melayu Kedah, tanah bandar atau tanah yang termasuk dalam kawasan “Sanitary Board” tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu [ Sek.3(1)ERM Kedah ]

4.4.6 Dibawah Enakmen Rizab Melayu Terengganu pula hanya tanah bandar atau tanah pekan sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. [Lihat tafsiran (d) ‘Malay Holding’]
4.5 Rizab Melayu Kekal Sebagai Rizab Melayu

Mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Rizab Melayu hendaklah kekal sebagai Rizab Melayu melainkan ianya diisytiharkan dan diwartakan sebagi batal oleh pihak yang berkenaan.

4.6 Rizab Orang Asli

Kawasaan dan Rizab Orang Asli tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. [Seksyen 6 (2) dan 7 (2) Akta Orang Asli 1954]

5. TAFSIRAN MELAYU

5.1 Peruntukan Perkara 160 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan


“Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan

a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau

b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.
5.2 Peruntukan Perkara 89 Fasal 6 Perlembagaan Persekutuan

5.2.1 “Melayu” termasuklah seseorang yang disifatkan sebagai seorang Melayu bagi maksud-maksud merizabkan tanah di bawah undang-undang bagi negeri di mana ia bermastautin.

5.2.2 Undang-undang tanah negeri yang dimaksudkan oleh Perkara 89 Fasal 6 Perlembagaan Persekutuan itu ialah keenam-enam ERM yang berkuatkuasa di Semenanjong Malaysia kini di mana tiap-tiap ERM itu memberikan tafsiran “Melayunya” sendiri.
5.3 Takrif Melayu diBawah ERM

5.3.1 ERM NMB Bab 142

‘Melayu” ertinya seorang yang berasal dari mana-mana bangsa “Melayan” yang lazim bertutur dalam bahasa Melayu atau mana-mana bahasa “Malayan” dan menganut Ugama Islam.

5.3.2 ERM Kelantan

‘Melayu ertinya seseorang yang berasal dari mana-mana bangsa “Malayan” yang bercakap mana-mana bahasa Malayan dan menganut Ugama Muhamad, dan hendaklah termasuk:-

(a) Majlis Ugama Islam dan
(b) Pegawai Pemegang Harta apabila bertindak sebagai Pentadbir atau Pemegang Amanah bagi harta pusaka simati orang Melayu.
5.3.3 ERM Kedah

‘Melayu’ ertinya seorang yang menganut Ugama Islam dan lazim bercakap bahasa Melayu yang sekurang-kurangnya seorang daripada ibubapanya adalah bangsa Malayan atau berketurunan Arab.

5.3.4 ERM Perlis

“Melayu” ertinya seorang yang berasal dari mana-mana bangsa Malayan atau orang keturunan Arab yang lazim bercakap bahasa Melayu atau mana-mana bahasa Malayan dan menganut Ugama Islam.

5.3.5 ERM Johor

‘Melayu’ ertinya seorang yang berasal dari Bangsa Melayu atau mana-mana bangsa Malaysia yang lazim bercakap bahasa Malayan dan menganut Ugama Islam dan ungkapan itu hendaklah disifatkan sebagai termasuk Pihak Berkuasa, Lembaga, Pertubuhan, Persatuan dan syarikat yang ditetapkan dalam Jadual Kedua kepada Enakmen ini.

5.3.6 ERM Terengganu

‘Melayu” ertinya seorang yang berasal dari mana-mana bangsa Malayan yang lazim bercakap Melayu atau mana-mana bahasa Malayan dan menganut Ugama Islam.
5.4 Rumusan Takrif Melayu

Sebagai rumusan ‘Melayu’ bagi maksud kesemuaa ERM hendaklah pada masa yang sama mempunyai tiga faktor serentak iaitu;

a) hendaklah berketurunan Melayu atau Malayan (Kecuali Kedah dan Perlis yang turut mengiktiraf keturunan Arab)

b) hendaklah lazim bercakap Melayu atau Malayan

c) hendaklah berugama Islam
Walaupun kedua-dua ERM Kedah dan Perlis mengikhtiraf mereka yang berketurunan Arab, namun terdapat juga perbezaan di antara ‘Melayu” Kedah dan ‘Melayu’ Perlis.

5.4.1 Konsep Malayan

‘Malayan’ dalam konteks perundangan Rizab Melayu merangkumi ethnik-ethnik Melayu yang terdapat di gugusan kepulauan Melayu seperti Orang Asli, Jawa, Banjar, Minangkabau, Mendeling, Panai, Bangka Hulu, Boyan, Patani dan lain-lain lagi.

5.4.2 Keraguan

Dalam tiap-tiap ERM ada diperuntukan bahawa jika timbul keraguan untuk membuat kepastian sama ada seseorang itu Melayu atau tidak, maka rujukan hendaklah dibuat kepada Raja Dalam Mesyuarat yang mana keputusannya adalah muktamad dan tidak boleh dikaji semula atau dipinda oleh mana-mana Mahkamah.

