Sabtu, 25 April 2009

PERKASA kesal polisi pemansuhan ekuiti tempatan


1. PERKASA menghormati tindakan kerajaan meliberalisasikan 27 subsektor dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan dengannya berkuat kuasa serta-merta tanpa mengenakan sebarang syarat ekuiti seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Rabu 22 April 2009.

2. PERKASA juga menginsafi bahawa tujuan tindakan tersebut adalah untuk membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. Ini bermakna langkah ini dilaksanakan demi kepentingan negara dan rakyat jelatanya.

3. PERKASA juga menghormati kenyataan kerajaan bahawa inisiatif liberalisasi ini tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan kerana ianya dilaksanakan dibawah kawalseliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan di bawah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

4. Bagaimanapun PERKASA kesal kerana kerajaan memansuhkan syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan. Ini bermakna usahawan Bumiputera tertutup peluang menyertai sektor ini walaupun ianya merupakan komponen penting dalam ekonomi negara yang menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan 47.6 peratus merupakan sumbangan perkhidmatan bukan kerajaan.

5. Memang mutakhir ini wujud segolongan usahawan Bumiputera yang berkemampuan untuk bersaing menerusi sistem yang terbuka. Tetapi, jumlah usahawan yang mampu berjaya menerusi sistem meritokrasi ini pastinya masih kecil dan belum menyeluruh.

6. Oleh itu, PERKASA bimbang bahawa keputusan kerajaan ini, walaupun demi untuk negara dan rakyat jelatanya, kemungkinan ianya menjejaskan majoriti usahawan Bumiputera di sektor perkhidmatan yang diliberalisasikan ini tidak dapat dinafikan. PERKASA juga bimbang bahawa tindakan kerajaan ini menjadi permulaan kepada pemansuhan ekuiti 30 peratus sepenuhnya bagi sektor-sektor lain di masa akan datang.

7. Oleh itu, PERKASA berpendapat bahawa keputusan memansuhkan ekuiti 30 peratus dalam sektor perkhidmatan yang dilebralisasikan dua hari lalu wajar dikaji semula dengan seberapa segera. Sekurang-kurangnya kerajaan wajar menetapkan ekuiti yang yang lebih kecil daripada kadar 30 peratus sebelum ini. Pada waktu yang sama, kerajaan perlu menyatakan secara tegas bahawa tahap ekuiti 30 peratus yang dikenakan sebelum ini akan dikuatkuasakan semula sebaik sahaja ekonomi negara pulih seperti sedia kala.

8. PERKASA menyatakan pendapat serta mengemukakan saranan di atas kerana dalam apa jua keadaan adalah kurang wajar jika status Bumiputera di negara ini seolah-olah diremehkan. Tindakan seperti ini memberikan persepsi dan impak negatif kepada kesungguhan kerajaan mempertahankan program dan dasar affirmatifnya bagi masyarakat Bumiputera seluruhnya.

9. Sekian. Terima kasih dan salam takzim.

Ibrahim Ali
25 April 2009

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ini zaman UMNO memberikan apa yang MCA dan MIC mau

Ini zaman PAS memberi apa yang PKR dan DAP mau

Tiada siapa yang melayan kehendak Melayu dan tiada siapa yang kisah hal2 islam lagi

Tetapi UMNO tersilap,kerana berapa banyak pun yang diberikan kepada Cina dan India,mereka akan tetap tolak UMNO/BN

Dan PAS juga tersilap,Cina dan India tak percaya kepada PAS,tetapi akan menyokong PAS hanya untuk memperkuatkan DAP.

Satu hari orang melayu/islam akan nampak jelas kebodohan UMNO dan PAS.

Saya berdoa kita tidak akan terlambat untuk membetulkan nasib bangsa dan agama kita

Aku Pening berkata...

Salam.

Nak tanya....Sebab aku hairan bin ajaib kini......Kalau aku tak silap, Dasar Ekonomi Baru (DEB) ialah memberi ruang 30% kepada Bumiputera bukan?

Jadi tindakan yang Najib buat ni apa? Dia mansuhkan 30% dalam setiap sektor?

Aku sekarang ni betul2 tak faham.....UMNO perjuang DEB (30% hak orang Melayu) tapi dalam masa yang sama buang 30%!

Aduh....apa cerita ni? Aku orang biasa je....Harap Tuan blog ini boleh jelaskan.

Terima kasih.

Aku Pening berkata...

Salam.

Nak tanya....Sebab aku hairan bin ajaib kini......Kalau aku tak silap, Dasar Ekonomi Baru (DEB) ialah memberi ruang 30% kepada Bumiputera bukan?

Jadi tindakan yang Najib buat ni apa? Dia mansuhkan 30% dalam setiap sektor?

Aku sekarang ni betul2 tak faham.....UMNO perjuang DEB (30% hak orang Melayu) tapi dalam masa yang sama buang 30%!

Aduh....apa cerita ni? Aku orang biasa je....Harap Tuan blog ini boleh jelaskan.

Terima kasih.

Tanpa Nama berkata...

Kesal saja tak cukup. Kita patut lawan dan kempen besar-besaran seluruh negara bantah dasar baru ini. Jika perlu, jgn undi Umno lagi.
Setakat kesal semua orang boleh cakap.