5.4.3 Melayu ERM mengatasi Melayu Perlembagaan

Walaupun tafsiran ‘Melayu’ didalam Perkara 160 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan kelihatan semacam mengatasi tafsiran ‘Melayu’ didalam tiap-tiap ERM, namun oleh kerana tafsiran ‘Melayu’ di dalam ERM itu dibuat mengikut peruntukan Perkara 89 Fasal 6 Perlembagaan Persekutuan maka tafsiran ‘MELAYU’ di dalam ERM itu MENGATASI tafsiran ‘Melayu’ di bawah Perkara 160 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan.

Melayu bagi maksud Perkara 160 Fasal 2 memberi penekanan kepada adat istiadat, manakala di bawah Perkara 89 Fasal 6 seperti yang diberikan pada tiap-tiap ERM memberi tekanan kepada keturunan.

5.4.4 Lain-lain tafsiran Melayu

Lain-lain bentuk tafsiran Melayu yang diberikan oleh mana-mana undang-undang tidak terpakai bagi maksud ERM.

5.4.5 Syarikat Melayu

ERM mentafsirkan Melayu sebagai “Melayu” dengan syarat tiga unsur hendaklah ada serentak pada satu masa. Ketiga-tiga itu ialah:-

1. Syarikat itu hendaklah didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 iaitu syarikat sendirian berhad. Syarikat Kerjasama yang didaftarkan dibawah Akta Syarikat Kerjasama 1946 tidak boleh diambil kira.

2. Kesemua ahlinya hendaklah Melayu atau syarikat Melayu yang ditafsirkan sebagai Melayu

3. Ada diperuntukan secara hitam putih didalam undang-undang tubuhnya bahawa penjualan saham-saham syarikat itu hanya pada Melayu atau syarikat Melayu sahaja.
Kesemua syarikat sendirian berhad yang mempunyai ketiga-tiga ciri diatas, secara automatik ditafsirkan sebagai Melayu.
Begitu juga dengan kedudukan syarikat-syarikat Melayu di Johor yang ditafsirkan sebagai Melayu di bawah seksyen 2 ERM Johor. [Sila lihat Jadual Kedua ERM Johor]

Di Kedah, syarikat sendirian berhad tidak akan menjadi Melayu secara automatik. Syarikat-syarikat secara kes demi kes, terpaksa diisytiharkan sebagai Melayu dibawah seksyen 19 ERM Kedah terlebih dahulu.

Dibawah seksyen 17A ERM Perlis, syarikat-syarikat ditakrifkan sebagai Melayu dan kesemua syarikat berkenaan ada disenaraikan pada Jadual D, ERM Perlis

Di Kelantan keadaanya lain sekali. Mana-mana syarikat sendirian berhad yang hendak memohon tanah rizab Melayu di Kelantan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada Raja. Dalam Mesyuarat di bawah seksyen 13A(I)(a) ERM Kelantan terlebih dahulu.Kelulusan yang berasingan perlu didapatkan setiap kali syarikat itu mengemukakan permohonan. Ertinya, jika sesuatu syarikat itu telah mendapat satu kelulusan untuk memohon tanah Rizab Melayu di Tumpat maka satu kelulusan lain perlu didapatkan jika syarikat tersebut bercadang hendak memohon tanah Rizab Melayu di Machang.

Di Terengganu pula wujud satu konsep apa yang dinamakan Syarikat Pegangan Melayu. Disamping tiga syarat yang perlu ada pada Syarikat Melayu dibawah seksyen 2, ERM (NMB Bab 142), Syarikat Pegangan Melayu Terengganu ini perlu ada satu lagi syarat iaitu salah satu daripada objektif penubuhan syarikat Pegangan Melayu itu hendaklah mempunyai kuasa menguruskan tanah Pegangan Melayu.

Mana-mana syarikat pegangan Melayu Terengganu yang mempunyai keempat-empat syarat itu disifatkan sebagai Melayu.
6 SEKATAN-SEKATAN KEPENTINGAN URUSNIAGA

Undang-undang tanah Rizab Melayu diwujudkan dengan dua objektif utama iaitu:-

a) melarang tanah kerajaan atau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tanah Persekutuan, daripada dilupuskan dengan apa cara sekalipun kepada orang bukan Melayu; dan

b) melarang apa-apa urusniaga persendirian (private dealings) yang melibatkan hakmilik Pegangan Melayu di antara orang Melayu dan bukan Melayu.
Bagi mencapai maksud kedua-dua objektif itu, ERM memperuntukan beberapa sekatan seperti:-

1. Pelupusan

Mana-mana Tanah Kerajaan atau Tanah Persekutuan yang termasuk ke dalam satu Rizab Melayu tidak boleh diberimilik, dikeluarkan TOL atau Permit kepada orang bukan Melayu .

Sekatan-sekatan dari segi urusniaga pula, kedudukannya adalah seperti berikut:-

2. Pindahmilik

Tanah Rizab Melayu tidak boleh dipindahmilik kepada bukan Melayu kecuali pindahmilik bersilang dengan syarat borang-borang pindahmiliknya diserahkan serentak kepada pihak berkuasa pendaftaran yang sepatutnya.

3. Gadaian

Gadaian kepada bukan Melayu juga dilarang. Walau bagaiamanapun terdapat satu pengecualian di mana ianya boleh dibuat dengan memohon kebenaran PBN Perlu dinyatakan bahawa jika tanah yang digadaikan kepada mereka ini terpaksa dilelong maka hanya orang Melayu sahaja boleh membeli atau menangkap lelongan tersebut.

4. Pajakan

Tanah Rizab Melayu hanya boleh dipajakan kepada Melayu,

5. Lien

Lien 100% tidak dibenarkan, baik kepada Melayu apatah lagi kepada bukan Melayu.

6 Sekatan-sekatan Bukan Urusniaga

Selain daripada sekatan-sekatan yang melibatkan pelupusan dan urusniaga, terdapat lagi beberapa bentuk sekatan yang dikenakan. Di antaranya ialah :-

a. Kaveat

Orang bukan Melayu tidak boleh memasukkan apa-apa kaveat persendirian ataupun kaveat amanah keatas hakmilik Pegangan Melayu, melainkan orang bukan Melayu itu bertindak sebagai ejen kepada prinsipalnya yang terdiri daripada orang Melayu.

Walau bagaimanapun tidak ada sekatan yang dikenakan sekiranya Pendaftar memasukkan satu kaveat Pendaftar keatas mana-mana Pegangan Melayu.

b. Perletakhakkan

Sekiranya seorang Melayu itu diisytiharkan dengan sempurnanya sebagai bankerap, maka tanah Pegangan Melayunya tidak boleh diletakhak kepada Ketua Pengarah Insolvensi-Pegawai Pemegang Harta [ Official Assignee ] mengikut Akta Kebankerapan 1967. Oleh itu jika permohonan dibuat oleh Ketua Pengarah Insolvensi dibawah seksyen 349 KTN untuk meletakhak tanah Pegangan Melayu itu kepadanya, permohonan itu hendaklah ditolak. Walau bagaimanapun , Pendaftar boleh memasukkan satu kaveat Pendaftar bagi melindungi kepentingan Kerajaan Persekutuan ke atas tanah Pegangan Melayu itu.

c. Penahanan (Attachment)

Mana-mana hakmilik Pegangan Melayu tidak boleh ditahan bagi menyempurnakan satu dekri atau perintah oleh mana-mana Mahkamah sekiranya dekri atau perintah bermaksud untuk diberikan kepada bukan Melayu.

d. Amanah

Mengikut seksyen 145 orang Melayu tidak boleh mengwujudkan apa-apa amanah yang memberi faedah kepada bukan Melayu. Sekatan ini terpakai jika ianya melibatkan hakmilik Pegangan Melayu.

e. Pemberian Probat

Di bawah seksyen 15, tiada apa jua probat atau ‘letters of administration’ yang melibatkan Pegangan Melayu boleh diberikan kepada bukan Melayu.

f. Surat Kuasa Wakil

Apa-apa borang urusniaga yang melibatkan hakmilik Pegangan Melayu yang ditandatangani oleh orang bukan Melayu bagi pihak tuanpunya Melayunya dengan menggunakan surat kuasa wakil tidak boleh didaftarkan.
RUMUSAN

Sebagai rumusan, demi mencapai objektif tanah rizab melayu, undang-undang ERM menegaskan bahawa kesemua urusniaga atau pelupusan atau percubaan untuk membuat apa-apa urusniaga atau pelupusan atau percubaan untuk membuat apa-apa urusniaga atau pelupusan yang bertentangan dengan undang-undang tersebut adalah terbatal.

Akhir-akhir ini mengikut satu kajian yang telah diadakan, mendapati bahawa kawasan/keluasan tanah rizab melayu semakin mengecil setelah diambilbalik untuk tujuan pembangunan semasa yang pesat dan tidak diganti semula sebagaimana kehendak Perlembagaan Persekutuan.

2 ulasan:

ALI MAIDIN berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
nama saya fatimah dan saya bukan pengganas berkata...

assalamualaikum.
saya penuntut jurusan pengurusan hartanah di uitm, sedang menyiapkan projek tahun akhir bertajuk isu hakmilik tanah bagi orang melayu.
kajian kes saya di melaka untuk tanah adat melaka sahaja.
saya ingin meminta bantuan pihak pentadbir blog dalam mendapatkan maklumat berkenaan tajuk saya ini.
dan izinkan saya ekstrak bahan dari 'post' di atas.

sitifatimah@live.com